02/04/2021
NEGARAWAN ALIM RABBANI
Oleh: Uthman Che Aziz
NEGARAWAN - pemimpin politik yg sangat dihormati kerana sifat-sifatnya (spt kebijaksanaannya, kejujurannya, dll) yg unggul; kenegarawanan sifat atau kebolehan sbg negarawan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Iklim politik nasional yang kian beralih ke kutub yang masih ketidaktahuan semakin membara, hari demi hari berita politik yang disajikan kepada orang ramai sangat rencam sekali.
Pun begitu di tengah-tengah kekalutan dan keserabutan ini, masih ada tokoh politik yang berjiwa besar dan fokus kepada matlamat yang murni.
Hari ini rasa macam nak berbicara sedikit tentang satu sosok tubuh ni, seorang individu yang puluhan tahun berjuang dalam medan politik dan kenegaraan dan dakwah Islamiah.
Siapa lagi beliau kalau tidak Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, atau nama panggilannya ayah chik.
TGHH sememangnya layak diberikan gelaran negarawan alim rabbani melihatkan kepada beberapa kriteria yang beliau miliki.
1) Gagasan TGHH
TGHH adalah seorang ulama berkelulusan Universiti Al Azhar Mesir dalam bidang Syariah, bahkan beliau adalah seorang yang alim dalam bidang siasah syar'iah. Mengemudi PAS dalan tempoh kepimpinan ulama menggunakan manhaj Islam Haraki ternyata memberikan daya gerak yang tersendiri kepada parti Islam dalam persada politik nasional.
Buah-buah fikiran beliau dalam bidang fiqh keagamaan dan politik telah didokumentasikan dengan cukup baik. Sehingga tahun 2021 sudah puluhan buku dan kitab dikarang oleh TGHH dalam memberikan panduan beragama dan berpolitik kepada umat Islam, antaranya buku politik Islam seperti
Fiqh Harakah, Budaya Politik Matang Sejahtera, Islam Memimpin, Islam dan Demokrasi, Islam Jalan Penyelesaian dan banyak lagi.
Selain itu TGHH juga mengeluarkan kitab tafsir Al Quran dengan nama atau label At Tibyan pada setiap kitab tafsir hasil nukilan beliau seperti berikut:
1.Tafsir Surah Al-Baqarah (terbitan Unit Buku Harakah)
2.Tafsir Surah As-Saff (terbitan Jundi Resources)
3.Tafsir Surah Al-Hujurat (terbitan Jundi Resoures)
4.Tafsir Surah Al-Kahfi (terbitan APSA Production)
5.Tafsir Surah Yaasin
6.Tafsir Surah Al-Hasyr
7.Tafsir Surah Luqman
8. Tafsir Surah Al Asr
9. Tafsir Surah Al-Fill
Itu belum kita sentuh tentang penulisan rutin TGHH iaitu Minda Presiden yang menjadi kayu ukur pendirian semasa PAS dan TGHH yang sentiasa disebarkan kepada orang ramai. Penulisan Minda Presiden yang sentiasa sarat dengan mesej dan dalil-dalil yang menjadi asbab sesuatu tindakan atau ijtihad politik itu diambil oleh Tuan Guru. Mana nak kita cari pemimpin politik seperti ini lagi?
2) Tindakan TGHH
Menyoroti gagasan semata-mata tidak cukup andai tidak diiringi dengan tindakan. Sudah banyak tokoh dan figura politik yang hebat dari segi idea dan tutur kata namun dari segi perbuatan jauh sekali.
Semestinya tindakan yang boleh kita kagumi adalah cara berpolitik TGHH yang berpandukan ajaran dan prinsip Islam. Ini perkara yang amat jarang kita boleh lihat dalam kalangan ahli politik kita sekarang yang rata-rata berpolitik atas semangat atau falsafah ala barat semata-mata.
Contohnya, sewaktu zaman kerajaan PH yang menyaksikan kuasa politik dan hegemoni negara ini yang berteraskan Melayu Islam cuba disentuh dan dibuat main, PAS dibawah pimpinan TGHH dengan tangkas mewujudkan kerjasama dengan parti terbesar Melayu iaitu UMNO berdasarkan prinsip siasah syar'iah Taawun Siyasi iaitu tolong menolong dalam perbincangan kebajikan, kesatuan dan usaha untuk memartabatkan Islam, bangsa serta tanah air, itu yang kita boleh lihat menerusi beberapa siri PRK pasca- PRU-14. Ini semua demi 'survivability' kaum Bumiputera itu sendiri.
Contoh lain, dalam berpolitik TGHH tekankan kepada ahli PAS bahawasanya kita bukan hanya sekadar berpolitik namun dalam masa kerja dakwah turut menjadi objektif utama. Sebab itu, tatkala panasnya cuaca politik pra Pru-14 dengan tuduhan rasuah dan permainan persepsi, tiba-tiba TGHH memperkenalkan idea Budaya Politik Matang Sejahtera sebagai tawaran PAS buat rakyat Malaysia. BPMS mementingkan fakta dan kebenaran bagi menolak budaya persepsi populis yang dilihat lemah dan mengalah kepada kejahatan pada mata masyarakat biasa waktu itu.
Sedangkan berita-berita dan isu berlegar sewaktu itu seperti tuduhan rasuah dan salah laku beberapa institusi masih belum dimuktamadkan, namun ramai politikus yang menunggang isu ini dan menjatuhkan hukuman luar mahkamah semata-mata meraih populariti dan ingin dilihat sebagai juara rakyat.
PAS sendiri terpalit dengan tuduhan menerima rasuah 90 juta sehinggakan reputasi PAS terjejas teruk, namun ahli PAS diajar supaya membalas fitnah dengan penghujahan fakta dan kebenaran yang sebenar, tidaklah menarik seperti tuduhan dan labelan sensasi yang dilemparkan musuh.
Kita maju kehadapan tahun 2021, rakyat sememangnya muak dengan berita politik dan permainan murahan politikus sehinggakan mereka menuntut satu budaya dan suasana politik baru dihidangkan, tanpa mereka sedar, sebenarnya TGHH dan PAS sudahpun menawarkan solusinya seawal 2017 lagi.
Banyak lagi tingkah laku TGHH yang boleh dicontohi, dari sudut menggauli masyarakat, TGHH tanpa gagal setiap minggu berkuliah di Rusila bersama ribuan masyarakat Terengganu. Belum ditambah sikap tawadhuk TGHH yang boleh kita lihat menerusi teratak sederhana beliau yang dibuat dari kayu, berbeza dengan ahli politik lain yang terhias indah dengan rumah agam, jet peribadi dan syarikat-syarikat sehinggakan boleh diwariskan kepada cucu cicit.
Bukan sahaja isu nasional, bahkan isu antarabangsa juga menjadi fokus TGHH khususnya umat Islam. Tidak perlu diceritakan peranan dan jasa TGHH yang sangat banyak di pentas antarabangsa dalam menyelesaikan konflik umat Islam.
Malahan sebagai jawapan dalam mendepani isu normalisasi hubungan negara Islam dengan Israel yang mengejutkan dunia Islam, TGHH telah mendedikasikan sebuah buku bagi merungkai isu terbabit, nyatalah tidak ramai pemimpin politik yang mempunyai kemampuan seperti TGHH sebenarnya.
Apa yang diperjuangkan TGHH dan PAS kini hanya satu, iaitu Islam dan perpaduan ummah yang menjadi kekuatan buat umat itu sendiri, bagaimana dengan kita sebagai umat Islam? Adakah kita bersedia menyahut seruan ini? Tepuk dada tanya iman.
Inilah serba sedikit, perihal Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sosok tubuh pejuang siasah, seorang ulama yang selalu dicela dan diberi gelaran jelek, ramai yang menghina.
Namun sebenarnya lagi ramai yang menghormati dan mendapat manfaat dari keilmuan dan kepimpinan TGHH, apa yang TGHH hadapi sudah dilalui sahabat-sahabat beliau seperti almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Haron Din, ketika hidup sentiasa dicaci, namun setelah meninggal barulah dicari.
2021