21/08/2026
DARI UMPSA KE SWEDEN: “UMPSA AMBASSADOR” FAUZI HAKIM MELEBARKAN SAYAP KEPIMPINAN
PEKAN, 21 Ogos 2026 – Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Ts. Dr. Yatimah binti Alias mengadakan pertemuan bersama Saudara Muhammad Fauzi Hakim bin Mazlan sebagai persiapan terakhir sebelum beliau berlepas bagi menyertai Östersund 2026 FISU World Forum di Östersund, Sweden.
Pertemuan tersebut turut disertai Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Razali bin Daud, Penolong Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) serta Dr. Siti Umairah binti Mokhtar, Pengarah Akademi ADAB.
Dalam pertemuan itu, Naib Canselor menyampaikan amanat dan kata-kata semangat agar beliau memanfaatkan sepenuhnya peluang dan pengalaman sepanjang program, melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen serta membawa nama baik UMPSA dan Malaysia sepanjang berada di Sweden.
Lebih membanggakan, hanya dua wakil pelajar dari Malaysia tepilih menyertai forum tersebut, masing-masing seorang dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UMPSA. Penyertaan ini mencerminkan keupayaan mahasiswa UMPSA untuk tampil membawa nama universiti dan negara di pentas antarabangsa.
Saudara Muhammad Fauzi Hakim merupakan antara pelajar yang tersenarai dalam Student Excellence & Ambassador Leadership (SEAL), iaitu program pembangunan kepimpinan mahasiswa UMPSA yang memberi fokus kepada pembentukan bakat serta pembangunan duta pelajar berpotensi tinggi.
Program SEAL menyasarkan untuk melahirkan 20 orang duta pelajar di peringkat antarabangsa dan 100 orang di peringkat kebangsaan, selari dengan aspirasi Pelan Strategik UMPSA30.
Penglibatan Saudara Muhammad Fauzi Hakim di FISU World Forum 2026 turut mencerminkan aspirasi SEAL dalam membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk mewakili universiti di platform berimpak tinggi.
Östersund 2026 FISU World Forum akan berlangsung pada 24 hingga 28 Ogos 2026, menghimpunkan mahasiswa serta wakil komuniti sukan universiti antarabangsa.
“Wisdom Drives Excellence”