12/05/2026
Noorjahan Sultan
Let's Rhyme with Teacher N
SMARTN Academy
Bersempena dengan Bulan Hari Guru, kami dari FOP membawakan anda cerita inspirasi dari warga pendidik Pahang.
Untuk minggu ini Faces of Pahang mencoretkan cerita daripada Puan Noorjahan Sultan, bekas Guru di Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama dan sekarang berkhidmat sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di Pusat Kegiatan Guru Teruntum, Kuantan dalam memberikan inspirasi kepada mahasiswa dan anak muda yang lain tentang perspektif dan perjuangan warga pendidik itu sendiri.
Saya merupakan anak kelahiran Kuantan, Pahang yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Perempuan Methodist, sehingga tahun 6 kemudiannya meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Kuantan (SMART).
Saya merupakan barisan pertama yang terlibat dengan pengkhususan Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang diperkenalkan di Institut Perguruan Guru Malaysia pada tahun 1991 dan seterusnya memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pendidikan Prasekolah.
Ibu bapa saya merupakan insan yang menggalakkan saya untuk menjadi guru. Mereka berpendapat dengan menjadi guru saya bakal menjadi orang yang kaya dengan ilmu seterusnya boleh menjadi individu yang dapat menyumbang ke arah kebaikan.
Saya amat bersyukur kerana sepanjang karier saya sebagai guru, saya ditemukan dengan jiwa-jiwa yang murni dan menjadikan perjalanan hidup saya sebagai guru suatu pengalaman yang indah. Sistem Pendidikan yang mesra guru dan murid, pentadbiran sekolah yang dinamik, sokongan rakan sekerja, sikap ibu bapa/penjaga yang positif serta kasih sayang ahli keluarga yang luar biasa menceriakan serta menggalakkan saya untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.
Sepanjang karier saya, saya berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai aspek pendidikan sama ada kurikulum mahupun kokurikulum. Saya gemar melibatkan pelajar dalam pelbagai aktiviti kerana saya percaya terhadap perkembangan yang holistik. Saya amat menitikberatkan penglibatan dalam proses pembelajaran melebihi pencapaian pembelajaran itu sendiri.
Keseronokan dan kepuasan melihat keupayaan pelajar menguasai sesuatu pengetahuan, kemahiran mahupun nilai adalah amat berharga bagi saya.
Tidak dinafikan saya juga berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang saya berkhidmat sebagai seorang guru selama 23 tahun.
Namun, pengalaman mendewasakan saya dengan menjadikan saya lebih matang menghadapi kepelbagaian situasi. Bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan cabaran tersebut adalah elemen yang merangsang seorang guru untuk berfikiran kreatif dan inovatif.
Profesyen perguruan melalui beberapa anjakan paradigma seiring dengan tranformasi pendidikan. Sebagai guru saya turut bergerak seiring dengan aspirasi pendidikan. Inovasi dalam pendidikan adalah komponen yang menguji keupayaan dan kreativiti guru.
Pada 2009, saya melibatkan diri dalam bidang inovasi pendidikan. Hasilnya, pada tahun yang sama saya berjaya muncul sebagai Johan Negeri Pahang dan Naib Johan peringkat kebangsaan Anugerah Guru Inovatif. Kemudian, pada 2009 juga saya bersama 24 delegasi lain dari Malaysia terpilih untuk menghadiri kursus di Regional English Language Centre, Singapura.
Guru dan perkongsian ilmu, ibarat aur dengan tebing, tidak dapat dipisahkan. Selain membentangkan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa saya juga sering menjadi panel jemputan untuk topik seperti Fostering English Language through Rhymes; memupuk perkembangan secara holistik melalui buku cerita; membina bahan bantu belajar menggunakan barangan terpakai serta meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam pendidikan.
Kolaborasi amat penting dalam meningkatkan kualiti penyebaran ilmu, kemahiran dan nilai. Saya baru sahaja selesai mengadakan jelajah Let’s Rhyme ke 11 daerah di negeri Pahang anjuran Yayasan Hawa dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Ia bagi berkongsi perihal inovasi dalam pendidikan dan pengalaman sebagai finalis Anugerah Guru Global 2016.
Selain Yayasan Hawa; Yayasan Pahang, OUM Pahang, NCWO, Pianis, FELDA, Tabika KEMAS, Tabika PERPADUAN, PASTI, Tadika-tadika swasta dan Kelab Rotary Kampung Baru juga sering berkolaborasi dengan saya bagi melaksanakan perkongsian pintar kepada guru-guru.
Usaha sama yang digarap ini membolehkan saya menjangkau pelbagai lapisan masyarakat. Saya yakin kerjasama sebegini penting dan berharap lebih banyak agensi seumpama ini tampil memberi sokongan kepada dunia pendidikan tanah air.
Penghargaan dan pengiktirafan merupakan faktor yang dapat merangsang pemikiran dan meningkatkan kuasa tindakan. Sepanjang perkhidmatan sebagai guru, saya meraih pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ikon Guru Kebangsaan 2016 merupakan anugerah paling berprestij bagi saya selain dinobatkan sebagai finalis 50 Anugerah Guru Global 2016.
Kepuasan hidup yang optimum dalam hidup seseorang individu bukan sahaja terletak pada kejayaan yang diraih, tetapi sumbangan yang mampu diberi. Saya bersyukur kerana diberi ruang, peluang dan kepercayaan oleh pelbagai individu dan agensi untuk membolehkan saya meluaskan jaringan melalui pelbagai program perkongsian pintar.
Kini saya sedang berkolaborasi dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan murid. Ia selaras dengan tugas saya sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan yang juga bertanggungjawab kepada pembangunan program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca).
Pada 25 April 2017, saya terlibat menjayakan program NILAM di PPAP sempena Karnival Jom Baca. Saya amat teruja kerana dapat bersama-sama murid selepas hampir 7 bulan meninggalkan bilik darjah. Lebih menyeronokkan apabila saya dapat mengendalikan program tersebut dengan jayanya walaupun dengan bilangan pelajar yang ramai, iaitu 165 orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur seawal 4 hingga 12 tahun.
Kejayaan program tersebut membuktikan elemen kreativiti dan inovasi dalam pedagogi membolehkan segala cabaran mampu diatasi dengan berkesan.
"Guru Pembina Negara Bangsa". Slogan ini jelas mencerminkan peranan signifikan guru dalam membina sesebuah tamadun. Guru perlu menjadi suri teladan dari segi penguasaan ilmu, kemahiran dan penghayatan nilai.
Guru turut berupaya mentransformasikan pelbagai aspek pendidikan dengan pemikiran aras tinggi bagi memastikan kemenjadian murid dan pembangunan modal insan.
Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir dalam hidup saya. Setiap insan hadir dengan warna yang berbeza, dan keunikan itulah yang menjadikan perjalanan hidup kita lebih ceria dan sempurna.
Di mana ada cabaran, di situ wujudnya ruang untuk perubahan.
Noorjahan Sultan
Ikon Guru Kebangsaan 2016
02/05/2026
21/04/2026
11/12/2025