03/06/2026
🌳 🌴🌲
Sukacita dimaklumkan bahawa pada 23 hingga 26 Mei 2026, SMK Cheras telah menerima kelulusan peruntukan daripada Tuan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) bagi melaksanakan kerja-kerja penebangan dan pemangkasan pokok-pokok besar yang berisiko serta boleh mengancam keselamatan warga sekolah.
Walaupun sepanjang tempoh pelaksanaan terdapat sedikit gangguan cuaca dengan hujan renyai, proses yang berlangsung selama empat hari ini telah berjaya disempurnakan dengan lancar hasil kerjasama semua pihak yang terlibat.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan SMK Cheras dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, ceria, kondusif dan berwawasan, selaras dengan halatuju sekolah ke arah pembentukan Sekolah Pintar yang menitikberatkan aspek keselamatan, kebersihan, keceriaan dan kesejahteraan warga sekolah.
Selain itu, penambahbaikan landskap, penyelenggaraan kawasan hijau, penanaman pokok hiasan serta sentuhan baharu pada kemudahan sekolah turut memberi nafas segar kepada persekitaran pembelajaran. Persekitaran yang indah dan terurus diyakini mampu meningkatkan motivasi murid serta menyokong usaha melahirkan generasi yang berketrampilan, berkomunikasi dengan berkesan dan berdaya saing.
Pihak sekolah juga berharap agar lebih banyak peruntukan pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur dapat disalurkan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan lagi kemudahan pendidikan, seterusnya menyokong kemenjadian murid SMK Cheras serta kecemerlangan warga pendidik.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Tuan Pengarah JPWPKL atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan. Semoga melalui jalinan dan jaringan strategik yang berterusan antara pihak sekolah, JPWPKL serta pihak swasta, SMK Cheras akan terus melakar kejayaan sebagai institusi pendidikan yang unggul.
"Bersama Melestarikan Kecemerlangan, Memacu Kemenjadian Murid."
Sekian, terima kasih.
Ikhlas daripada,
Sham Abd Rahman
Pengetua
SMK Cheras
21/05/2026
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU SMK CHERAS, GURU BITARA NADI NEGARA
TARIKH : 20 MEI 2026
HARI : RABU
MASA 10.30 PAGI - 12.30 TENGAH HARI
TEMPAT : DEWAN KRIS MAS SMK CHERAS
ANJURAN : KELAB CERIA SMK CHERAS
17/05/2026
Selamat Menyambut Hari Guru 2026
“Guru Bitara, Nadi Negara”
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik SMK Cheras yang tidak pernah jemu mendidik, membimbing dan membentuk anak-anak Cheras menjadi insan yang berilmu, berakhlak dan berjaya. Sesungguhnya komitmen, pengorbanan dan kesungguhan para guru menjadi kekuatan utama dalam melonjakkan kecemerlangan sekolah serta membina kemenjadian murid yang holistik.
Kepada guru-guru berpengalaman, teruslah menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada warga sekolah. Kepada guru-guru baharu p**a, teruskan melangkah dengan semangat yang berkobar-kobar, berfikiran kreatif dan sentiasa berusaha memajukan sekolah serta membangunkan potensi setiap murid ke tahap yang lebih cemerlang.
Marilah kita bersama-sama mendukung visi negara iaitu “Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera” dengan penuh integriti, dedikasi dan semangat kerja berpasukan demi memastikan SMK Cheras terus unggul dan disegani.
Sesungguhnya guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk sahsiah, mencorak masa depan dan menyemai harapan bangsa. Seperti bait indah lagu Guru Malaysia:
“Kami Guru Malaysia,
Berikrar dan berjanji,
Mendidik dan memimpin
Putera puteri negara kita.”
Saya bersama barisan pentadbiran sekolah mengucapkan Selamat Hari Guru 2026 kepada seluruh warga pendidik SMK Cheras. Teruslah menabur bakti, menyemai ilmu dan membina generasi pewaris negara dengan penuh keikhlasan dan semangat yang tinggi.
Ikhlas daripada,
Sham Bin Abd Rahman
Pengetua
SMK Cheras
05/05/2026
Makluman kepada ibu bapa/penjaga,
Perubahan waktu rehat ini dilaksanakan bagi memastikan keselesaan dan kebajikan murid sentiasa terpelihara, khususnya semasa waktu makan di kantin. Penyusunan jadual secara berperingkat membantu mengurangkan kesesakan serta mewujudkan suasana yang lebih teratur dan kondusif untuk semua murid.
Selain itu, pelaksanaan ini juga memberi peluang kepada murid untuk membeli makanan dengan lebih teratur tanpa perlu berebut-rebut, seterusnya memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk menikmati makanan dengan selesa sebelum kembali ke kelas.
Pihak sekolah sentiasa komited dalam memastikan kualiti makanan yang disediakan adalah baik, bersih dan selamat untuk dimakan. Diharapkan dengan pelaksanaan ini, kesejahteraan murid terus terjamin dan mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak demi kebaikan bersama.
PENGETUA
SMK CHERAS.
23/04/2026
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Muhammad Adib Fawwaz bin Muhammad Shukur, pelajar Tingkatan 5 Delta, SMK Cheras atas kejayaan mewakili Kontinjen MSS WP Kuala Lumpur dalam Kejohanan Merentas Desa MSSM yang akan berlangsung pada 25 April 2026 di Wilayah Persekutuan Labuan.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain dan terus menyemarakkan semangat kecemerlangan dalam bidang sukan. Didoakan agar beliau terus berjuang dengan penuh dedikasi serta mengharumkan nama sekolah, negeri dan negara.
Selamat berjuang dan semoga berjaya! 💪
21/04/2026
Tahniah Pasukan Pembangunan Bola Sepak SMK Cheras! 🏆⚽🔥
Atas kejayaan muncul sebagai Juara Malaysia Youth League!
Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih, disiplin tinggi dan semangat juang yang tidak pernah luntur. Anda semua telah mengharumkan nama sekolah dan menjadi inspirasi kepada warga SMK Cheras serta generasi muda.
Teruskan melakar kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan! 💪✨
17/04/2026
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia-Nya. Dengan penuh rasa bangga dan syukur, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan SMK Cheras berdasarkan keputusan cemerlang SPM 2025.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada barisan pentadbir sekolah yang sentiasa beritizam tinggi, berwawasan serta memastikan halatuju sekolah berada di landasan yang tepat. Terima kasih juga kepada kaunselor sekolah, semua ketua panitia, guru-guru mata pelajaran, serta seluruh warga pendidik yang bersabar dan bertanggungjawab dalam mendidik serta membimbing para pelajar ke arah kecemerlangan.
Penghargaan turut diberikan kepada pegawal keselamatan dan pekerja pembersihan sekolah yang sentiasa komited memastikan persekitaran sekolah kekal selamat, bersih dan kondusif. Sumbangan dan dedikasi setiap individu amat bermakna dalam memacu kejayaan dan kecemerlangan SMK Cheras.
Sesungguhnya, penyampaian sijil penghargaan oleh Pengarah Pendidikan Kuala Lumpur kepada SMK Cheras merupakan satu pengiktirafan yang amat membanggakan. Penyampaian anugerah ini telah berlangsung pada 16 April 2026, bertempat di Auditorium Dewan Tan Sri Ahmad Rafei, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL). Kejayaan ini mencerminkan kesungguhan seluruh warga sekolah dalam memimpin pelajaran, melaksanakan pendidikan bermutu serta melahirkan insan terdidik yang berakhlak mulia, berkaramah dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Semoga kita terus komited membuat perubahan, menyelesaikan masalah dengan bijaksana, serta membuat keputusan yang tepat demi kecemerlangan berterusan. Mudah-mudahan usaha murni ini akan melahirkan generasi berilmu, berintegriti dan berdaya saing selaras dengan aspirasi “Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.”
Sekian, terima kasih.
Ikhlas,
Pengetua
SMK Cheras
12/04/2026
LAWATAN PENGARAH JPWPKL DAN UNIT ICU JABATAN PERDANA MENTERI KE SMK CHERAS
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada rombongan pegawai kanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Unit ICU, Jabatan Perdana Menteri atas kunjungan rasmi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras pada 10 April 2026 (Khamis), jam 10.30 pagi. Kehadiran ini mencerminkan komitmen yang tinggi, keyakinan yang utuh serta keprihatinan berterusan pihak kepimpinan dalam memperkasa pembangunan pendidikan negara.
Pihak sekolah amat berbesar hati menerima kehadiran para tetamu dalam usaha memastikan kesejahteraan serta pembangunan pendidikan anak-anak Cheras terus diperkasakan. Kunjungan ini telah diserikan oleh:
🔹 MEGAT AFFANDI BIN DATUK WIRA HAJI ISMAIL
Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
🔹 ENCIK MEGAT AZLANI BIN MEGAT RAMLI
Pengarah, ICU JPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
🔹 PUAN SHARIFAH RAHAMAH BINTI SYED MUHAMMAD
Ketua Penolong Pengarah Kanan
Sektor Infrastruktur dan Perolehan, JPWPKL
🔹 ENCIK MOHD SHAHARUDDIN BIN OSMAN
Penolong Pengarah
Unit Pengurusan Bakat, Sektor Sumber Manusia, JPWPKL
🔹 ENCIK MOHD REDZUAN BIN MOHD SANUSI
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah
Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar Pudu
Turut mengiringi rombongan ialah para pegawai daripada JPWPKL, Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar Pudu serta Unit ICU JPM, menjadikan jumlah keseluruhan seramai kira-kira 10 orang.
Lawatan ini bertujuan meninjau keperluan dan keadaan infrastruktur sekolah, termasuk pendawaian elektrik yang telah usang, sistem perparitan dan longkang yang tersumbat serta bocor, dan struktur bumbung Blok C yang rosak. Selain itu, cadangan penambahbaikan turut melibatkan pembinaan bumbung di kawasan perhimpunan pelajar, penggantian kipas yang rosak di setiap kelas, serta penyelenggaraan sinki makmal sains. Inisiatif ini amat penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan kondusif.
Kunjungan ini membuktikan kesungguhan kepimpinan pendidikan dalam mengupaya sekolah melalui kompetensi tinggi, di samping menerajui perubahan yang signifikan ke arah kecemerlangan. Usaha murni ini bukan sahaja berperanan dalam menyelesaikan masalah fizikal sekolah, malah menyokong aspirasi memimpin pembelajaran secara berkesan. Melalui jalinan dan jaringan strategik antara agensi swasta, badan berkanun dan kerajaan, halatuju pendidikan yang berwawasan dapat direalisasikan dengan lebih menyeluruh dan mampan.
Pihak SMK Cheras amat yakin bahawa sokongan dan keprihatinan ini akan memperkukuh kemenjadian murid, seterusnya melahirkan generasi yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini selaras dengan aspirasi pendidikan negara dalam membentuk insan karomah yang berilmu, berakhlak mulia, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada kemajuan bangsa dan negara.
Sesungguhnya, komitmen berterusan semua pihak merupakan pemangkin utama dalam melahirkan insan terdidik demi kesejahteraan negara. Semoga segala perancangan dan usaha yang dilaksanakan akan membuahkan hasil yang cemerlang serta diberkati.
Sekalung tahniah dan terima kasih atas dedikasi, keprihatinan dan sokongan padu yang diberikan kepada SMK Cheras.
“Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.”
Ikhlas,
EN. SHAM BIN ABD. RAHMAN
Pengetua
Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras
12/04/2026
PROGRAM RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN (RIMUP) CERIA 2026
TARIKH :10 APRIL 2026
HARI : JUMAAT
MASA : 7.30 PAGI - 10.30 PAGI
TEMPAT : DATARAN INFORMASI SMK CHERAS
Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) SMK Cheras merupakan satu inisiatif penting dalam usaha memupuk semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga sekolah yang berbilang kaum dan budaya. Melalui pelbagai aktiviti yang dirancang, program ini memberi ruang kepada murid untuk saling mengenali, memahami serta menghormati perbezaan yang wujud antara satu sama lain.
Pelaksanaan program ini diharapkan dapat memperkukuh nilai toleransi, kerjasama dan semangat kekitaan dalam kalangan murid, seterusnya melahirkan generasi yang bersatu padu, berakhlak mulia dan berjiwa patriotik. Semoga usaha murni ini terus menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan bersatu demi kemakmuran negara.
09/04/2026
MAJLIS RIANG RAYA CHERASIAN, MAJLIS TITIPAN KASIH GURU BERPINDAH, SAMBUTAN HARI LAHIR GURU DAN AKP BULAN JANUARI, FEBRUARI DAN MAC.
TARIKH : 9/4/2026
HARI : KHAMIS
MASA : 1.45 - 3.00 PETANG
TEMPAT : DEWAN KRIS MAS SMK CHERAS
ANJURAN : KELAB CERIA SMK CHERAS
Alhamdulillah, tiga majlis anujuran Kelab Ceria telah berlangsung secara serentak dengan jayanya. Tahniah diucapkan kepada Kelab Ceria terutamanya Cikgu Adib selaku pengarah program berserta AJK lain yang bertungkus lumus untuk menjayakan program tersebut.
Tiga guru SMK Cheras akan berpindah ke sekolah lain. Cikgu Zahirah telah berpindah ke SMK Cohcrane Perkasa, Cikgu Haslina akan berpindah ke SMK Yaacob Latif, Cikgu Aida akan berpindah ke SMK Gual Periok, Kelantan.
Tahniah diucapkan kepada guru-guru yang berpindah ke sekolah baru, semoga maju jaya dan terus cemerlang di tempat yang baru. Terima kasih atas jasa dan sumbangan bakti yang telah ditaburkan di SMK Cheras. Sesungguhnya jasamu tetak dikenang.