19/12/2025
DARIPADA LATIHAN SIMULASI KEPADA REALITI
Pada asalnya, Kem Siaga Bencana ini dirancang sebagai satu latihan simulasi untuk pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Integrasi Al-Makmur - untuk memberi pendedahan awal tentang persediaan menghadapi bencana, keselamatan diri ketika bencana dan peranan sebagai ahli masyarakat yang prihatin.
Namun, Allah susun dengan cara yang jauh lebih bermakna.
Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan kawasan sekitar Maahad dinaiki air dan pelajar-pelajar sendiri terpaksa menjadi mangsa banjir.
Walaupun berdepan situasi sebenar, pengisian kem tetap diteruskan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Mat Kilau.
Di sinilah ilmu yang dirancang sebagai teori bertukar menjadi pengalaman hands-on yang sangat berharga.
Mereka belajar memahami aliran pengurusan di PPS, membantu petugas mengurus keperluan asas penghuni-penghuni di PPS di samping mengurus diri sendiri sebagai mangsa banjir.
Di samping itu, anak-anak ini juga belajar dan pada masa yang sama mempraktikkan erti kerjasama, tolong-menolong, empati dan kesabaran.
Hari ini p**a, suasana di PPS menjadi lebih bermakna apabila pelajar-pelajar ini mengambil inisiatif membantu anak-anak mangsa banjir memperbetulkan bacaan surah Al-Fatihah.
Dalam kesempitan dan keletihan, mereka berkongsi ilmu dengan penuh hikmah dan kasih sayang.
Tanpa lakonan, tanpa simulasi โ semuanya berlaku dalam keadaan sebenar. Ilmu yang diperoleh bukan sekadar diingat, tetapi dihidupkan dan disampaikan.
Pengalaman ini mendidik anak-anak bahawa ujian bukan untuk ditakuti, tetapi untuk diurus dan dipelajari.
Mudah-mudahan mereka membesar sebagai insan berilmu, berjiwa besar dan sentiasa bersedia membantu ummah.