01/06/2026
𝗗𝗔𝗨𝗟𝗔𝗧 𝗧𝗨𝗔𝗡𝗞𝗨
Merafak Sembah Ucapan Setinggi-Tinggi Tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 1 Jun 2026 bersamaan 15 Zulhijjah 1447H.
Daulat Tuanku.
Menjunjung Kasih Tuanku.
Sembah takzim daripada warga Kampus Kuala Lumpur UKM.
31/05/2026
𝗦𝗘𝗟𝗔𝗠𝗔𝗧 𝗠𝗘𝗡𝗬𝗔𝗠𝗕𝗨𝗧 𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗪𝗘𝗦𝗔𝗞 𝟮𝟬𝟮𝟲
Kampus Kuala Lumpur UKM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha khususnya buat warga UKM.
Semoga sambutan Hari Wesak kali ini menginspirasikan kita semua untuk terus menyemai nilai-nilai murni seperti belas ihsan, toleransi dan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum dan budaya.
Marilah kita bersama-sama memperkukuh perpaduan serta menyumbang ke arah kesejahteraan sejagat demi masa depan yang lebih aman dan sejahtera.
Tulus ikhlas daripada warga Kampus Kuala Lumpur UKM.
26/05/2026
𝗦𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗔𝗜𝗗𝗜𝗟𝗔𝗗𝗛𝗔 𝟭𝟰𝟰𝟳𝗛
Kampus Kuala Lumpur UKM mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh warga UKM
Aidiladha mengingatkan kita tentang erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT. Semoga semangat ibadah korban yang dizahirkan bukan sekadar ritual tetapi menjadi pemangkin untuk kita terus berbakti, berkongsi rezeki dan memperkukuh nilai kemanusiaan dalam kehidupan seharian.
Firman Allah SWT:
"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah."
(Surah Al-Kawthar: 2)
Semoga Aidiladha kali ini membawa keberkatan, ketenangan dan mempereratkan ukhuwah dalam kalangan kita semua.
18/05/2026
Tanggal 18 Mei 1970 menjadi detik bersejarah yang menyaksikan lahirnya sebuah universiti yang dibina atas semangat perjuangan bangsa, demi memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wahana pembinaan tamadun negara. Dari sebuah cita-cita besar yang disulam dengan tekad, pengorbanan dan harapan rakyat, UKM berdiri megah sebagai lambang maruah intelektual serta jati diri kebangsaan.
Lebih lima dekad melakar perjalanan, UKM terus menzahirkan sinar kecemerlangan dalam dunia akademik, penyelidikan, inovasi dan khidmat masyarakat. Setiap langkah yang diatur bukan sekadar membina institusi ilmu, tetapi turut melahirkan generasi pemimpin, ilmuwan dan insan berbakti yang menyumbang kepada agama, bangsa dan tanah air.
Di sebalik kejayaan yang diraih, terhimpun seribu kisah perjuangan warga universiti yang tidak pernah lelah menabur bakti. Dari dewan kuliah hingga ke makmal penyelidikan, dari hospital pengajar hingga ke lapangan masyarakat, UKM terus menjadi medan lahirnya ilmu yang memberi makna kepada kehidupan dan manfaat kepada dunia.
Sebagai sebahagian daripada keluarga besar UKM, Kampus Kuala Lumpur berbangga menjadi antara nadi yang menggerakkan aspirasi universiti khususnya dalam bidang kesihatan, penyelidikan dan perkhidmatan kepada masyarakat. Semangat “Ilmu, Mutu dan Budi” akan terus dijunjung sebagai warisan yang menyatukan seluruh warga dalam mendepani masa hadapan yang penuh cabaran dan harapan.
Semoga ulang tahun ke-56 ini menjadi lembaran baharu untuk UKM terus melakar kecemerlangan, memperkukuh legasi keilmuan dan kekal unggul sebagai mercu pendidikan tinggi yang disegani di persada dunia.
Selamat Ulang Tahun ke-56 UKM.
Terus gemilang memimpin masa depan bangsa.
Tulus ikhlas daripada warga Kampus Kuala Lumpur UKM.
15/05/2026
Pemakluman YBhg. Prof. Dr. Ismanizan Ismail, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi (TNC HEPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa (TNC HEAA) UKM berkuat kuasa 13 Mei 2026.
13/05/2026
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor atas segala khidmat bakti, komitmen dan dedikasi sepanjang menjalankan amanah sebagai Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga 12 Mei 2026.
Segala jasa dan sumbangan beliau dalam memperkukuh kecemerlangan akademik serta memperluas jaringan antarabangsa universiti amat dihargai dan akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga UKM.
Warga Kampus Kuala Lumpur UKM mendoakan agar YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan berterusan dalam setiap amanah yang dipikul.
Tulus ikhlas daripada warga Kampus Kuala Lumpur UKM.
12/05/2026
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Prof. Madya Dr. Andrea Ban Yu-Lin atas pelantikan sebagai Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kampus Kuala Lumpur, Pejabat Pro-Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) berkuat kuasa pada 11 Mei 2026.
Semoga pelantikan ini terus memperkukuh kecemerlangan penyelidikan klinikal serta memacu agenda inovasi dan pembangunan kesihatan di Kampus Kuala Lumpur UKM.
Tulus ikhlas daripada warga Kampus Kuala Lumpur UKM.
12/05/2026
𝗦𝗘𝗟𝗔𝗠𝗔𝗧 𝗠𝗘𝗡𝗬𝗔𝗠𝗕𝗨𝗧 𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗝𝗨𝗥𝗨𝗥𝗔𝗪𝗔𝗧 𝗦𝗘𝗗𝗨𝗡𝗜𝗔
Kampus Kuala Lumpur UKM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Jururawat Sedunia kepada seluruh jururawat khususnya buat warga UKM yang terus komited mencurahkan bakti, kasih sayang dan khidmat terbaik kepada masyarakat.
Pengorbanan serta dedikasi para jururawat amat dihargai dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara dan melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera.
“𝗢𝘂𝗿 𝗡𝘂𝗿𝘀𝗲𝘀, 𝗢𝘂𝗿 𝗙𝘂𝘁𝘂𝗿𝗲, 𝗘𝗺𝗽𝗼𝘄𝗲𝗿𝗲𝗱 𝗡𝘂𝗿𝘀𝗲𝘀 𝗦𝗮𝘃𝗲 𝗟𝗶𝘃𝗲𝘀”
Terima kasih wira dan wirawati kesihatan negara.