10/08/2026
🏆 POLISASKNX CERTIFIED TRAINING CENTRE: PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA KNX ASSOCIATION
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas pengiktirafan yang diterima daripada KNX Association kepada Centre of Reskilling & Upskilling POLISAS (CRUSAS) sebagai pusat yang telah memenuhi keperluan kompetensi teknikal serta kelengkapan yang ditetapkan bagi pelaksanaan KNX Basic Course.
Penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada pihak pengurusan POLISAS serta seluruh warga kerja dan semua pihak yang terlibat atas kepercayaan, sokongan, komitmen dan usaha yang telah dicurahkan dalam merealisasikan pencapaian ini. Pengiktirafan ini merupakan hasil daripada kesungguhan, kerjasama dan komitmen berterusan yang diberikan oleh semua pihak.
Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada rakan kolaborasi merangkap penasihat industri, Ts. Siew Peng Wah, CEO Seikou Group of Companies, atas segala nasihat, bimbingan, sokongan serta kepercayaan yang telah diberikan. Sesungguhnya, pandangan, pengalaman dan tunjuk ajar yang dikongsikan amat bermakna dalam memperkukuh langkah serta membuka ruang kepada kami untuk melangkah lebih jauh.
Sesungguhnya, pencapaian ini bukanlah hasil usaha individu semata-mata, tetapi merupakan manifestasi kerjasama, kesepaduan dan komitmen seluruh pasukan serta sokongan daripada pelbagai pihak. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkukuh kompetensi, memperluas peluang reskilling & upskilling serta melahirkan tenaga kerja yang lebih kompeten dan bersedia memenuhi keperluan industri.
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menyumbang, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, dalam merealisasikan pencapaian yang amat bermakna ini.
Semoga POLISAS KNX Certified Training Centre di bawah naungan CRUSAS terus melangkah maju, memperkukuh jaringan kolaborasi bersama industri dan menjadi platform unggul dalam pembangunan kompetensi serta kecemerlangan bersama.