16/08/2026
KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN ULAMA KEDAH
[ USAHA MEMBENDUNG KEMUNGKARAN JUDI MESTI DITERUSKAN ]
Persatuan Ulama Kedah mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos 2026 yang menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perjudian di negeri ini.
Persatuan Ulama Kedah menghormati keputusan yang telah dibuat oleh institusi kehakiman negara diatas prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas kepada pentadbiran negara.
Dalam masa yang sama, Persatuan Ulama Kedah ingin menyatakan sokongan terhadap hasrat dan usaha berterusan Kerajaan Negeri Kedah untuk membendung aktiviti perjudian serta segala kemudaratan sosial yang berpunca daripadanya, selagi usaha tersebut dilaksanakan melalui saluran undang-undang dan bidang kuasa yang tersedia.
Bagi umat Islam, kedudukan perjudian adalah jelas. Allah SWT berfirman:
ยซโWahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib (dengan anak panah) adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Maka jauhilah ia agar kamu berjaya.โ
(Surah al-Ma'idah: 90)ยป
Larangan terhadap judi bukan sekadar berkaitan hukum terhadap individu Muslim. Bahkan semua agama dan akal yang sihat melarang perjudian. Di sebaliknya terdapat hikmah yang besar dalam menjaga agama, akal, harta, keluarga dan keharmonian masyarakat.
Perjudian berpotensi membawa kerugian harta, keberhutangan, konflik rumah tangga, pengabaian tanggungjawab serta pelbagai masalah sosial. Justeru, usaha membendung budaya perjudian adalah satu tanggungjawab kemasyarakatan yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.
KEPUTUSAN MAHKAMAH BUKAN PENAMAT USAHA MENCEGAH KEMUNGKARAN
Persatuan Ulama Kedah berpandangan bahawa keputusan mahkamah berhubung persoalan bidang kuasa dan mekanisme pelesenan tidak seharusnya difahami sebagai menafikan keperluan agama, moral dan sosial untuk membendung perjudian.
Menghormati keputusan mahkamah bukan bermakna usaha ini telah terhenti. Ini kerana tugas mencegah kemungkaran dan mengurangkan mudarat perjudian masih boleh dan perlu diteruskan melalui saluran-saluran yang sah, antaranya:
1. Pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya perjudian;
2. Penguatkuasaan tegas terhadap perjudian tanpa lesen dan aktiviti perjudian haram;
3. Langkah-langkah kawal selia yang dibenarkan oleh undang-undang;
4. Kerjasama antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan;
5. Program perlindungan keluarga daripada kesan ketagihan perjudian;
6. Pendidikan kewangan kepada golongan muda dan masyarakat;
7. Pengukuhan aktiviti kemasyarakatan yang membawa kepada kehidupan sihat dan produktif; dan
8. Menggembeling penyertaan semua pihak, agensi dan NGO untuk Sama-sama mendukung usaha penghapusan perjudian di negeri ini.
Persatuan Ulama Kedah berharap Kerajaan Negeri Kedah akan terus mendapatkan pandangan pakar perundangan dan pihak berautoriti dalam menentukan langkah seterusnya yang boleh dilaksanakan secara sah, berhemah dan berkesan.
SOKONGAN TERHADAP USAHA KERAJAAN NEGERI
Persatuan Ulama Kedah menghargai pendirian Kerajaan Negeri yang selama ini berusaha membawa aspirasi membentuk sebuah masyarakat yang lebih sejahtera dan bebas daripada kemudaratan perjudian.
Apa yang lebih penting selepas keputusan mahkamah ini ialah usaha tersebut tidak terhenti.
Prinsip amar makruf nahi mungkar menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan istiqamah. Mungkin pendekatan pendidikan, dakwah dan sosial angagement melalui pembinaan masyarakat secara menyeluruh boleh dilakukan.
SERUAN KEPADA MASYARAKAT
Persatuan Ulama Kedah menyeru seluruh masyarakat agar melihat isu perjudian daripada perspektif kesejahteraan keluarga dan masa depan generasi akan datang.
Perbezaan pandangan mengenai bidang kuasa perundangan tidak seharusnya menghalang pembinaan kesedaran bersama tentang kesan buruk ketagihan judi.
Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mengenai bahaya perjudian termasuk perjudian dalam talian yang semakin mudah diakses.
Institusi masjid, sekolah, institusi pengajian, pertubuhan masyarakat dan badan bukan kerajaan p**a diseru memperbanyakkan program pendidikan serta kesedaran berkaitan bahaya judi, ketagihan dan pengurusan kewangan.
Masyarakat juga hendaklah membantu mereka yang terjebak supaya diberikan ruang untuk kembali membina kehidupan dan keluarga mereka.
PENUTUP
Persatuan Ulama Kedah menegaskan bahawa:
Keputusan mahkamah perlu dihormati selaras dengan prinsip negara yang mempunyai undang-undang.
Namun usaha membendung kemungkaran dan kemudaratan judi mesti diteruskan.
Persatuan Ulama Kedah akan terus mendukung segala usaha yang sah, berhemah dan berteraskan maslahah ke arah membina Negeri Kedah yang sejahtera, berakhlak dan terpelihara daripada gejala yang merosakkan individu serta keluarga.
Semoga Allah SWT memberikan kesedaran kepada semua pihak untuk bersama usaha ini, demi kemaslahatan rakyat dan masa depan Negeri Kedah Darul Aman.
โMencegah Kemungkaran, Membina Kesejahteraan Ummahโ
"Memperkasa Peranan Ulama"
Dr. Mohammad Noor Habibi bin Haji Long
Yang Dipertua,
Persatuan Ulama Kedah