12/05/2026
KUNJUNGAN HORMAT DAR ASSAADAH MAIWP KE INSTITUSI KEBAJIKAN TAMAN SERI PUTERI, JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT (JKM), PERAK.
BATU GAJAH, 11 Mei 2026 (Isnin) - Dar Assaadah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Institusi Kebajikan Taman Seri Puteri bagi tujuan perkongsian kaedah pengurusan serta program pemulihan yang dilaksanakan di pusat berkenaan.
Delegasi Dar Assaadah MAIWP diketuai oleh Ustaz Mohd Hasnizan bin Hasin, Penolong Pengurus, Unit Penyelarasan Kebajikan, Bahagian Pembangunan Insan, MAIWP bersama barisan pegawai dan disambut oleh Puan Rashidah binti Abdullah, Pengetua Taman Seri Puteri serta barisan pegawai.
Kunjungan dimulakan dengan taklimat oleh pihak pengurusan diikuti sesi lawatan sekitar kawasan pusat. Sesi turut disusuli dengan perbincangan dan soal jawab yang memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan berkaitan pengurusan kes, modul pemulihan serta pembangunan sahsiah penghuni.
Kunjungan hormat ini diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama antara MAIWP dan Taman Tasik Puteri, JKM dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pusat perlindungan wanita.
09/05/2026
KULIAH DHUHA BERSAMA AL-FADHIL USTAZ SYAMSUL DEBAT
Alhamdulillah, Dar Assaadah berkesempatan menyertai Kuliah Dhuha bersama Ustaz Syamsul Debat yang berlangsung di Surau An Daniah, Kg. Batu Muda Tambahan pada hari ini (9 Mei 2026).
Selain menimba ilmu dan pengisian rohani, pihak kami turut mengadakan jualan produk kraf tangan hasil kreativiti pelatih serta mempromosikan aktiviti dan program yang dijalankan oleh Dar Assaadah kepada masyarakat setempat.
Semoga usaha kecil ini menjadi medium memperkenalkan bakat, memberi sokongan kepada pelatih serta mengeratkan hubungan silaturahim bersama komuniti.
07/05/2026
JOM SERTAI JUALAN KRAF DAR ASSAADAH
Pelbagai hasil kraf tangan menarik dan berkualiti hasil kreativiti para pelatih menanti anda!
Antara produk yang dijual termasuk pelapik periuk, scrunchies, flower pot dan pelbagai lagi.
đź—“ Tarikh: 09 Mei 2026 (Sabtu)
⏰ Masa: 9.00 pagi – 11.00 pagi
📍 Tempat: Surau An-Nadiah, Kg. Batu Muda Tambahan, KL
Sokongan anda amat bermakna dalam menyuntik semangat dan memberi peluang kepada para pelatih untuk terus berkarya serta membina keyakinan diri.
“Produk Berkualiti, Hasil Diyakini”
Jemput satu keluarga!
22/04/2026
AKTIVITI PELATIH DAR ASSAADAH
Antara aktiviti pelatih yang dijalankan bagi memperkasa potensi diri dan membentuk sahsiah yang unggul. Semoga setiap usaha ini memberi manfaat berterusan serta menjadi asbab kejayaan dunia dan akhirat.
21/04/2026
SAMBUTAN AIDILFITRI DAR ASSAADAH 2026
Alhamdulillah, dengan penuh kesyukuran, Sambutan Aidilfitri Dar Assaadah 2026 telah berlangsung dengan meriah dalam suasana penuh kasih sayang dan ukhwah.
Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi peluang untuk kita berkongsi rezeki, mengeratkan silaturrahim serta menyemai rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan. Rezeki yang dikongsi bersama ini menjadi lambang keprihatinan dan kasih sayang antara kita semua.
16/04/2026
PERBINCANGAN PENYELARASAN MODUL/ SIJIL VOKASIONAL PELATIH DAR ASSAADAH MAIWP BERSAMA GIATMARA KUALA LUMPUR
Pada 16 April 2026, pihak Dar Assaadah, MAIWP telah menjemput GIATMARA Kuala Lumpur untuk berbincang dalam memperkukuh kerjasama strategik dan pembangunan kemahiran vokasional pelatih Dar Assaadah. Inisiatif ini diharap dapat memastikan modul/ sijil latihan yang ditawarkan selari dengan keperluan industri serta meningkatkan kemahiran pembelajaran yang berstruktur kepada para pelatih Dar Assaadah, MAIWP apabila tamat pengajian.
Turut hadir pada perbincangan ini ialah Puan Nurul Fatihah binti Ibrahim, Pengetua Dar Assaadah, Puan Jamilah binti Bakar @ Saad, Timbalan Pengetua Dar Assaadah.
GIATMARA Kuala Lumpur diwakili oleh Encik Jamaludin bin Ali, Pengarah GIATMARA Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Amrullah bin Mustapa, Pegawai Latihan & Kemahiran serta Encik Megat bin Mohammad Hussein, Pegawai Pengurusan Aset.
Kerjasama strategik ini diharapkan dapat memberi impak positif dalam melahirkan pelatih yang berkemahiran dan holistik.
13/04/2026
PEMBELAJARAN KELAS TEKNOLOGI
Pelatih Dar Assaadah MAIWP terus melangkah ke hadapan dengan mempelajari kemahiran menggunakan Microsoft PowerPoint.
Pembelajaran ini membantu pelatih meningkatkan pengetahuan digital, mengasah kreativiti, dan membina keyakinan dalam menghasilkan pembentangan yang lebih teratur serta menarik.
Semoga ilmu yang dipelajari menjadi manfaat dan membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan.
06/04/2026
UJIAN AKADEMIK SUKUAN 1 TAHUN 2026
Minggu Ujian Akademik Sukuan 1 kini kembali. Kepada pelatih sekalian, ambil peluang ini untuk membuktikan kemampuan diri.
Jangan stress ya. Baca soalan dengan teliti, jangan lupa dimulai dengan doa.
"Kecemerlangan bukan satu destinasi, tetapi satu perjalanan. "
Semoga semua pelajar dipermudahkan urusan, dikurniakan ketenangan dan mencapai kejayaan yang cemerlang.
17/03/2026
HEBAHAN PROGRAM: MAJLIS IFTAR JAMAIE DAR ASSAADAH 2026
Pada 17 Mac 2026 (Isnin), dengan penuh kesyukuran, Dar Assaadah telah berjaya menganjurkan Majlis Iftar Jamaie Dar Assaadah 2026 dalam suasana yang penuh keberkatan dan ukhuwah.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran YBrs. Ustaz Ahmad Talmizi bin Yahaya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi MAIWP, bersama pengurus-pengurus bahagian, ibu bapa pelatih serta seluruh warga kerja Dar Assaadah.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah hadir dan menyokong penganjuran majlis ini. Semoga program seumpama ini dapat terus mengeratkan silaturahim serta menyemai nilai kebersamaan dalam kalangan kita.
“Ramadan Disyukuri, Ukhuwah Diperkukuh”
16/03/2026
[HEBAHAN PROGRAM: MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAR ASSAADAH 2026]
Pada 16 Mac 2026 (Isnin), telah berlangsung dengan penuh keberkatan Majlis Khatam Al-Quran Dar Assaadah 2026 yang menghimpunkan para pelajar serta warga Dar Assaadah dalam menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Puan Nurul Fatihah binti Ibrahim, Pengetua Dar Assaadah serta Puan Jamilah binti Bakar @ Saad, Timbalan Pengetua Dar Assaadah bersama seluruh warga kerja Dar Assaadah.
Semoga majlis yang penuh bermakna ini menjadi pemangkin untuk kita semua terus mendekati dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang berjaya menamatkan bacaan Al-Quran. Semoga terus istiqamah dalam membaca, memahami dan menghayati kalam Allah.