15/08/2026
“Kalau apa-apa berlaku kepada murid, adakah semuanya akan menjadi tanggungjawab guru?”
Ini antara kegusaran paling besar yang disuarakan oleh guru-guru sejak beberapa hari ini.
Ada yang bimbang tentang tanggungjawab mereka apabila berlaku sesuatu kepada murid. Ada yang tertanya-tanya apakah tindakan yang perlu diambil apabila menerima aduan. Ada juga yang merasakan penerangan mengenai perkara ini masih belum mencukupi.
Saya dengar semua kegusaran ini.
Sebab itu saya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia untuk meneruskan sesi libat urus dan penerangan supaya setiap persoalan guru dapat dijawab dengan jelas.
Ini tidak bermakna polisi ini dibentuk tanpa perbincangan.
Sejak awal lagi, KPM telah mengadakan sesi libat urus bersama dengan pelbagai pemegang taruh termasuk JPN, PPD, NUTP, Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan, SUHAKAM, UNICEF, ARUS Academy, Buku Jalanan Chowkit serta beberapa NGO lain.
Tetapi bagi saya, kalau selepas semua itu masih ada guru yang belum jelas atau masih bimbang, maknanya kerja penerangan kita masih belum selesai.
Sesi penerangan seterusnya akan bermula malam ini dan rakamannya juga akan dimuat naik supaya ia boleh dirujuk oleh guru-guru.
Sekarang kembali kepada soalan besar tadi.
Adakah segala-galanya akan menjadi tanggungjawab guru?
TIDAK.
Polisi Perlindungan Murid Sekolah bukan untuk meletakkan seluruh beban menjaga keselamatan murid di bahu guru. Sebaliknya, polisi ini mewujudkan kerangka yang lebih jelas tentang siapa perlu melakukan apa apabila timbul kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan seorang murid.
KPM, JPN dan PPD mempunyai tanggungjawabnya. Kepimpinan sekolah mempunyai tanggungjawabnya. Guru dan kakitangan sebagai barisan hadapan mempunyai peranan mereka. PDRM, JKM, ibu bapa dan pihak berkaitan juga menjadi sebahagian daripada ekosistem perlindungan murid.
Apa yang kita perlukan daripada guru ialah jangan diam apabila ada kebimbangan terhadap keselamatan seorang anak.
Apabila menerima aduan atau mempunyai syak munasabah, laporkan segera kepada pentadbir. Guru tidak perlu menunggu sehingga mempunyai bukti yang lengkap untuk melapor.
Selepas itu, kes perlu diselaraskan, tindakan ditentukan mengikut jenis dan tahap kes serta dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan apabila diperlukan.
Kita mahu tatacara ini memberikan kejelasan kepada guru tentang apa yang perlu dilakukan, dan pada masa yang sama memastikan anak-anak tidak melalui trauma berulang akibat pengendalian kes yang tidak sewajarnya.
Saya faham, satu dokumen tidak akan menjawab semua persoalan.
Sebab itu penerangan dan libat urus mesti diteruskan sehingga guru benar-benar memahami peranan mereka, tahu batas tanggungjawab mereka dan yakin tentang tindakan yang perlu diambil apabila berhadapan sesuatu kes.
Dan kepada guru-guru, saya mahu tegaskan satu perkara.
Kita tidak mahu guru dibiarkan bersendirian ketika melindungi murid. Dan kita juga tidak akan membiarkan guru-guru kita menghadapi ujian bersendirian.
KPM sentiasa peka dan bantuan guaman turut disediakan kepada guru yang memerlukan berdasarkan kesesuaian dan keperluan kes.
Kita mahu anak-anak selamat. Kita juga mahu guru jelas, yakin dan tahu bahawa ada sistem yang berdiri bersama mereka.
Melindungi anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Guru tidak harus memikulnya sendirian.
Jangan bimbang. Polisi ini bukan untuk mencari siapa yang boleh dipersalahkan apabila sesuatu berlaku. Apatah lagi untuk menjadikan guru sebagai kambing hitam.
Kita ingin lindungi murid, kita ingin lindungi guru, kita ingin ekosistem sekolah yang selamat.
Catatan: Gambar diambil sewaktu sesi libat urus Polisi Perlindungan Murid Sekolah dan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat KPM