12/09/2026
*TERJEMAHAN TEMATIK*
Di dalam surah al Fatihah ayat ke 6
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَ ٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ
kita mungkin hanya memahami ayat ini dengan maksud “Tunjukilah kami jalan yang lurus” seperti yang diterjemahkan oleh Abdullah Basmeih dan kebanyakan terjemahan, namun maksudnya sebenarnya lebih luas daripada itu.
Kitab tafsir muktabar semisal Tafsir Ibn Kathir menjelaskan maksud kalimah al-hidayah apabila ia digunakan dalam pelbagai konteks bahasa Arab dan Al-Quran.
Antara intipati penting yang dibincangkan:
1. Makna Asal Hidayah:
Ibn Kathir menyatakan bahawa perkataan al-hidayah membawa maksud al-irshad wat-taufiq (الإرشاد والتوفيق) — iaitu petunjuk/pemberian jalan serta taufiq (kejayaan/pimpinan untuk melaksanakannya).
2. Kepelbagaian Cara Penggunaan (Ta'addi):
Apabila kata kerja hidayah digunakan secara langsung (tanpa huruf jar) seperti dalam ayat
{اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ},
ia merangkumi makna yang lebih luas seperti ilhamkanlah kepada kami, taufiqkanlah kami, berikanlah kami kebaikan dan seumpamanya.
Ini menunjukkan ia bukan sekadar 'menunjuk' dari jauh, tetapi membimbing dan melorongkan kita di sepanjang jalan ‘hidayah’ yang telah dikurniakan tersebut.
Kandungan kitab tafsir ini selari dengan kefahaman kita bahawa doa Ihdina al-Sirat al-Mustaqim mengandungi elemen bimbingan berterusan (along the path), iaitu memohon taufiq dan istiqamah daripada Allah SWT di atas jalan iman yang telah dikurniakan.
Ini bukan sahaja bermakna daripada sesat kepada hidayah, ia juga bermakna daripada hidayah yang Allah swt telah kurniakan ini berikanlah kita ilham, taufiq, kekuatan, malah kurniakanlah atau berikanlah apa-apa sahaja rezeki dan kebaikan.
Saya tertarik dengan terjemahan oleh Shaykh Dr Mustafa Khattab:
“Guide us along the Straight Path”
Seakan-seakan kita berdoa:
“Ya Allah pandulah kami, bimbinglah kami, berilah kami taufiq dan inaayah di ‘sepanjang’ jalan yang Kau telah kurniakan ini.”
Perkataan ‘along the straight path’ itu lebih dekat jika mengikut konteks Nabi saw yang membacanya. Ini kerana Nabi saw yang telah dijamin syurga dan keampunan itu tetap mendoakan untuk dirinya agar diberi irsyad (panduan), thabat (ketetapan) iman dan taufiq (persetujuan) untuk terus beramal soleh malah melaksanakan tugas dakwah.
Sesuai dengan ayat ke 8 dalam surah ali Imran:
رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَیۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةًۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ﴿ ٨ ﴾
. Mustafa Khattab:
˹They say,˺ “Our Lord! Do not let our hearts deviate after you have guided us. Grant us Your mercy. You are indeed the Giver ˹of all bounties˺.
Muhammad Basmeih:
(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.