Permasa Unisiraj

Directions Contact the school

Permasa Unisiraj Ini Merupakan Pages Rasmi Persatuan Mahasiswa Fakulti Al-Quran Dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UNISIRAJ)

📢 WELCOME NEW STUDENTS – SEPTEMBER 2026! 🎓✨Assalamualaikum w.b.t. 🌹Congratulations and a warm welcome to all new student...
20/09/2026

📢 WELCOME NEW STUDENTS – SEPTEMBER 2026! 🎓✨

Assalamualaikum w.b.t. 🌹

Congratulations and a warm welcome to all new students of Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UNISIRAJ)! 🎉

🌙 PERMASA UNISIRAJ – The Al-Quran and Sunnah Students’ Association – warmly welcomes you to become part of our growing student community.

📖 “Seeking knowledge is an obligation upon every Muslim.”
— Narrated by Ibn Majah (224)

🤝 Let’s build meaningful friendships, gain beneficial knowledge, and create a vibrant campus environment rooted in the values of Al-Quran and Sunnah.

✨ Together, we empower PERMASA. Al-Quran and Sunnah, our guidance.

Don’t forget to follow us on social media for the latest updates, activities, and programmes by PERMASA UNISIRAJ.

📱 TikTok & Instagram:
📧 Email: [email protected]

WELCOME TO UNISIRAJ, NEW STUDENTS! 💙💛

May your journey at UNISIRAJ be filled with knowledge, meaningful experiences, beautiful friendships, and unforgettable memories. 🌹

ULASAN BUKU 📚 SIRI: 53[PERMASA BOOK CLUB]Judul Buku: Palestin (dari sungai ke Segara)Penulis: Ayman Rashdan Wong Penerbi...
16/09/2026

ULASAN BUKU 📚 SIRI: 53
[PERMASA BOOK CLUB]

Judul Buku: Palestin (dari sungai ke Segara)
Penulis: Ayman Rashdan Wong
Penerbitan: The Patriots
Tahun Penerbitan: 2025
Jumlah Halaman: 201

Buku Palestine karya Ayman Rashdan Wong memulakan asas naratif dengan merungkai perihal geografi serta pembentukan identiti sebenar pihak-pihak yang terlibat dalam konflik ini. Keluasan negara Palestin dianggarkan tidak seluas negeri Pahang, tetapi ia lebih besar berbanding negeri Perak, dengan nama asalnya merangkumi kawasan bernama Philistia yang turut meliputi Semenanjung Gaza.

Dari sudut teologi, catatan mengenai 'tanah yang dijanjikan' sememangnya wujud secara sahih di dalam Al-Quran melalui Surah al-Maidah ayat 21 hingga 22, dan juga di dalam kitab Tanakh. Namun begitu, penulis menegaskan bahawa 'Yahudi' adalah satu identiti bangsa yang hanya mula wujud selepas kejatuhan empayar Bani Israel. Oleh sebab itu, agak tidak tepat untuk menisbahkan nabi-nabi terdahulu seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Ishaq sebagai orang Yahudi kerana mereka (golongan Yahudi) hanyalah kelompok baki daripada keturunan Israel yang tidak mewarisi sepenuhnya identiti Bani Israel yang jauh lebih besar. Malah, identiti Yahudi pada hari ini dilihat lebih berkait rapat dengan penganutan agama Yahudi itu sendiri.

Menyentuh tentang sejarah pemerintahan Islam di wilayah tersebut, penulis menonjolkan sikap toleransi yang pernah dipraktikkan. Proses Arabisasi dan Islamisasi yang melebarkan pengaruh Islam ke atas bumi Palestin berlaku secara beransur-ansur melalui proses akulturasi, dan bukannya secara paksaan. Hal ini jelas menunjukkan keadilan Islam yang sentiasa mempertimbangkan kebebasan dan hak orang bukan Islam di Palestin serta Baitul Maqdis. Sikap toleransi ini terbukti apabila pemerintah Islam membatalkan larangan empayar Rom ke atas orang Yahudi dan kembali membenarkan mereka untuk memasuki perkarangan Baitul Maqdis.

Dari sudut rujukan geografi p**a, sebutan 'Masjid al-Aqsa' sebenarnya merujuk kepada keseluruhan kawasan perkarangan yang meliputi Bukit Kuil (Kuil Sulaiman) dan Kuil Kedua. Binaan seperti Kubah Batu dan Masjid al-Qibli pada hakikatnya hanyalah sebahagian komponen binaan di dalam kawasan perkarangan suci tersebut.

Perkembangan politik moden dan campur tangan antarabangsa kemudiannya telah merumitkan lagi krisis perebutan tanah ini. Terdapat satu ironi sejarah apabila kaum Yahudi bertindak melawan Kerajaan Mandat British setelah kegagalan mereka mendesak pihak British untuk memberikan pertolongan. Pada akhirnya, British mengambil keputusan lepas tangan demi menumpukan perhatian kepada pembangunan domestik pasca Perang Dunia Kedua, lalu menyerahkan isu pentadbiran Palestin kepada pihak PBB (United Nations) sebagai pengganti Liga Bangsa. Kesempatan ini digunakan oleh kaum Yahudi pada 15 Mei 1948 untuk mengisytiharkan kemerdekaan dan menubuhkan negara Israel, lantas mewujudkan entiti 'negara dalam negara' di Palestin.

Penulis turut menepis dakwaan palsu yang menganggap negara-negara Arab tidak pernah membantu Palestin. Rekod sejarah membuktikan banyak negara Arab yang tampil membantu, namun kegagalan menentang Israel sering kali berpunca daripada agenda tersendiri setiap negara Liga Arab yang ada ketikanya menghalang kelancaran strategi satu sama lain. Kuasa besar seperti Amerika Syarikat turut cuba memainkan peranan sebagai pendamai, contohnya melalui penganjuran Perjanjian Oslo antara Yitzhak Rabin dan Yasser Arafat hasil campur tangan Amerika dan Kesatuan Soviet.

Buku ini juga mendokumentasikan rentetan konflik yang membawa kepada bencana kemanusiaan berterusan di Gaza. Ia bermula dengan Perang Gaza Pertama (27 Disember 2008) yang meragut 1,300 nyawa rakyat Palestin dalam masa 22 hari. Tindakan kejam Israel mengenakan sekatan akses laut kemudiannya telah menyukarkan kelangsungan hidup penduduk Gaza, sehingga menggerakkan inisiatif antarabangsa seperti armada Gaza Freedom Flotilla pada Mei 2010 untuk memecahkan rantaian kepungan tersebut. Kekejaman ini disusuli oleh Perang Gaza Kedua pada tahun 2012 (100 nyawa) dan Perang Gaza Ketiga pada tahun 2014 (2,300 nyawa).

Walau bagaimanapun, kemusnahan paling dahsyat dicatatkan melalui Operasi Harvot Barzel baru-baru ini yang mengorbankan sekitar 40,000 nyawa tidak bersalah. Serangan yang menyasarkan sekolah, hospital, bangunan warisan, dan institusi pendidikan ini jelas merupakan satu usaha penghapusan etnik untuk memadamkan terus identiti Palestin, dan amat menyedihkan apabila ia dikatakan mendapat sokongan pentadbiran Presiden Joe Biden. Walaupun kerosakan berskala besar telah dilakukan, pihak Israel hakikatnya masih gagal menguasai Gaza sepenuhnya, lantas mendorong mereka untuk mencetuskan provokasi berisiko terhadap Iran selaku entiti penaung kepada paksi penentangan.

Pada penghujung ulasan, penulis berusaha membongkar beberapa mitos pop**ar berkenaan konflik ini agar masyarakat dunia dapat menilainya dengan lensa yang lebih tepat. Pertamanya, isu pokok ini bukanlah sekadar isu agama Islam, tetapi ia adalah soal pengusiran kejam penduduk tempatan dari tanah air mereka sendiri. Di Palestin, penganut Kristian turut berjuang berganding bahu atas semangat sayangkan tanah air yang sama. Keduanya, tidak semua orang Yahudi itu mendokong fahaman Zionis, dan sebaliknya golongan bukan Yahudi juga boleh menjadi penyokong tegar ideologi tersebut.

Akhir sekali, penulis mengingatkan bahawa jika kita hanya memperjuangkan nasib Palestin berlandaskan sentimen agama semata-mata, kita mungkin secara tidak sengaja akan menjauhkan pihak-pihak antarabangsa bebas yang pada asalnya ingin bersolidariti atas dasar kemanusiaan sejagat.

-Amir Farhan

🧑🏻Ulasan Oleh: Ahmad Amir Farhan Mustafa
Ijazah Sarjana Muda Hadith dengan Kepujian
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)

✅Disediakan Oleh:
Exco Akademik | Exco Multimedia 25/26

____________________________________

"KEBERSAMAAN MAHASISWA MEMACU PERMASA"🤝
"Al-QURAN DAN SUNNAH RUJUKAN KAMI"📖

POSTER DAKWAH : SIRI 26[JAGA BUMI KITA, PELIHARA AMANAH BERSAMA]بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمAll...
15/09/2026

POSTER DAKWAH : SIRI 26

[JAGA BUMI KITA, PELIHARA AMANAH BERSAMA]

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم

Allah سبحانه وتعالى berfirman:

‎ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (bertaubat).” (Surah ar-Rum: 41)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kerosakan alam bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh, kerana pencemaran, pembaziran dan kemusnahan alam memberi kesan kepada kehidupan manusia. Sebagai seorang Muslim, kita perlu menyedari bahawa bumi merupakan amanah Allah سبحانه وتعالى yang perlu dijaga.

Marilah kita memelihara alam melalui amalan sederhana seperti mengurangkan pembaziran dan menjaga kebersihan. Menjaga bumi bukan sekadar tanggungjawab terhadap alam, tetapi amanah kita kepada Allah dan generasi yang akan datang.

✅ Disediakan Oleh:
Exco Dakwah & Perhubungan 25/26

______________________________________

“KEBERSAMAAN MAHASISWA MEMACU PERMASA”🤝
“AL-QURAN DAN SUNNAH RUJUKAN KAMI” 📖

ULASAN BUKU 📚 SIRI: 52[PERMASA BOOK CLUB]Judul Buku: Sekadar PernahPenulis: Hafizul FaizPenerbitan: Tentang KitaTahun Pe...
14/09/2026

ULASAN BUKU 📚 SIRI: 52
[PERMASA BOOK CLUB]

Judul Buku: Sekadar Pernah
Penulis: Hafizul Faiz
Penerbitan: Tentang Kita
Tahun Penerbitan: 2026
Jumlah Halaman: 178

Kata seorang filsuf Yunani Kuno, Heraclitus; "You can't step into the same river twice."

Kita mungkin boleh datang semula di tempat yang sama kita pernah ada, tapi suasananya takkan pernah sama seperti sebelumnya. Masa lalu itu jauh. Meski sedetik yang baru kita lalui ini, mustahil untuk kita kembalikan lagi. Apalagi berpatah semula kepada masa yang lebih lampau untuk membetulkan langkah yang pernah tersilap caturannya. Kita cuma boleh mengenang dan mengambil pelajaran daripadanya. Masa depan p**a adalah suatu yang akan menjadi pernah bila tiba masanya. Maka teruslah berusaha meski hasil akhirnya nanti tidak seperti yang dijangka. Kerana apapun yang telah terjadi atau akan terjadi, semuanya telah ditentukan takdir. Tetapi bagaimana kita menanggapi dan menangani sesuatu yang telah ditetapkan itulah yang terpenting.

Kehidupan di dunia ini, sungguh tidak ada yang kekal. Lihat sahaja diri sendiri. Kita yang di hari ini tidak mungkin sama dengan kita yang di semalam, minggu lepas dan bahkan di tahun-tahun sebelumnya. Entah berbeza dari cara pandang yang semakin matang, atau rupa paras sendiri yang semakin berusia di setiap hari.

Buku ini menghimpunkan monolog ringkas penulis yang terhasil dari tafakur dan beberapa pengalaman hidupnya. Penulisannya sedikit melankolik, tetapi tetap sarat dengan hikmah. Sesekali akan diselitkan tadabbur ayat-ayat Quran yang berkait dengan kehidupan.

"Berpeganglah kepada kenyataan bahawa semua hal akan menjadi pernah bila sampai masanya. Semuanya akan berlalu."

🧑🏻Ulasan Oleh: ‘Amilah Mohd Ali
Ijazah Sarjana Muda Bahasa Al-Quran dan Sunnah dengan Kepujian
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)

✅Disediakan Oleh:
Exco Akademik | Exco Multimedia 25/26

____________________________________

"KEBERSAMAAN MAHASISWA MEMACU PERMASA"🤝
"Al-QURAN DAN SUNNAH RUJUKAN KAMI"📖

POSTER DAKWAH : SIRI 25[HANYA DENGAN MENGINGATI ALLAH, HATI MENJADI TENANG]بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ ال...
09/09/2026

POSTER DAKWAH : SIRI 25

[HANYA DENGAN MENGINGATI ALLAH, HATI MENJADI TENANG]

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم

Allah سبحانه وتعالى berfirman:
‎الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang tenteram." (Surah Ar-Ra’d: 28)

Ketenangan jiwa yang hakiki tidak akan pernah ditemui pada perkara dunia yang fana. Hati manusia diciptakan untuk mengenali dan mencintai Penciptanya; maka kegelisahan serta gundah-gulana hanya akan lenyap apabila kalbu kembali basah dengan zikrullah, menerusi tasbih, tahlil, serta tadabbur kalam-Nya. Al-Quran membimbing akal dengan ilmu dan keyakinan yang pasti, menjauhkan jiwa daripada keraguan serta kekeliruan.

Rasulullah ﷺ juga bersabda:
‎مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لا يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
“Perumpamaan orang yang mengingati Tuhannya dengan orang yang tidak mengingati Tuhannya adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.” (HR. al-Bukhari)

Kembalikan kedamaian jiwa pada sumber asalnya iaitu membasahi lisan dengan zikir, mendekatkan diri dengan al-Quran dan raihlah nikmat hati yang sentiasa berpaut kepada Allah سبحانه وتعالى.

✅ Disediakan Oleh:
Exco Dakwah & Perhubungan 25/26

______________________________________

“KEBERSAMAAN MAHASISWA MEMACU PERMASA”🤝
“AL-QURAN DAN SUNNAH RUJUKAN KAMI” 📖

ULASAN BUKU 📚 SIRI: 51[PERMASA BOOK CLUB]Judul Buku: Dialog ExistologiPenulis: Dr. Naseer SobreePenerbitan: Baytul Hikma...
08/09/2026

ULASAN BUKU 📚 SIRI: 51
[PERMASA BOOK CLUB]

Judul Buku: Dialog Existologi
Penulis: Dr. Naseer Sobree
Penerbitan: Baytul Hikma
Tahun Penerbitan: 2015
Jumlah Halaman: 153

Ulasan kali ini sememangnya berbeza daripada ulasan-ulasan yang lampau. Mengapa dan bagaimana? Ulasan buku yang ingin dikongsikan pada kali ini adalah seputar agama, perubatan dan falsafah. Ranah yang terakhir itulah yang barangkali akan menjadi tumpuan kita semua memandangkan falsafah sering dikira unsur 'asing' daripada tradisi (keilmuan) Islam, lebih-lebih lagi ia juga dipandang "bid'ah" oleh sebilangan Kaum Muslimin.

Akan tetapi, andai diberikan pendedahan yang sewajarnya, pegangan erat terhadap al-Quran dan Sunnah tidak semestinya akan pudar oleh sebab falsafah. Malah, falsafah akan dapat, secara matang, difahami dan ditanggapi sebagaimana ilmu-ilmu lain seperti sejarah, sosiologi, psikologi, ekonomi, politik dan lain-lain ranah kehidupan yang dikaji insan. Hal ini kerana di dalam bidang falsafah itu sendiri wujud mazhab-mazhab yang rencam lagi unik. Tidak kurang juga mazhab-mazhab yang sememangnya janggal di telinga untuk direnungkan apatah lagi diperbahaskan. Setiap mazhab mewakili falsafah mereka tersendiri. Satu contoh yang pengulas boleh kemukakan sebagai perbandingan adalah tokoh Psikoanalisis Sigmund Freud di dalam bidang Psikologi. Beliau tidak mewakili Psikologi itu sendiri sebagai satu ilmu lengkap. Malahan, Freud dengan teori "seks sebagai pemangkin bawah sedar tindakan-tindakan manusia"nya tidak kurang dikritik termasuk oleh Psikologis Muslim, al-Marhum Malik Badri (silakan baca ‘The Dilemma of Muslim Psychologists’). Aristotle, Plato dan Sokrates bukan "satu-satunya" Filsuf yang pernah berfikir! Sikap "pukul sama rata" tidak akan sama sekali berjaya menghapuskan kesesatan di atas muka bumi ini. "Taklid dalam menolak sesuatu perkara" pun taklid jua! Barang diingat, dengan merenungkan Sunnatullah berbentuk sebab-akibat, kesesatan adalah hasil diri yang tidak dapat membezakan yang hak dan batil. Andai air di dalam sebuah kolam mandi (mudah alih) bayi itu sudah lama dan perlu ditukar, apakah kita akan melimpahkan keluar air itu bersama-sama bayi yang tidak bersalah? Jelasnya, tidak salah sama sekali untuk dikatakan bahawa pada setiap ilmu yang kita selami, harus disertakan dengan rasa berhati-hati (bukan sombong) dalam mengkaji.

Existologi merupakan istilah pengarang bagi falsafah (dengan makna kajian tentang wujud). Antara asas yang menjadi tunjang falsafah beliau adalah tiga sumber pengetahuan iaitu al-Hiss, al-'Aql, al-Wahy. Di samping itu, beliau menyajikan beberapa perincian sekitar falsafah yang meliputi pendekatan pengarang dalam menanggapi pandangan (menggali seraya mengumpul maklumat dari sumber pelbagai iaitu penilaian dilakukan lewat piawaian sumber ilmu/epistemologi yang jitu; integratif dan elektif / tajmi' dan takhyir, berpandukan ayat 18 Surah az-Zumar), kedudukan kashaf sebagai sumber ilmu menurut Existologi, kritikan beliau terhadap penyalahgunaan istilah "logik/tidak logik" oleh sebilangan orang awam (beliau menjelaskan adanya perbezaan di antara konsep logik dan rasional), kritikan beliau terhadap pengagungan melampau terhadap sains sebagai satu-satunya yang mutlak sedang kajian atau eksperimentasi adalah berdasarkan kondisi yang relatif (dalam bahasa yang mudah, sampel kajian yang dikawal dalam masa serta ruang yang tertentu atau ditentukan), kepentingan mantiq termasuk dalam pengajian bidang perubatan dan lain-lain.

Kupasan falsafi beliau banyak membantu pengulas dalam mengulangkaji apa yang telah beliau ajarkan ketika beliau mensyarahkan Mabadi' al-Falsafah karya Syeikh Sa’eed Ahmad al-Balanburi pada satu ketika dahulu. Selain itu, tidak sedikit perbahasan yang dikupas oleh pengarang yang berjaya menggambarkan betapa praktikalnya falsafah dalam memandang kehidupan (malah, sebenarnya, aspek praktikal/amali dalam falsafah itu disebut al-Hikmah al-'Amaliyyah, barangkali ramai lari daripada falsafah kerana terlalu "gerun" terhadap teori yang kelihatan kompleks pada mulanya tanpa cuba meninjau sisi-sisinya yang amali jua). Hal yang kerap "buat sesetengah pihak geram" terhadap falsafah adalah sebahagian teori yang dikemukakan oleh sebilangan ahli falsafah yang ditanggapi bercanggah dengan wahyu. Tiada siapa menghalang kita untuk bersikap kritis mengenai hal tersebut tetapi bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih.

Kadangkala, kupasan yang disajikan adalah berbentuk teks ringkas bertujuan sebagai pengantar bagi sesuatu perbahasan. Pada kesempatan lain, pengarang membawa dialog ke dalam perbincangan. Tindakan tersebut mengingatkan saya terhadap usaha rekod oleh anak murid (Plato) pengajaran si guru (Sokrates) yang berupa dialog antara watak. Tidak dapat dinafikan, dialog-dialog yang termuat di dalam catatan pengarang menggambarkan luasnya pergaulan pengarang. Tidak menghairankan juga kalau dikatakan bahawa selain membaca dan berguru (talaqqi), berdialog atau “sembang berisi” juga boleh dijadikan jalan dalam menuntut, menambah sembari memperkemaskan pengetahuan. Ada kalanya, pengarang menampilkan buah fikirannya dalam bentuk aforisme (ungkapan ringkas-serba-bermakna). Terkadang, pengarang menyertakan rajah sebagai pemudah kefahaman. Rencam struktur pada lontaran buah fikiran ini tidak membuatkan pembaca cepat merasa bosan. Malahan, ketidaksinambungan antara bab-bab memberikan kebebasan kepada pembaca untuk ulang-rujuk mana-mana bahagian yang menjadi minatnya.

Seperti yang sudah disebutkan sebelum ini, pengarang tidak hanya fokus pada ranah falsafah semata-mata. Bahkan, pengarang menyumbang buah fikirannya seputar agama dan perubatan. Dalam perbahasan agama, beliau mempunyai kritikan yang tersendiri, antaranya, terhadap ketaksuban segelintir kepada unsur-unsur yang dikatakan mewakili "humanisme" di dalam Islam, begitu juga terhadap perangai kurang baik sebahagian agamawan di samping mensyarah konsep wasatiyah di sisi beliau. Adapun, dalam perbahasan perubatan, beliau membahaskan serba sedikit berkenaan Perubatan Ibnu Sina (Persina) yang menyentuh perubatan dari sudut teori dan dari sudut praktikal. Selain itu, beliau menjelaskan tidak semua simptom itu negatif (kerana "simptom yang positif" harus dikawal, bukan dihalang, memandangkan ia adalah satu proses penyingkiran racun/ bahan patogenik dari tubuh). Di samping itu, beliau mencatat lantas memberi pendedahan kepada para pembaca akan ramuan yang disebut Sakanjabin/Oximel, fungsinya serta langkah berjaga-jaga dalam memanfaatkannya. Jujur kata, pengulas belum dapat menguasai lagi (baca: masih belum "membiasakan" diri terhadap) semua yang dicatat oleh pengarang dalam soal perubatan ini. Ikhtisas bidang tidak menjadi penghalang sebenarnya. Lihatlah budaya “silang-bidang (polymathy)” yang ditampilkan oleh susuk seperti Ibnu Sina, al-Kindi serta mereka yang seangkatan. Bahkan, pengulas menjadi bersemangat untuk mempelajarinya oleh sebab gaya kupasan pengarang yang tidak mengecewakan dalam merangsang sikap inkuiri.

Sebagai intiha, usah kita terlalu "berlakon ada alahan (alergik)" terhadap "ilmu yang tercemar" dek beberapa individu yang memiliki pemikiran tersendiri. “Beralah-lah sedikit” untuk mengambil tahu. Persoalan yang harus kita tanyakan, apakah ada usaha sendiri dalam mengekstrak madu dengan selamat supaya tidak disengat lebah yang mengelilinginya? Malahan, apakah kita harus bermusuhan dengan lebah tersebut andai kita sendiri tidak semena-mena bersikap bermusuhan (hostile) terhadapnya pada awalnya?

🧑🏻Ulasan Oleh: Muhammad Adam Daniel Bin Harold Nizam @ Redzam
Ijazah Sarjana Muda Hadith dengan Kepujian
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)

✅Disediakan Oleh:
Exco Akademik | Exco Multimedia 25/26

____________________________________

"KEBERSAMAAN MAHASISWA MEMACU PERMASA"🤝
"Al-QURAN DAN SUNNAH RUJUKAN KAMI"📖

POSTER DAKWAH : SIRI 24[BERJAYA DI SISI MANUSIA, BAGAIMANA DI SISI ALLAH?]بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الر...
01/09/2026

POSTER DAKWAH : SIRI 24

[BERJAYA DI SISI MANUSIA, BAGAIMANA DI SISI ALLAH?]

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم

Allah سبحانه وتعالى berfirman:
‎إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu.” (Surah al-Hujurat: ayat 13)

Ayat ini mengingatkan bahawa ukuran kemuliaan di sisi Allah bukanlah berdasarkan pencapaian, jawatan, kekayaan, pop**ariti atau pandangan manusia, tetapi berdasarkan ketakwaan.

Sebagai mahasiswa, kita digalakkan mengejar kecemerlangan dalam pelajaran dan kehidupan. Namun, kejayaan dunia tidak seharusnya menyebabkan kita lupa kepada Allah. Ilmu, pencapaian dan cita-cita akan menjadi lebih bermakna apabila semuanya membawa kita semakin dekat kepada-Nya.

Kerana pada akhirnya, bukan sekadar bagaimana manusia melihat kita, tetapi bagaimana Allah menilai kita.

✅ Disediakan Oleh:
Exco Dakwah & Perhubungan 25/26

______________________________________

“KEBERSAMAAN MAHASISWA MEMACU PERMASA” 🤝
“AL-QURAN DAN SUNNAH RUJUKAN KAMI” 📖

POSTER DAKWAH : SIRI 23[SARING SEBELUM SHARING, FIKIR SEBELUM BERBICARA]بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّ...
01/09/2026

POSTER DAKWAH : SIRI 23

[SARING SEBELUM SHARING, FIKIR SEBELUM BERBICARA]

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم

Allah SWT berfirman:
‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kejahilan, kemudian kamu menyesal atas perbuatan kamu.”
(Surah Al-Hujurat: 6)

Adab dalam berbicara dan menggunakan media sosial bukan sekadar menjaga kata-kata, tetapi juga memastikan setiap perkara yang kita sampaikan benar dan bermanfaat. Jangan terburu-buru menyebarkan berita yang belum pasti, kerana satu perkongsian yang salah boleh menimbulkan fitnah dan menyakiti orang lain. Sebelum berbicara atau menekan butang share, berhenti sejenak, fikirkan kebenarannya, manfaatnya dan kesannya kepada orang lain.

Rasulullah ﷺ juga bersabda:
‎مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
(HR. al-Bukhari dan Muslim)

Jadilah orang yang bijak dalam berbicara: saring sebelum sharing, fikir sebelum berbicara, dan pastikan setiap perkataan kita membawa kebaikan, bukan penyesalan.

✅ Disediakan Oleh:
Exco Dakwah & Perhubungan 25/26

______________________________________

“KEBERSAMAAN MAHASISWA MEMACU PERMASA” 🤝
“AL-QURAN DAN SUNNAH RUJUKAN KAMI” 📖

POSTER DAKWAH : SIRI 22[APABILA HAIWAN MENJADI ANCAMAN: ISLAM MEMBENARKAN TINDAKAN DEMI KESELAMATAN]بِسْــــــــــــــــ...
01/09/2026

POSTER DAKWAH : SIRI 22

[APABILA HAIWAN MENJADI ANCAMAN: ISLAM MEMBENARKAN TINDAKAN DEMI KESELAMATAN]

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Islam mengajar umatnya supaya berbuat ihsan kepada semua makhluk termasuk haiwan. Namun, apabila haiwan tertentu menjadi ganas dan mendatangkan ancaman kepada keselamatan manusia, Islam tidak mengajar kita untuk membiarkan kemudaratan tersebut berlaku.

Dalam situasi seperti anjing liar yang menyerang atau menggigit manusia, tindakan boleh diambil bagi menghilangkan ancaman dan melindungi nyawa. Keharusan tersebut bukan bermaksud membunuh haiwan secara sewenang-wenangnya, tetapi berdasarkan keperluan untuk menghilangkan bahaya yang nyata.

Islam mengimbangi antara rahmah kepada haiwan dan penjagaan nyawa manusia. Maka, setiap tindakan hendaklah dilakukan dengan penuh pertimbangan, tidak melampaui batas dan bertujuan menghilangkan kemudaratan. Berdasarkan kaedah fiqh
الضَّرَرُ يُزَالُ
“Kemudaratan hendaklah dihilangkan

✅ Disediakan Oleh:
Exco Dakwah & Perhubungan 25/26

______________________________________

“KEBERSAMAAN MAHASISWA MEMACU PERMASA”🤝
“AL-QURAN DAN SUNNAH RUJUKAN KAMI” 📖

ULASAN BUKU 📚 SIRI: 50[PERMASA BOOK CLUB]Judul Buku: GENESIS II, Sapien & Neo manusiaPenulis: Dr Zamir MohyedinPenerbita...
01/09/2026

ULASAN BUKU 📚 SIRI: 50
[PERMASA BOOK CLUB]

Judul Buku: GENESIS II, Sapien & Neo manusia
Penulis: Dr Zamir Mohyedin
Penerbitan: The Patriots
Tahun Penerbitan: 2022
Jumlah Halaman: 328

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ فِيٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمࣲ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

-Surah At-Tin ayat 4

Keindahan penciptaan ini bukan sahaja terletak pada fizikal, malah pada keupayaan akal manusia untuk berfikir, mengkaji, dan membina peradaban.

Buku yang saya baca ini adalah buku sekuel bagi Genesis 1.

Genesis 1 memfokuskan kepada perihal kosmologi dan juga ramalan penulis tentang sistem suria pada masa akan datang serta asal usul terbentuknya galaksi.

Buku Genesis 2 p**a memfokuskan tentang kita, iaitu manusia.

Bermula dari kehidupan manusia di zaman Paleolitik sehinggalah kepada peradaban Homo sapiens pada hari ini.

Banyak perkara menarik yang ada dalam buku ini. Sebagai pelajar yang sangat menyukai ilmu sains sejak dari bayi, saya s**a untuk mengetengahkan beberapa perkara yang disentuh di dalam buku ini.

Antara perkara yang dihuraikan dalam buku ini ialah tentang evolusi manusia. Sebagai pembaca buku Manusia Sebelum Adam, saya telah faham banyak perkara tentang asal usul kehidupan yang dikaji oleh saintis, bermula daripada sel purba sehinggalah kepada teknologi pengeditan DNA. Saintis telah mencapai pelbagai kemajuan dalam bidang biologi sehingga mampu menyunting DNA itu sendiri.

Tidak pelik kalau pada masa akan datang, apabila kita mula tidak berpuas hati dengan had keupayaan biologi kita, kita akan mula menaik taraf (upgrade) sebahagian fungsi tubuh. Ini termasuklah keupayaan otak, imuniti untuk tidak terkena penyakit tertentu, malah keupayaan untuk mengurangkan keperluan tidur normal bagi mereka yang sangat sibuk.

Buku Genesis 2 karya Dr. Zamir ini tidaklah menghuraikan aspek biologi secara terperinci seperti buku Manusia Sebelum Adam. Namun, pendekatannya cukup menarik bagi saya, terutamanya apabila beliau menghuraikan mengapa manusia tidak lagi berevolusi serancak dahulu.

Hal ini sebenarnya berpunca daripada keupayaan manusia sendiri yang telah mengubah persekitaran dan berjaya mengawal tekanan evolusi tersebut.

Walaupun begitu, evolusi berskala kecil masih berlaku, contohnya kelahiran generasi baharu yang tidak lagi mempunyai gigi bongsu.

Malah, sebagai pemerhatian peribadi, agak menarik juga apabila kita melihat haiwan peliharaan pada hari ini, seperti kucing, yang didapati semakin banyak bertingkah laku seakan-akan manusia.

Satu babak yang sangat membuka mata adalah tentang uji kaji untuk menilai sama ada sifat asal manusia itu baik atau buruk.

UJIAN GALTON

Pada mulanya, apabila bayi diberi pilihan, mereka kebanyakannya memilih mainan yang mewakili akhlak baik. Namun, apabila elemen kegemaran seperti makanan dicampurkan, hasilnya amat terkejut beruk juga. Bayi didapati lebih rela memilih mainan "jahat" yang menyukai makanan kegemaran mereka, berbanding mainan "baik" yang menyukai makanan yang bayi itu tidak s**a.

Hal ini membuktikan manusia secara fitrahnya mempunyai kecenderungan untuk lebih memilih pertalian atau persamaan dengan diri mereka (mutual), walaupun watak tersebut jahat.

Beralih kepada peradaban lama, penulis turut menyentuh tentang corak kehidupan komuniti manusia yang berpindah-randah (nomad) pada masa lalu.

Disebabkan pergerakan yang kerap ini, alatan yang dibawa tidak banyak dan manusia kurang menghasilkan bekas untuk menyimpan barang.

Ketiadaan tempat simpanan harta (account) ini secara tidak langsung telah menjadikan status sosial manusia sama rata, tiada istilah kaya atau miskin pada waktu itu.

Satu lagi fakta menarik yang dikongsikan dalam buku ini ialah istilah hujung minggu atau weekend hanya muncul buat kali pertama pada tahun 1929.

Sebelum era tersebut, manusia bekerja setiap hari tanpa sebarang hari cuti. Sangat menyedihkan...

Penulis juga mengupas mengenai ancaman Kecerdasan Buatan (AI) dan kelangsungan evolusi juga sangat mencabar minda.

Jika dahulu keupayaan fizikal manusia mula digantikan oleh mesin di peringkat awal, kini kehadiran teknologi AI turut berpotensi mengambil alih keupayaan mental kita.

Pergantungan yang melampau terhadap teknologi pada akhirnya akan mengubah ciri asas manusia itu sendiri. Sebagai analogi mudah, kita kini tidak lagi menghafal nombor telefon ahli keluarga sendiri kerana kebergantungan sepenuhnya kepada telefon pintar.

Menjelang pertengahan tahun 2030, dianggarkan sekitar 30% pekerjaan akan digantikan oleh mesin kerana ia terbukti lebih cekap berbanding manusia.

Walaupun teknologi ini masih berpotensi membuka peluang pekerjaan yang baharu, ia tetap menimbulkan persoalan serius sama ada kelibat manusia masih lagi relevan pada masa hadapan.
Akhir sekali, sejarah perubatan dan genetik yang gelap menerusi idea Eugenik.

Selepas Galton selesai dengan eksperimen genetik melibatkan bayi kembarnya, beliau mula mencadangkan agar golongan pandai hanya berkahwin dengan golongan pandai supaya lebih ramai manusia cerdik dilahirkan.

Idea ini menjadi semakin serius dan ekstrem sehinggakan ada sebahagian negara yang meletakkan undang-undang khusus untuk menghalang golongan yang dianggap "tidak pandai" daripada membiak.

Percubaan radikal untuk mencampuri urusan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu, memandangkan sejak zaman Yunani lagi, tokoh seperti Plato telah pun mencadangkan agar pihak pemerintah menyelia secara mutlak hal pembiakan manusia.

Mengenai kenyataan seseorang bahawa evolusi itu lambat, evolusi sebenarnya tidak membuktikan Tuhan itu lambat. Sebaliknya, evolusi menerangkan proses perubahan yang berlaku dalam pop**asi dari generasi ke generasi. Oleh itu, jika seseorang berkata Tuhan 'lambat', seseorang itu sebenarnya sedang mempersoalkan tujuan atau cara Tuhan mencipta, bukannya membantah bukti evolusi itu sendiri. Tambahan p**a, untuk menolak atau mengubah teori evolusi, perlu ada bukti saintifik yang lebih kuat seperti data genetik, fosil, atau eksperimen yang bercanggah dan boleh diuji. Justeru, soalan seperti "kenapa Tuhan ambil masa lama" boleh dibincangkan, tetapi ia bukanlah bukti saintifik yang membatalkan evolusi. Sebaliknya, pemahaman mengenai evolusi perlu dilihat menerusi lensa sejarah dan garis masa saintifik itu sendiri.

Karya ini menyajikan sejarah manusia yang panjang daripada gagasan dan perspektif evolusi. Ia menyentuh tentang bagaimana manusia primitif yang hampir pupus dapat menjadi penguasa dan pengubah dunia.


🧑🏻Ulasan Oleh: Ahmad Amir Farhan Bin Mustafa
Ijazah Sarjana Muda Hadith dengan Kepujian
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)

✅Disediakan Oleh:
Exco Akademik | Exco Multimedia 25/26

____________________________________

"KEBERSAMAAN MAHASISWA MEMACU PERMASA"🤝
"Al-QURAN DAN SUNNAH RUJUKAN KAMI"📖

Address

Kolej Universiti Islam
Kuala
02000

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Permasa Unisiraj posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The School

Send a message to Permasa Unisiraj:

Shortcuts

Share

Category