24/11/2025
Persoalan berkaitan Nabi Khidir
Soalan:
Siapakah al-Khiḍr? Adakah beliau seorang nabi atau seorang wali? Adakah beliau masih hidup hingga hari ini sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian orang, bahawa ada dalam kalangan orang soleh yang pernah melihat atau bertemu dengannya? Jika beliau masih hidup, di manakah tempat tinggalnya? Mengapa beliau tidak muncul untuk memberi manfaat kepada manusia dengan ilmunya, khususnya pada zaman ini? Mohon penjelasan yang tuntas.
Jawapan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi:
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, dan sesiapa yang mengikuti baginda hingga hari Kiamat. Amma ba‘d:
Al-Khiḍr ialah seorang hamba yang salih sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam Surah al-Kahf, ketika Nabi Musa AS mengiringinya dan belajar daripadanya. Al-Khiḍr mensyaratkan agar Musa bersabar, dan beliau menjawab persetujuan itu dengan firman Allah:
وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِۦ خُبْرًۭا ٦٨
“Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?” (Surah al-Kahfi:68)
Al-Khiḍr ialah seorang hamba yang Allah kurniakan rahmat dari sisi-Nya dan diajarkan ilmu khusus daripada-Nya. Musa berjalan bersamanya dan melihat peristiwa-peristiwa seperti tindakan beliau melubangkan perahu, Firman Allah SWT:
فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا رَكِبَا فِى ٱلسَّفِينَةِ خَرَقَهَا ۖ قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا إِمْرًۭا ٧١
“Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar.”
Nabi Musa merasa hairan terhadap perbuatan al-Khiḍr sehingga akhirnya dijelaskan hikmah setiap perbuatan itu. Al-Khiḍr berkata pada penutup kisah tersebut:
وَمَا فَعَلْتُهُۥ عَنْ أَمْرِى ۚ ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًۭا ٨٢
“Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.” (Surah al-Kahfi: 82)
Maksudnya: beliau tidak melakukannya menurut kemahuan sendiri, tetapi berdasarkan perintah Allah Ta‘ala.
Dakwaan bahawa al-Khiḍr masih hidup
Sebahagian orang mendakwa bahawa al-Khiḍr hidup selepas zaman Nabi Musa, kemudian pada zaman Nabi ‘Īsā, kemudian pada zaman Nabi Muhammad ﷺ; dan bahawa beliau masih hidup hingga kini serta akan terus hidup hingga hari Kiamat. Mereka membina kisah-kisah dan dongengan seperti dakwaan bahawa al-Khiḍr bertemu dengan si fulan, memberi khriqah (pakaian) kepada si fulan, dan memberikan bai‘ah kepada seseorang, semuanya cerita rekaan yang tidak mempunyai asas.
Tiada satu pun dalil sahih yang menunjukkan al-Khiḍr masih hidup. Bahkan, dalil daripada al-Qur’an, al-Sunnah, akal yang sejahtera, serta ijmak para ulama muhaqqiqin menunjukkan bahawa al-Khiḍr sudah wafat.
Antara penjelasan penting ialah apa yang disebut oleh Ibn al-Qayyim dalam kitab al-Manār al-Munīf fī al-Ḥadīth al-Ṣaḥīḥ wa al-Ḍa‘īf, iaitu salah satu tanda hadis palsu ialah hadis-hadis yang menyebut tentang kehidupan al-Khiḍr, dan bahawa kesemua hadis mengenai hayatnya adalah dusta. Tidak ada satu pun hadis sahih tentang beliau masih hidup.
Antara hadis palsu tersebut ialah:
1. Dakwaan bahawa Rasulullah ﷺ berada dalam masjid, lalu mendengar suara di belakangnya, lalu para sahabat melihat dan mendapati ia adalah al-Khiḍr.
2. Dakwaan bahawa al-Khiḍr dan Ilyas bertemu setiap tahun.
3. Dakwaan bahawa di Arafah berkumpul Jibril, Mikail dan al-Khiḍr.
Ibrahim al-Ḥarbī ketika ditanya tentang dakwaan bahawa al-Khiḍr hidup panjang, berkata: “Tidak menyebarkan kepercayaan ini kepada manusia melainkan syaitan.”
Imam al-Bukhārī p**a ketika ditanya sama ada al-Khiḍr dan Ilyas masih hidup, beliau menjawab:
“Bagaimana mungkin? Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:
لا يبقى على رأس مائة سنة ممن هو اليوم على ظهر الأرض أحد
“Tidak akan kekal hidup seseorang yang berada di atas muka bumi ini sampai seratus tahun lagi bagi orang yang berada di bumi ini.”(HR al-Bukhari dan Muslim)
Ramai lagi ulama besar menjelaskan perkara yang sama, berdasarkan firman Allah:
وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍۢ مِّن قَبْلِكَ ٱلْخُلْدَ ۖ أَفَإِي۟ن مِّتَّ فَهُمُ ٱلْخَـٰلِدُونَ ٣٤
“Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?” (Surah al-Anbiyaa: 34)
Penjelasan Ibn Taymiyyah
Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah juga menjelaskan:
“Sekiranya al-Khiḍr masih hidup, wajib baginya untuk datang kepada Nabi ﷺ, berjihad bersama baginda dan belajar daripada baginda.”
Baginda SAW pada hari Badar bersabda:
“Ya Allah, jika kump**an ini binasa, tidak lagi Engkau akan disembah di muka bumi.” Mereka yang hadir berjumlah 313 orang, dikenal pasti dengan nama mereka, nama bapa mereka dan kabilah mereka. Maka di manakah al-Khiḍr ketika itu? Jelas bahawa al-Qur’an, al-Sunnah dan pandangan para ulama muhaqqiq menafikan dakwaan bahawa al-Khiḍr masih hidup.
Al-Qur’an menyatakan:
وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍۢ مِّن قَبْلِكَ ٱلْخُلْدَ ۖ أَفَإِي۟ن مِّتَّ فَهُمُ ٱلْخَـٰلِدُونَ ٣٤
“Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?”(Surah al-Anbiyaa: 34)
Maka, jika al-Khiḍr itu seorang manusia, nescaya dia tidak kekal hidup, sebagaimana yang dinafikan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Jika benar beliau masih wujud, nescaya beliau akan datang menemui Nabi ﷺ, kerana baginda SAW bersabda:
والله لو كان موسى حيًا ما وسعه إلا أن يتبعني
“Demi Allah, sekiranya Musa masih hidup, tiada pilihan baginya melainkan mengikuti aku.” (Riwayat Ahmad daripada Jabir bin ‘Abdullah)
Maka, jika al-Khiḍr itu seorang nabi, beliau tidak lebih mulia daripada Nabi Musa. Jika p**a beliau seorang wali, maka beliau tidak lebih utama daripada Abu Bakar.
Apakah hikmahnya al-Khidir masih hidup – sebagaimana anggapan sebahagian orang - di padang luas, gurun dan gunung-ganang? Apakah faedahnya? Tiada faedah dari sudut syarak dan akal di sebalik kekalnya al-Khidir di gurun, gunung-ganang ini? Realitinya, manusia sering tertarik kepada kisah pelik dan luar biasa, lalu mereka mencipta cerita-cerita itu, kemudian menisbahkannya kepada agama, walhal ia tidak ada asas sama sekali.
Adakah al-Khiḍr seorang nabi atau wali?
Para ulama berbeza pendapat. Namun, pendapat yang lebih kuat ialah beliau seorang nabi, berdasarkan firman Allah:
وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي
“Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri…” (Surah al-Kahfi:82)
Ungkapan ini menunjukkan bahawa perbuatan tersebut dilakukan dengan wahyu daripada Allah, bukan berdasarkan dirinya sendiri. Maka, yang lebih rajih ialah al-Khiḍr seorang nabi, bukan sekadar wali.
Wallāhu a‘lam.
📝 Institut Pemikiran al-Qaradawi
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin
"Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan"