10/04/2026
SRA SRI AL- UMMAH
Sekolah Rendah Agama SRI AL- UMMAH
10/04/2026
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, ولله الحمد…
Bergema takbir memuji kebesaran Ilahi, tanda kemenangan setelah sebulan kita berjuang di bulan Ramadan.
Semoga Syawal yang hadir membawa rahmat, keampunan dan keberkatan buat kita semua.
Marilah kita terus menyemai kasih sayang, memperkukuh ukhuwah dan meneruskan amalan kebaikan dalam kehidupan seharian.
Saksikan alunan takbir raya yang telah disediakan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
En. Hedzer bin Ibrahim
Pengerusi Pembangunan Darul Ummah
Pengerusi Sekolah Rendah Agama Sri Al Ummah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita diberi kesempatan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Saya, selaku Pengerusi Pembangunan Darul Ummah dan Pengerusi Sekolah Rendah Agama Sri Al Ummah, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Darul Ummah, para guru, ibu bapa serta anak-anak pelajar yang dikasihi.
Semoga Syawal yang mulia ini disambut dengan penuh kesyukuran, kegembiraan serta mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita.
Di kesempatan ini juga, saya ingin memohon maaf zahir dan batin atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang menjalankan amanah.
Semoga segala amalan kita di bulan Ramadan yang lalu diterima oleh Allah SWT dan kita semua terus istiqamah dalam melakukan kebaikan.
Saksikan video ucapan khas yang telah disediakan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
En. Hedzer bin Ibrahim
Pengerusi Pembangunan Darul Ummah
Pengerusi Sekolah Rendah Agama Sri Al Ummah
10/03/2026
📢 MAKLUMAN CUTI SEKOLAH
Susulan pengumuman cuti tambahan oleh KPM pada 18 Mac 2026(Rabu), dimaklumkan bahawa Sekolah Rendah Agama Sri Al Ummah hanya bercuti selama 2 hari sahaja iaitu:
📅 16 Mac 2026 (Isnin)
📅 17 Mac 2026 (Selasa)
Makluman cuti berganti ini sebenarnya telah pun dimaklumkan lebih awal melalui surat rasmi kepada ibu bapa.
✨ Gunakan peluang cuti ini untuk berehat bersama keluarga, merancang perjalanan dengan baik serta mengisi 10 hari terakhir Ramadan dengan amalan yang bermanfaat.
Semoga masa bersama keluarga menjadi saat yang indah dan diberkati.
Terima kasih atas kerjasama semua ibu bapa. 🤝
https://www.moe.gov.my/surat-siaran-kpm-bil-3-tahun-2025-kalendar-akademi
09/03/2026
TERIMA KASIH SEMUA 🤍
PROGRAM IFTAR PERDANA PADU
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana Program Iftar Perdana PADU telah berlangsung dengan lancar dan penuh kemeriahan.
Pihak Sekolah Rendah Agama Sri Al Ummah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua AJK dan petugas program yang telah bertungkus-lumus mencurahkan tenaga, masa dan usaha dalam menjayakan program ini. Semoga segala penat lelah kalian diganjari dengan pahala yang berlipat ganda di sisi Allah SWT.
Terima kasih juga kepada ibu bapa yang hadir bersama keluarga serta anak-anak yang memeriahkan majlis dengan keceriaan dan semangat kebersamaan. Kehadiran tuan puan semua benar-benar menambahkan lagi keberkatan suasana iftar pada petang tersebut.
Tidak dilupakan juga kepada para penyumbang yang telah menghulurkan sumbangan. Semoga setiap sedekah yang diberikan digantikan oleh Allah SWT dengan rezeki yang lebih luas, kehidupan yang diberkati serta ganjaran pahala yang berterusan.
Akhir kata, pihak sekolah memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang penganjuran program ini. Semoga ukhuwah yang terjalin melalui program ini terus dipelihara dan diberkati oleh Allah SWT.
Terima kasih atas sokongan semua.
Semoga kita dipertemukan lagi dalam program-program akan datang. 🌙✨
08/03/2026
Persiapan sedang giat dijalankan!
Alhamdulillah, pihak admin bersama team petugas sedang bertungkus-lumus membuat persiapan bagi Program Iftar Perdana petang ini. Semoga segala urusan dipermudahkan dan majlis kita berjalan dengan lancar.
Kepada yang telah mendaftar, kami amat mengalu-alukan kehadiran tuan/puan untuk bersama-sama memeriahkan majlis iftar ini.
Moga pertemuan ini menjadi medan ukhwah dan keberkatan buat kita semua di bulan Ramadan yang mulia ini. 🌙
Jumpa petang ini, insyaAllah!
07/03/2026
Kunjungan Pegawai & AJK Surau Tabung Haji HQ KL
Sekolah Rendah Agama Sri Al Ummah telah menerima kunjungan daripada Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Surau Tabung Haji HQ KL.
Delegasi tersebut diketuai oleh Ustaz Shahrul bersama barisan AJK iaitu Ust. Muis, Ust. Shafiq dan Ust. Musa yang hadir bagi menyampaikan sumbangan serta berkongsi rezeki kepada warga sekolah.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan dan ingatan yang diberikan. Semoga segala usaha kebajikan serta jalinan silaturrahim ini diberkati dan dilipatgandakan ganjarannya, lebih-lebih lagi dalam keberkatan bulan Ramadan Al-Mubarak.
Semoga Allah memberkati semua yang terlibat. Aamiin. 🤲
Masjid & Surau Tabung Haji
06/03/2026
Tahniah & Syabas! 🎉
Sekalung tahniah diucapkan kepada para pelajar UPKK Sekolah Rendah Agama Sri Al Ummah atas pencapaian yang membanggakan dalam keputusan peperiksaan tahun ini. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih para pelajar, bimbingan para guru serta doa dan sokongan berterusan daripada ibu bapa.
Alhamdulillah, pelbagai pencapaian cemerlang berjaya diraih oleh pelajar-pelajar kita:
🌟 9A – 3 orang pelajar
🌟 8A – 7 orang pelajar
🌟 7A – 2 orang pelajar
🌟 6A – 5 orang pelajar
🌟 5A – 1 orang pelajar
🌟 4A – 2 orang pelajar
🌟 3A – 2 orang pelajar
🌟 2A – 3 orang pelajar
🌟 1A – 1 orang pelajar
Setiap keputusan yang diperoleh adalah satu kejayaan yang patut dibanggakan. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha, menuntut ilmu dan berakhlak mulia pada masa akan datang.
Terima kasih juga kepada para guru dan ibu bapa yang sentiasa membimbing serta mendoakan kejayaan anak-anak.
✨ “Kejayaan hari ini adalah langkah awal menuju kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.”
Tahniah sekali lagi kepada semua pelajar UPKK Sri Al Ummah! Semoga terus cemerlang dunia dan akhirat. 🤲
📍Maaf ya admin sibuk sikit tak sempat upload gambar 😅
Admin & team tengah syok shooting Takbir Raya…
suara dah berkumandang, semangat dah sampai…
Tiba-tiba… blackout p**a! 😅
Nampaknya kena sambung episod seterusnya nanti.
Nantikan Takbir Raya dari kami!
Pindah dewan, teruskan shooting
18/02/2026
PERUTUSAN KHAS RAMADAN 1447H
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kasih sayang-Nya, kita sekali lagi dipertemukan dengan bulan yang penuh keberkatan, bulan Ramadan Al-Mubarak 1447H.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 183:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi medan tarbiah untuk membentuk jiwa yang bertakwa, sabar dan penuh keinsafan.
Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada seluruh warga SRA Sri Al-Ummah para ibu bapa yang sentiasa menyokong perjuangan pendidikan anak-anak, guru-guru dan kakitangan yang istiqamah berkhidmat, staf sokongan yang setia membantu, anak-anak didik yang dikasihi serta para alumni yang terus membawa nama sekolah dengan baik di luar sana.
Kepada anak-anak, marilah kita memperbetulkan niat berpuasa kerana Allah SWT. Belajarlah untuk berpuasa dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Bagi murid-murid Tahun Satu yang telah berusia tujuh tahun, inilah masa untuk mula belajar berpuasa secara berperingkat sebagai latihan membina kekuatan diri dan disiplin iman.
Jangan kita lupa untuk menghidupkan malam-malam Ramadan dengan solat sunat tarawih, membaca al-Quran, memperbanyakkan doa serta memohon keampunan daripada Allah SWT. Mudah-mudahan Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang terbaik dalam hidup kita lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita, mengampunkan dosa-dosa kita serta mengurniakan kesihatan dan kekuatan untuk kita menyempurnakan ibadah sepanjang bulan yang mulia ini.
Akhir kalam, sekali lagi saya mengucapkan Salam Ramadan 1447H dan Selamat Berpuasa kepada seluruh warga SRA Sri Al-Ummah.
Wallahu a‘lam.
Ustaz Surizal bin Abdul Rahim
Mudir SRA Sri Al-Ummah
Click here to claim your Sponsored Listing.
Location
Category
Contact the school
Address
No 41, Jalan Kampung Pandan
Kuala Lumpur
55100