24/09/2026
FMPT UniSIRAJ Jayakan IMDeC 2026 sebagai Rakan Strategik
MERBOK, 22 September 2026 – Fakulti Muamalat, Pengurusan dan Teknologi (FMPT), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) terus memperkukuh jaringan kerjasama akademik apabila terlibat sebagai Rakan Strategik Rasmi dalam 4th International Conference on Islamic Management and Development 2026 (IMDeC 2026) yang dianjurkan oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah.
Persidangan yang berlangsung secara dalam talian pada 22 September 2026 bertemakan “Transforming Islamic Management and Development in the Age of Artificial Intelligence for Sustainable Ummah Impact”. IMDeC 2026 menjadi platform antarabangsa bagi menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pengamal industri dan pelajar untuk berkongsi hasil penyelidikan, kepakaran serta memperkukuh jaringan kolaborasi dalam bidang pengurusan dan pembangunan Islam.
Sebagai rakan strategik, FMPT UniSIRAJ turut menyumbang melalui penyertaan enam orang pensyarah yang membentangkan hasil penyelidikan dalam sesi pembentangan selari, iaitu Pn. Nabilah Wafa’ binti Mohd Najib dengan artikel “Governing Digital Islamic Social Finance: Pathways to Inclusive and Sustainable Development”; Cik Zati Hanani binti Ismail, “Dynamic Capabilities in the Digital Era: A Bibliometric Review”; Cik Syarifah Fairuz binti Syed Radzuan, “Unveiling Global Trends in Cloud Computing and Accounting Research: A Bibliometrics Study”; Pn. Mardziyah binti Mohd Isa, “Assessing the Level of Islamic Financial Literacy among Secondary School Students in Perlis”; Pn. Nurul Khofifah binti Abdullah, “Enhancing Student Satisfaction through Service Quality: The Moderating Role of Applied Sunnah in Islamic Higher Education” sekaligus merangkul Anugerah Pembentang Terbaik; serta Dr. Fatimah Noni binti Muhamad, “An Explainable Decision Tree Model for Identifying Factors Influencing Teachers’ Gamification Adoption”.
Program IMDeC 2026 turut menyenaraikan sesi pembentangan selari pada waktu pagi dan petang. Penglibatan ini mencerminkan komitmen FMPT UniSIRAJ dalam memperkasa budaya penyelidikan, perkongsian ilmu dan kolaborasi strategik di peringkat lebih luas. Pihak penganjur turut menyatakan penghargaan terhadap kerjasama FMPT UniSIRAJ sebagai rakan strategik rasmi IMDeC 2026.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada keenam-enam pensyarah FMPT atas sumbangan, komitmen dan kejayaan mengharumkan nama UniSIRAJ di persada akademik!