28/06/2024
[SEJARAH PENULISAN KHAT] (Part 2)
Ketika zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar RA umat Islam menghadapi pelbagai siri peperangan sehingga memberi kesan pada skala yang besar untuk negara. Seramai 70 orang para sahabat RA yang menghafal al-Quran (ada riwayat lain mengatakan lebih 70 orang) terkorban dalam perang al-Yamamah pada tahun 12 Hijrah. Kehilangan mereka sedikit sebanyak meninggalkan kesan oleh umat Islam pada ketika itu. Dek kerana kehilangan penghafal al-Quran pada skala yang besar, Saidina Umar al-Khattab RA merasa runsing lalu mencadangkan untuk mengumpul kembali tulisan-tulisan al-Quran yang ditulis oleh para sahabat RA dan disalin kembali ayat-ayat tersebut bagi memelihara kesinambungan dan keaslian al-Quran.
Diringkaskan cerita, perkembangan Islam pada zaman tapuk pemerintahan Saidina Uthman mula berkembang pesat sehingga ke luar tanah arab. Bilangan umat Islam yang pandai membaca dan menulis mula meningkat sehingga berlaku penyalinan al-Quran dengan pelbagai gaya mengikut kefahaman dan kemahiran masing-masing. Melihat kepada isu ketidakselarasan terhadap penyalinan semula ayat-ayat al-Quran tersebut, Saidina Uthman mula berijtihad serta mengorak langkah untuk melakukan penstrukturan kembali penyalinan al-Quran yang akan menjadi panduan bagi seluruh umat Islam pada segenap empayar Islamiyyah.
Untuk menyambung usaha pemeliharaan al-Quran sebagaimana yang diamalkan oleh khulafa' al-Rashidin sebelumnya, beliau telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyemak tulisan dan ayat al-Quran. Antara projek yang dilakukan adalah menyalin kembali al-Quran untuk digunakan secara seragam di semua negara Islam. Al-Quran tersebut dikenali sebagai Rasm Uthmani kemudian diedarkan kepada semua kerajaan Islam sebagai rujukan utama. Zaid bin Thabit telah dilantik untuk mengepalai projek pengedaran mushaf Rasm Uthmani tersebut. Zaid bin Thabit merupakan seorang sahabat yang mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam tugas ini dan telah menjalankan usaha yang sama sejak zaman Saidina Abu Bakar RA lagi.
Walaupun Zaid bin Thabit seorang sahabat yang berpengalaman akan tetapi Saidina Uthman RA yang menjadi penerajui projek penyalinan al-Quran. Berlaku salah faham dan percanggahan pendapat itu adalah lumrah dalam pekerjaan. Sebagai jalan penyelesaian, Saidina Uthman RA menetapkan agar segala bentuk kekeliruan, percanggahan atau salah faham hendaklah dirujuk kepada ejaan dalam bacaan mengikut Lahjah Quraisy. tidak ada lahjah lain yang dibenarkan. Dengan itu, kebenaran membaca menggunakan qiraat lain (ahruf al-sab'ah) tidak mempengaruhi langsung kaedah penulisan al-Quran.
Yang terakhir, Saidina Uthman telah meletakkan syarat setiap ayat yang tertulis perlulah sama dan diskong oleh hafazan para sahabat. Bagi tulisan yang diterima dari zaman Nabi Muhammad SAW, Saidina Uthman RA tidak akan menerimanya sehinggalah ayat tersebut disokong oleh dua orang saksi yang menyatakan bahawa ayat tersebut ditulis di sisi Rasulullah SAW.
Rujukan: Abd Rahman Hamzah (Khat & Jawi mutiara Kesenian Islam Sejagat).
-Mohd Azhan Hamka-