14/08/2026
DARI USM KE NEWCASTLE: PELAJAR PhD TERPILIH MENYERTAI ESHG OBSERVERSHIP PROGRAMME 2026🎉💪👍
Tahniah diucapkan kepada Amin Abdurrahman bin Abdul Rashid, pelajar Doktor Falsafah di Pusat Genom Manusia, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, atas kejayaan terpilih menerima tajaan sebanyak €2000 daripada European Society of Human Genetics (ESHG) melalui ESHG Observership for Young Geneticists Programme bagi tahun 2026.
Program ini merupakan salah satu inisiatif pendidikan dan pembangunan profesional yang berprestij oleh ESHG, yang menyediakan sokongan kewangan kepada penyelidik muda dan pelajar pascasiswazah terpilih untuk menjalani sangkutan klinikal atau penyelidikan di institusi genetik manusia terkemuka di Eropah. Bagi tahun 2026, seramai 5 orang penyelidik muda atau pelajar pascasiswazah telah dipilih untuk mengikuti program ini selama empat minggu.
Menerusi program tersebut, beliau telah selesai menjalani sangkutan penyelidikan di Newcastle University, United Kingdom, di bawah seliaan Prof. James M. Allan di Clinical and Translational Research Centre dan juga The Wolfson Childhood Cancer Research Centre pada 8 Jun hingga 3 Julai 2026. Sepanjang tempoh sangkutan, beliau telah memperoleh pendedahan secara langsung kepada pelbagai pendekatan penyelidikan moden dalam bidang bioperubatan dan genetik kanser, termasuk pengkulturan sel kanser, kajian sinergi ubat, teknologi CRISPR, serta analisis data Next Generation Sequencing (NGS) bagi penjujukan DNA dan RNA.
Peluang menjalani latihan dan sangkutan penyelidikan di institusi antarabangsa bertaraf dunia ini merupakan pengalaman yang amat bernilai dalam memperkukuh kompetensi saintifik, kemahiran teknikal serta jaringan kolaborasi antarabangsa seorang penyelidik muda. Pendedahan sedemikian juga berperanan penting dalam memperluas perspektif penyelidikan, memperkenalkan pendekatan dan teknologi terkini, serta membina kapasiti penyelidik pascasiswazah Malaysia agar lebih kompetitif di peringkat global.
Diharapkan pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang sangkutan ini dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh penyelidikan dalam bidang genetik dan kanser, di samping menjadi pemangkin kepada penghasilan penyelidikan yang berimpak tinggi serta berpotensi menyumbang kepada kemajuan penyelidikan kanser di Malaysia.
Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada PPSP atas sokongan dan peruntukan yang diberikan bagi menampung bayaran bench fee sepanjang tempoh sangkutan penyelidikan di Newcastle University. Sokongan institusi seperti ini amat penting dalam menyediakan peluang mobiliti akademik dan penyelidikan antarabangsa kepada pelajar pascasiswazah.
Penghargaan turut dirakamkan kepada Penyelia Utama, Prof. Madya Dr. Sarina Sulong, yang juga merupakan alumna Newcastle University, atas bimbingan, sokongan dan galakan berterusan dalam pembangunan akademik serta penyelidikan beliau.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar pascasiswazah USM untuk merebut peluang mobiliti dan pembangunan profesional di peringkat antarabangsa, seterusnya membawa pulang ilmu, kepakaran dan jaringan kolaborasi yang dapat menyumbang kepada kecemerlangan penyelidikan negara.