29/03/2025
PELUANG KEEMASAN BERWAKAF: KEMPEN WAKAF KARPET SURAU AL-HIDAYAH SM TEKNIK SEJINGKAT
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, buat seluruh ibu bapa, guru-guru, warga sekolah dan khususnya buat Alumni Sekolah Menengah Teknik Sejingkat serta muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT walau di mana jua anda berada.
Kami dengan penuh rasa rendah diri mempelawa anda untuk bersama-sama menyemarakkan amalan kebajikan melalui Kempen Wakaf Karpet Surau Al-Hidayah SM Teknik Sejingkat, Kuching. Inisiatif mulia ini merupakan kerjasama erat antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMTS dan Panitia Pendidikan Islam, dalam usaha untuk menggantikan karpet Surau Al-Hidayah demi keselesaan jemaah.
Surau Al-Hidayah merupakan nadi spiritual warga sekolah, tempat di mana ilmu agama disemai dan solat berjemaah didirikan. Kini, tiba masanya untuk kita menyumbang semula dan memperbaharui ruang suci ini.
Kami mensasarkan baki sejumlah RM85,000 untuk menampung keseluruhan keluasan karpet yang bakal dipasang, iaitu 8,021 kaki persegi. Dengan hanya RM15 untuk setiap kaki persegi, anda berpeluang untuk menempatkan saham akhirat anda dalam projek yang penuh keberkatan ini.
Setiap helaian karpet yang bakal dipijak oleh para pelajar dan guru untuk menunaikan solat, membaca Al-Quran, dan menuntut ilmu, insya-Allah akan menjadi saksi kebaikan dan pahala yang berterusan buat anda.
Mari bersama-sama mengukir sejarah dan meninggalkan legasi kebajikan. Sumbangan anda, walau sekecil mana pun, amat kami hargai dan dahului dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga.
Salurkan sumbangan anda melalui butiran berikut:
Nombor Akaun: 11059010009875
Nama Bank: Bank Islam Malaysia Berhad
Nama Akaun: Surau Al-Hidayah Sek Men Teknik Sejingkat
Rujukan: Wakaf Karpet
Semoga Allah SWT melimpahkan ganjaran yang terbaik dan memberkati segala kebaikan yang dicurahkan oleh tuan/puan sekeluarga. Jariah ini adalah pelaburan akhirat yang kekal berpanjangan.
Marilah kita bersama-sama menjayakan kempen ini.
---
Sekolah Menengah Teknik Sejingkat | Bersama Membina Masa Depan