Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya merupakan sekolah menengah yang pertama dibina dalam kawasan perumahan di Sarawak. SMK Matang Jaya terletak di Taman Matang Jaya, Jalan Matang yang ditadbir oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan. Sekolah ini dibina pada 25 Mei 2000 dan siap pembinaannya pada 18 Disember 2003 dengan kos binaan sebanyak RM38 juta. Sesi persekolahan 2004 bermula pada 5 Januari 2004 secara menumpang di SK Matang Jaya sehingga 24 Januari 2004. Sesi persekolahan secara rasmi bermula di bangunan sekolah ini adalah pada 26 Januari 2004. Pada 16 Januari 2005, SMK Matang Jaya secara rasminya telah menerima kehadiran pengetua pertamanya, iaitu Puan Hjh Saftuyah Bt Haji Adenan. Keputusan SPM 2018 telah meletakkan SMK Matang Jaya sebagai sekolah harian terbaik di bawah seliaan PPD Padawan. Menjelang penghujung tahun 2022, bilangan tenaga pengajar bertambah kepada 128 orang guru dan staf sokongan 21 orang, bagi menyokong lebih 1,400 pelajar. Kini, SMK Matang Jaya menawarkan aliran Pra-universiti (Tingkatan 6), Aliran Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran & Pelajar Cacat Penglihatan), Aliran Perdana (Tingkatan 1 - 5) dan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) yang mengkhusus kepada Penyejukan dan Penyamanan Udara (PPU). Aliran Perdana dibahagikan kepada Kelas Menengah Atas dan Kelas Menengah Rendah. Berikut adalah nama pengetua SMK Matang Jaya:
2005 - 2012 : Pn Hjh Saftuyah Hj Adenan (Pindah ke SMK Batu Lintang)
2012 - 2013 : Tn Hj Mohamad Syariff Affendy (Bersara)
2013 - 2018 : Pn Hajah Zakiah binti Abdul Hamid (Bersara)
2019 - 2020 : Pn Judah binti Ahmad (Pindah ke JPN Sarawak)
2021 - 2022 : En Hatta bin Arabi (Bersara)
2022 - KINI : Pn Anita binti Hasbi