27/12/2025
[ BIOGRAFI FOUNDER PAGE "HOME QURAN HUSNA" ]
Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. :)
Sedikit perkongsian tentang biografi saya.
Supaya pelajar-pelajar atau ibu bapa pelajar boleh tahu serba sedikit tentang saya memandangkan tak sempat masa nak berbual lama-lama sewaktu datang mengajar. :)
Nama diberi, SyahidatulHusna Binti Birkamsin. Lahir di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Merupakan anak bongsu daripada 8 adik-beradik. Mendapat pendidikan awal di Tadika Islam Sungai Penchala. Seterusnya, di Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala.
Sekolah menengah, saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (SMKTTDI). Sewaktu di SMKTTDI, pernah menyertai Pertandingan Hafazan Surah Yaasin Peringkat Sekolah dan telah mendapat tempat pertama. Juga pernah mendapat Anugerah "Most Well-Mannered Senior" sewaktu Hari Graduasi Tingkatan 5. Alhamdulillah, saya juga salah seorang pelajar cemerlang SPM suatu masa dahulu (8A).
Saya juga pernah menjadi salah seorang pelajar "Mari Mengaji bersama Ustaz Zamri" di TV9. Dan Alhamdulillah, ilmu-ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Zamri ketika itu masih saya praktikkan sehingga sekarang biarpun waktu itu saya belajar sambil buat shooting. :)
Saya sempat melanjutkan pengajian saya di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang (KUIPSAS) dalam bidang Bahasa Arab Dan Tamadun Islam, tapi cuma sempat menamatkan semester 1 sahaja dengan pointer 3.95. Saya tidak dapat menghabiskan pengajian atas sebab-sebab tertentu.
Seterusnya, saya melanjutkan pengajian saya ke Politeknik Ungku Omar, Ipoh, dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam. Alhamdulillah, berjaya menghabiskan pengajian saya dengan CGPA 3.77. Sewaktu di Politeknik Ungku Omar, saya pernah menyertai Pertandingan Hafazan Surah-surah Juz 'Amma & Surah Al Mulk sewaktu Festival Kesenian Islam peringkat Politeknik. Alhamdulillah, berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan hafazan tersebut. Dan pada hari Istiadat Konvokesyen ke-45 yang lepas, saya telah mendapat Anugerah Insentif Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kerana prestasi saya yang baik sepanjang di Politeknik Ungku Omar, Alhamdulillah, dengan izin Allah. :)
Saya mula meminati bidang Al Quran apabila saya mula pandai membaca Al Quran ketika berusia 7 tahun. Sewaktu itu, kakak saya (Nor Aisyah Binti Birkamsin) yang sering mengajar saya ilmu-ilmu Tajwid. Mulai dari detik itulah, saya mula mencintai ilmu Tajwid sehinggalah sekarang. Allah yang Maha Menerbitkan rasa cinta itu. Alhamdulillah.
Saya mula mengajar anak-anak jiran membaca Muqaddam ketika saya berumur 9 tahun. Apabila saya sudah menginjak usia remaja, saya mula mengajar anak-anak jiran atau anak-anak orang kampung, untuk membaca Al Quran dengan bertajwid.
Ketika saya berumur 17 tahun p**a, saya berjaya menghasilkan satu buku nota Tajwid yang sehingga kini masih digunapakai. Buku nota itu tidak diterbitkan oleh mana-mana penerbitan. Ianya sekadar buku nota yang digunapakai untuk memudahkan pengajaran saya. Ia nota yang ringkas dan mudah faham. Sehingga kini, nota itu masih digunakan untuk memudahkan orang-orang yang mahu mendalami ilmu Tajwid, tidak berasa ilmu Tajwid itu adalah sesuatu yang susah untuk difahami.
Saya juga, pernah bekerja sebagai guru sementara di Sekolah Rendah Agama Ibnu Kathir sewaktu berumur 18 tahun. Pada tahun 2015, saya pernah bekerja sebagai guru Al Quran sementara di Akademi Alif, Kota Damansara.
Dan kini, saya membuat perkhidmatan mengajar membaca Al Quran dari rumah ke rumah, di area KL / Damansara. Juga masih lagi dalam proses mengumpul pengalaman dalam bidang yang saya ingin ceburi dan teruskan ini. :)
Semoga Allah meredhai kita semua dalam apa-apa bidang yang kita ceburi sekalipun. Yang paling penting, kena letakkan Allah yang nombor 1.
In shaa Allah. :)
Updated info on 29/10/2019 :
Saya menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kelantan pada November 2016 hingga April 2019. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya meneruskan hasrat yang pernah tergendala sebelum ini.
Dan Alhamdulillah, saya baru selesai bergraduasi pada bulan Ogos 2019 dengan CGPA 3.98. Sewaktu hari konvokesyen yang lepas, saya dinobatkan sebagai penerima anugerah utama iaitu Anugerah Al-Fatih oleh pihak kolej. Siapa sangka, kan? Saya yang lepasan sekolah menengah biasa, telah terpilih untuk mendapat anugerah dalam bidang agama. Sungguh, semuanya dengan izin Allah dan kuasa Allah, bukan kerana diri saya yang serba kurang ini.
Mungkin Allah sedang menunjukkan jalan untuk saya teruskan dalam bidang ini. Semoga Allah sentiasa tuntuni langkah saya dan kita semua untuk mencapai redha-Nya dan supaya kita berjaya di dunia dan di akhirat. Allahumma aamiin.
Kini saya buka semula peluang kepada mereka yang menetap di kawasan sekitar Damansara yang mahu belajar membaca Al-Quran secara bertajwid. In shaa Allah, saya akan usaha yang terbaik, asalkan para pelajar saya sentiasa mahu belajar bersungguh-sungguh.
Harapan saya, saya mahu melahirkan generasi yang celik Al-Quran dan pandai membaca Al-Quran secara bertajwid. Saya tetap memasang impian untuk membuka Al-Quran Learning Centre sendiri suatu hari nanti, in shaa Allah. Semoga Allah permudahkan.
Sesiapa yang berminat, boleh hubungi saya segera. Pembelajaran secara online juga saya buat sekarang. Hubungi cepat ya, kerana peluang sangat terhad.
www.wasap.my/60176642954
Sila perkenalkan diri dan beri salam ya semasa berhubung dengan saya.
Catatan,
Ustazah Husna.
27/09/2025