11/07/2022
:Kemuncak
Catatan Perjalanan Book R Us,Jelajah Back To School.
Desiran ombak menghempas pantai bagaikan irama menyambut kehadiran kami. Angin tengkujuh menerpa. Menampar p**i. Maha suci tuhan. Yang menjadikan langit dan bumi serta segala isinya. Segarnya bayu laut menghilangkan segala lelah perjalanan hampir 300 KM.
Kami tiba di Penarek. Lokasi kemuncak Jelajah Dana Kita. Team Gerila terus ke Dewan Sg Tarom. Tanpa rehat mereka terus bekerja. Mengalih 3000 pek barang makanan untuk diedarkan kepada masyarakat sekitar. Barang tersebut baru tiba dari KL menggunakan 2 buah treler 15 tan kerana lori kami tidak dapat memuatkan semua. Hampir tengah malam barulah segalanya selesai.
Mata masih segar. Dikeheningan malam bersama bayu laut, kami bersama pemandu dan rakan rakan s**arelawan duduk bersembang hingga dinihari. Kemesraan telah lama terjalin. Mereka dengan ikhlas turut serta dalan program ini. Bukan sahaja tanpa sebarang upah. Malah menawarkan pengangkutan dan tenaga secara percuma.
Kami bergelak ketawa sepanjang malam. Mereka menjadi sahabat akrab kami. Yang boleh bergurau senda tanpa sebarang sangkaan buruk. Benarlah, bermusafir memberikan banyak ibrah. Mengenali hati budi manusia. Melihat kebesaran pencipta.
Hampir dinihari baru kami terlena. Sedar sedar, subuh sudah menjelma. Selepas menunaikan tanggungjawab kepada pencipta, aku keluar menikmati kesegaran bayu laut. Dalam samar samar, ombak menggulung menghempas pantai yang setia. Tanpa jemu. Kelibat trak buku Book R Us nampak gagah di celah celah cuaca tengkujuh. Terlalu kerdil diri kita bila melihat laut yang terbentang luas. Terasa seperti buih buih dilautan.
Misi kita baru bermula. Selepas ini Book R Is akan menjelakah segenap pelusuk negara. Matlamat kami melahirkan generasi yang s**a membaca. Yang menyintai buku lebih dari gajet. Menebarkan ilmu. Allah beri kita peluang. Tanpa disangka sangka. Segalanya telah dilorongkan. Tinggal kita sahaja untuk menjadikan ianya realiti.
Suria memunculkan dirinya. Memancar cahaya membias celah celah pohon rendang di tepi pantai Rhu Sepuluh. Gerila sudah siap siaga di Dewa Sg Tarom. Menyusun atur untuk program keesokan harinya. Book R Us transit yang di pandu Fadamir Saad seakan memberi isyarat perlu diselenggara. Dia dan Allan Jacho segera menuju ke Bandar Kuala Terengganu.
Selepas di servis, mereka memilih untuk membuka trak buku ini di bandar KT. Berlatarkan Jambatan Angkat yang tersohor. Mereka menjadi tumpuan ramai. Anak anak termasuk orang dewasa. Selesai di Jambatan Angkat, mereka berpindah ke Pantai Batu Burok, bersebelahan lori Pusat Zakat.
Malam kembali menjelma. Senja kian berlabuh. Kepenatan menghambat jiwa. Namun semangat kami tetap utuh. Seteguh batu bersurat. Sekental Abdul Rahman Limbong. Takkan berputus asa memandaikan bangsa. Seperti kentalnya sang penyu. Menongkah lautan ke pesisir pantai untuk melahirkan generasi baru. Biarpun sentiasa menangis kerna telur diambil orang.
Demi Bangsa.