22/11/2023
WARGA KERJA JABATAN HAL EHWAL AKADEMIK DAN ANTARABANGSA (JHEAA) UMPSA MENGIKUTI PROGRAM PEMUKIMAN (RETREAT JHEAA) DI KEM BATU 5, MENTAKAB PAHANG
18 November 2023 | Mentakab, Pahang
Seramai 65 warga kerja Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengikuti Program Pemukiman (RETREAT JHEAA) dengan jayanya pada 16 hingga 18 November 2023 bertempat di Survival Camp, Batalion ke-7, Rejimen Renjer Diraja (7 RRD MEK), Kem Batu 5, Mentakab, Pahang. Program ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi staf agar sentiasa memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik kepada organisasi dan pemegang taruh universiti. Selain itu, antara matlamat utama program ini adalah untuk mewujudkan hubungan yang harmoni dalam organisasi serta memperkukuhkan hubungan kerjasama antara staf terutamanya melibatkan staf antara Pusat Tanggungjawab (PTj) di bawah JHEAA bagi mewujudkan sinergi yang erat dalam urusan pekerjaan. Program yang telah diadakan selama tiga hari dua malam ini turut dihadiri Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad bin Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) yang juga merupakan Ketua Jabatan bagi semua PTj yang terlibat.
Antara pengisian program yang dijalankan ialah aktiviti pertunjukan Ikhtiar Hidup dan Treasure Hunt yang dikendalikan oleh anggota 7 RRD MEK di Survival Village. Melalui aktiviti ini, para peserta program pemukiman telah didedahkan tentang empat tujuan utama yang dimaksudkan sebagai “ikhtiar hidup” dalam konsep ketenteraan iaitu usaha, cara, seni dan kemahuan untuk terus hidup apabila berada di dalam satu situasi yang tidak dijangka. Seterusnya, para peserta telah mengikuti aktiviti Management Games yang dikendalikan oleh penceramah jemputan dalaman iaitu Mejar Dr. Hj. Imaduddin bin Abidin, Pensyarah Kanan dari Fakulti Pengurusan Industri, UMPSA bersama fasilitator jemputan iaitu Kapt. (PA) Zulkefly bin Sulaiman, Jurulatih Bertauliah.
Pada hari kedua kami berada di Kem Batu 5, Mentakab Pahang, aktiviti telah dimulai dengan semua peserta dikehendaki melakukan senaman fizikal dan aktiviti pertunjukan pemanduan kereta perisai Adnan ACV300 telah dijalankan. Selain itu, aktiviti abseiling dan demonstrasi menembak serta aktiviti river crossing telah berjaya dilakukan oleh semua para peserta. Di samping itu, para peserta telah diraikan dengan Majlis Jamuan Makan Malam khas yang turut dihadiri oleh Lt. Kol. Mohd Nazri bin Mohd Husin, Pegawai Memerintah, 7 RRD MEK sebagai tetamu Kehormat, turut serta mengiringi beliau ialah para Pegawai di 7 RRD MEK.
Pada hari terakhir kami di sini, pengisian program telah dimulakan dengan aktiviti merentas halangan dan jejak hutan. Melalui aktiviti ini, ianya dapat memberikan init pati yang berguna kepada peserta untuk mencapai pelbagai objektif yang penting dan perlu saling bekerjsama. Banyak manfaat yang dapat diperolehi melalui program pemukiman ini antaranya, dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara staf, mengasah bakat kepimpinan dan meningkatkan komunikasi yang lebih baik.