08/07/2026
PERSIDANGAN ASIAN YOUTH INTERNATIONAL MODEL UNITED NATIONS (AYIMUN)
Dua orang delegasi daripada Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (KUSESS) telah menyertai persidangan Asian Youth International Model United Nations (AYIMUN) yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 26hb-29hb Jun 2026.
Persidangan ini menghimpunkan lebih 700 delegasi terdiri dari pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dari 20 negara.
Program ini merupakan program simulasi Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melibatkan perbahasan antara diplomat seluruh dunia.
Delegasi KUSESS diwakili oleh batch Dexterity:
1) Ayra Rose binti Mohd Hafiz - 5 Nilam
2) Aryaa Hessa Erynna binti Mohd Jurilly - 5 Nilam
Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu-isu global, di samping mengasah kemahiran berkomunikasi, berfikir secara kritis, berunding serta membuat keputusan.
Para delegasi turut berpeluang mewakili negara yang ditetapkan dan membincangkan pelbagai cabaran dunia melalui perbahasan serta perundingan bersama peserta dari negara lain.
Sepanjang persidangan, kedua-dua delegasi mempelajari tatacara sebenar persidangan PBB, termasuk menyampaikan ucapan dasar, menyertai sesi perbahasan, menggubal draf resolusi dan mencapai kata sepakat melalui rundingan diplomatik.
Pengalaman berharga ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan, malah memperkukuh pemahaman mereka tentang peranan PBB dalam menangani isu-isu antarabangsa. Usul-usul yang dibentangkan merangkumi isu-isu semasa di bawah tanggungjawab pelbagai badan di bawah naungan PBB iaitu WHO, UNEP, UNCTAD, UN COPUOS dan lain-lain.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen KUSESS dalam melahirkan pelajar yang berwawasan global, berdaya saing serta bersedia menjadi pemimpin masa hadapan di peringkat antarabangsa. Banyak kenangan manis yang diperolehi sepanjang berada disana.
Terima kasih diucapkan kepada barisan pentadbir SMSKS, Pn. Nor Al Wani binti Sulaiman (Guru Pembimbing), Pn. Zakiah binti Zainol dan Siti Azrina biniti Hamzah @ Husaini sebagai (Penyelaras dan Pembimbing) dan PIBG yang memberi sokongan untuk memastikan para delegasi menjayakan penglibatan di dalam program ini.