09/05/2026
BENGKEL STRATEGIK U-OBE: MEMPERKASAKAN PROSES KERJA AKADEMIK UNISZA
PUTRAJAYA, 8 Mei 2026 โ Pusat Pengurusan Kecemerlangan dan Inovasi Akademik (CoMAE-i) UniSZA telah berjaya menganjurkan Pra-Bengkel Pembangunan Proses Kerja Sistem UniSZA Outcome Based Education (U-OBE) yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 6 hingga 8 Mei 2026 di Pusat Pemindahan Ilmu dan Pendidikan Berterusan (P2P), UniSZA Putrajaya. Bengkel strategik ini dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi CoMAE-i termasuk Pengarah, Timbalan Pengarah, Penyelaras, serta pegawai yang terlibat dalam memacu pembangunan serta penyelarasan sistem U-OBE di UniSZA.
Bengkel ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah CoMAE-i, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Khamsah Suryati Mohd, yang menekankan bahawa pelaksanaan OBE secara sistematik dan bersepadu adalah elemen kritikal bagi memastikan tadbir urus akademik UniSZA kekal relevan, berkualiti, serta mampu mendepani cabaran dinamik dalam landskap pendidikan tinggi masa kini. Sehubungan itu, penganjuran bengkel ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh kefahaman warga kerja terhadap pembangunan kurikulum, malah fokus utamanya adalah untuk membangunkan dan memurnikan proses kerja Sistem U-OBE agar lebih komprehensif serta berintegrasi sepenuhnya. Langkah ini sekali gus menjadi platform penting bagi menyelaraskan mekanisme pemantauan pelaksanaan OBE supaya selaras dengan standard jaminan kualiti universiti serta memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Malaysian Qualifications Framework (MQF).
Sepanjang tempoh bengkel tersebut, kolaborasi aktif melalui sesi perbincangan intensif dan pembangunan draf aliran kerja telah dilaksanakan bagi memastikan transisi sistem U-OBE dapat digerakkan dengan lebih efektif dan teratur. Hasil daripada usaha kolektif ini, beberapa cadangan penambahbaikan serta penyelarasan proses kerja telah berjaya dirangka bagi memperkukuh pengoperasian sistem tersebut di UniSZA.
Melalui pemerkasaan Sistem U-OBE ini, staf akademik akan menggunakan sistem digital yang lebih efisien dalam membangunkan Detailed Course Information (DCI) yang sistematik dan sejajar dengan hasil pembelajaran kursus serta program. Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen jitu UniSZA dalam memperkasakan pelaksanaan OBE secara holistik demi menyokong kecemerlangan akademik yang berimpak tinggi dan mampan.