23/11/2025
Selamat Bergabung bersama DGM bagi Pelajar Baharu 2026
Pada 22 November 2025, telah berlangsung Hari Terbuka Pelajar Baharu 2026 yang dianjurkan oleh Dyslexia Genius Malaysia. Program ini diadakan secara fizikal dan juga atas talian bagi memudahkan ibu bapa mendapatkan maklumat serta memahami perjalanan pendidikan anak-anak di pusat kami.
Kami, pihak Dyslexia Genius Malaysia, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ibu bapa atas kepercayaan yang diberikan. Sokongan padu daripada ibu bapa merupakan satu amanah besar buat kami untuk terus memberikan yang terbaik.
Pertambahan bilangan pelajar baharu bagi tahun 2026 adalah satu tanggungjawab yang amat kami hargai. Kami komited untuk sentiasa meningkatkan kualiti dari semua aspek, termasuk:
• Kaedah pengajaran dan pembelajaran
• Aktiviti-aktiviti intervensi yang lebih berstruktur
• Keselesaan persekitaran pembelajaran
• Penambahbaikan sistem rekod dan laporan perkembangan pelajar
Bagi memastikan setiap pelajar menerima intervensi yang sesuai, kami menyediakan rangkaian program lengkap yang merangkumi:
• Early Intervention Program (EIP)
• Intensive Class
• Youth Program
• Exam Year Program
• University Placement Program
• TVET / Skills Training Program
• Adult Program
Setiap program dirangka secara sistematik bagi membantu anak-anak membina keyakinan, mengembangkan potensi, serta melangkah lebih jauh dalam pendidikan dan kehidupan.
Untuk tahun 2026, kami juga berbangga memperkenalkan Student Management System yang dibangunkan oleh Cartel Solutions, dimiliki oleh seorang mantan pelajar Dyslexia Genius Malaysia sendiri. Ini adalah satu penghargaan yang amat besar buat kami, melihat bekas pelajar kami kembali menyumbang semula kepada komuniti.
Semoga usaha berterusan ini dapat membantu lebih ramai anak-anak mencapai cita-cita, membina masa depan yang cerah, dan menjadi kebanggaan keluarga serta negara.