19/02/2024
Penubuhan Malaysia Satukan Penduduk Pelbagai Kaum
Generasi baharu mungkin kurang faham pentingnya tarikh 16 September dalam catatan sejarah negara. Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 merangkumi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta Singapura.
Bagaimanapun, Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965. Penubuhan Malaysia menurut Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman, perlunya diwujudkan satu persekutuan besar merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, Singapura serta Brunei ke dalam satu bentuk entiti politik dan ekonomi yang sama.
Walaupun ia tinggal sejarah, kesan peristiwa penubuhan Malaysia ini memberi seribu faedah kepada pembangunan agama, bangsa dan negara hari ini. yang pasti, sebuah negara aman dan bebas daripada pengaruh dan anasir luar, khususnya komunis, terbentuk.
Malaysia hari ini, antara negara bebas daripada pengaruh dan anasir asing. Ini manfaat paling berharga dinikmati generasi baharu Malaysia kerana dapat hidup aman dan damai. Berbeza kehidupan nenek moyang yang sentiasa hidup ketakutan, kerisauan, kebuluran dan menjadi mangsa kekejaman Komunis.
Penubuhan Malaysia memberi banyak manfaat kepada penduduk Sabah dan Sarawak. Nikmat paling berharga bermulanya pembebasan daripada jajahan British.
Tanah Melayu secara tidak langsung membantu memerdekakan Sabah dan Sarawak. Penubuhan Malaysia sebenarnya melakar sejarah apabila sebuah negara kecil membantu negara besar memperoleh kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman British.
Ekoran ini juga wujud satu negara bangsa yang besar merangkumi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Ia mengimbangi nisbah penduduk terdiri pelbagai agama, budaya dan bangsa.
Percantuman Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sesungguhnya menyatupadukan seluruh bangsa dan kaum sehingga terbentuknya suatu budaya sangat unik di bawah satu payung.
Malaysia antara negara yang sangat kaya dengan keunikan budaya, adat resam, kepercayaan dan gaya hidup. Lihatlah kesannya sekarang, dengan pelancong daripada dalam dan luar negara tertarik melihat sendiri gaya hidup masyarakat yang mempunyai budaya unik ini.
Amat sukar melihat kepelbagaian budaya dan etnik dalam satu negara, tetapi di Malaysia anda dapat melihat semua ini. Inilah sumbangan besar penubuhan Malaysia kerana kini negara dikenali seluruh dunia.
Malaysia sebuah negara bermasyarakat majmuk, kaya dengan budaya dan adat resam serta kaum dan bangsa yang perbagai. Secara praktis amat sukar menyatupadukan kaum berbeza agama, budaya dan cara hidup.
Namun, dengan penubuhan Malaysia, perpaduan rakyat dapat dilaksanakan dan direncanakan hasil kepemimpinan pemerintah terdahulu.
Tidak keterlaluan dikatakan Malaysia dijadikan contoh oleh negara maju kerana berjaya menguruskan perpaduan kaum dan masyarakatnya. Malaysia juga berjaya menguruskan ekonomi.
Ketika situasi ekonomi tidak menentu serta kegawatan ekonomi, negara tidak perlu berhutang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Ini satu kejayaan besar bagi Malaysia. Inilah manfaat penubuhan Malaysia yang dapat kita lihat hingga hari ini.
Kalau dahulu Tanah Melayu hanya bergantung beberapa jenis atau sumber ekonomi, dengan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, eksport negara dipelbagaikan.
Dengan penggabungan ini, rakyat saling mendapat faedah dan tidak wujud lagi tanggapan negara yang kaya bertambah kaya dan negara miskin bertambah miskin.
Dengan penubuhan Malaysia, secara amnya, terbentuk satu negara besar dan disegani kawan serta lawan. Lahirlah juga sebuah negara pelbagai bangsa dengan nama Malaysia yang gah dan masyhur dengan kekukuhan ekonomi dan politik sukar ditandingi.
Apabila sebuah negara besar dan mantap dari segi sosiopolitik, sudah tentu ia menjadi perhatian seluruh dunia.
Dalam hal ini, keselamatan negara perlu sentiasa dipantau dari semasa ke semasa. Jadikanlah Peristiwa di Lahad Batu sebagai peringatan untuk sama-sama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tercinta.
Sumber: Berita Harian Online
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/09/730526/penubuhan-malaysia-satukan-penduduk-pelbagai-kaum
Postingan dihantar oleh: Hafizuddin Pajar | 296573