Sejarah

Sejarah

Share

"Tiada yang baru di dunia kecuali sejarah yang anda tidak tahu."
- Harry S. Truman

Photos from Sejarah's post 22/01/2026


🗓️ 22 Januari 1879
British kalah memalukan kepada Zulu

Pada 22 Januari 1879, satu kejadian luar jangka berlaku di sebuah bukit bernama Isandlwana, di Zululand (Afrika Selatan hari ini). Tentera British yang selama ini dianggap “kebal” tiba-tiba tumbang teruk di tangan pahlawan Zulu. Ramai tak sangka satu empayar besar boleh kalah kepada tentera yang hanya bersenjatakan tombak dan perisai. Tapi itulah yang berlaku dan ceritanya memang luar biasa.

Semuanya bermula bila British nak kuasai Zululand. Bukan sebab Zulu cari pasal, tapi sebab British rasa wilayah itu perlu “ditundukkan” demi cita-cita penjajahan mereka. Raja Zulu ketika itu, Cetshwayo sebenarnya tak mahu perang. Tapi bila British bagi ultimatum yang menghina dan mustahil untuk ditunaikan, itu macam sengaja cari alasan untuk masuk berperang.

Masuk saja ke Zululand, tentera British terus rasa mereka dah menang sebelum berlawan. Mereka ada senapang, meriam, uniform kemas, sementara Zulu p**a cuma ada tombak. Tapi di Isandlwana, British buat silap besar: khemah dibina tanpa benteng, pasukan dibahagikan, dan kawalan longgar. Mereka terlalu yakin musuh tak berani menyerang.

Sedangkan pahlawan Zulu dah lama memerhati dari jauh. Lebih 20,000 orang bergerak senyap-senyap dengan formasi “tanduk kerbau”, yang mana bahagian tengah serang depan, kiri kanan kepung. Bila mereka meluru, British terus jadi kelam-kabut. Arahan bercelaru, peluru mula habis, dan barisan pertahanan runtuh satu demi satu.

Dekat medan pertempuran, pertarungan jadi sangat dekat dan ganas. Pahlawan Zulu mara tanpa takut mati. Mereka serang dari jarak dekat dengan tombak, berlindung dengan perisai kulit. Ramai askar British tak sempat susun barisan, apatah lagi bertahan. Dalam masa beberapa jam saja, satu kem tentera British musnah sepenuhnya.

Bila semuanya berakhir, lebih 1,300 askar British terbunuh. Itu antara kekalahan paling memalukan dalam sejarah Empayar British. Dunia terkejut bagaimana tentera moden boleh tewas kepada pahlawan tradisional? Tapi hakikatnya, keberanian, disiplin, dan strategi Zulu lebih tajam daripada senjata.

Walaupun Zulu menang di Isandlwana, British tak boleh terima kekalahan itu. Mereka hantar lebih ramai tentera, senjata berat, dan akhirnya kerajaan Zulu tumbang beberapa bulan kemudian. Raja Cetshwayo ditangkap, dan Zululand jatuh ke tangan penjajah.


Photos from Sejarah's post 21/01/2026


🗓 21 Januari 1793
Raja Louis XVI dipancung dengan gilotin.

Dalam hari inilah dalam sejarah, dunia mengingati detik hitam yang menggoncang Eropah: hukuman mati ke atas Raja Louis XVI dari Perancis pada 21 Januari 1793. Peristiwa ini bukan sekadar penamat hayat seorang raja, tetapi simbol runtuhnya sistem pemerintahan beraja mutlak yang telah berakar selama berabad-abad. Untuk memahami mengapa seorang raja boleh berakhir di bawah bilah gilotin, kita perlu menelusuri latar belakang Revolusi Perancis dan rangkaian peristiwa yang membawanya ke situ.

Sebelum revolusi meletus, Perancis berada dalam keadaan krisis yang parah. Negara itu dibebani hutang besar akibat peperangan, termasuk sokongan kepada Revolusi Amerika, sementara hasil negara tidak mencukupi. Pada masa yang sama, sistem sosial “Tiga Estet” membahagikan masyarakat kepada golongan bangsawan, paderi dan rakyat biasa. Golongan atasan menikmati keistimewaan dan bebas cukai, manakala rakyat terbanyak menanggung beban ekonomi. Ketidakadilan ini menimbulkan rasa tidak puas hati yang semakin membara di kalangan petani, pekerja bandar dan golongan intelektual.

Keadaan bertambah buruk apabila musim menuai gagal dan harga roti melonjak naik. Bagi rakyat miskin, roti adalah makanan utama, jadi kenaikan harga ini dirasakan sebagai ancaman hidup dan mati. Raja Louis XVI p**a dilihat lemah dan tidak tegas dalam membuat pembaharuan. Walaupun ada usaha untuk memperkenalkan cukai baharu dan menstruktur semula kewangan negara, tentangan daripada golongan bangsawan menyebabkan semua rancangan tergendala. Akhirnya, raja terpaksa memanggil Persidangan Estet-General pada tahun 1789, sesuatu yang tidak pernah dilakukan selama lebih 170 tahun.

Persidangan itu menjadi titik tolak kepada revolusi. Wakil-wakil Estet Ketiga, yang mewakili rakyat biasa, menuntut hak mengundi yang adil dan peranan yang lebih besar dalam pemerintahan. Apabila tuntutan mereka ditolak, mereka mengisytiharkan diri sebagai Perhimpunan Kebangsaan dan berikrar untuk menggubal perlembagaan baharu. Ketegangan memuncak apabila rakyat Paris menyerbu Penjara Bastille pada 14 Julai 1789, simbol kezaliman monarki. Kejatuhan Bastille membangkitkan semangat rakyat dan menandakan bermulanya era baharu.

Dalam bulan-bulan berikutnya, Perhimpunan Kebangsaan memansuhkan sistem feudal dan mengisytiharkan “Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Warganegara”. Raja Louis XVI terpaksa menerima perubahan ini, tetapi kepercayaannya terhadap revolusi amat rapuh. Pada tahun 1791, baginda dan keluarganya cuba melarikan diri ke luar negara untuk mendapatkan sokongan kuasa asing, tetapi ditangkap di Varennes. Cubaan melarikan diri ini memusnahkan baki kepercayaan rakyat terhadap raja dan menguatkan pandangan bahawa baginda ialah pengkhianat kepada negara.

Situasi politik menjadi semakin radikal. Perancis mengisytiharkan perang terhadap beberapa negara Eropah yang takut akan penyebaran idea revolusi. Di dalam negara, golongan revolusioner yang lebih keras, seperti Jacobin, mula mendominasi. Sistem raja berperlembagaan digantikan dengan republik pada tahun 1792. Raja tidak lagi diiktiraf sebagai pemerintah, sebaliknya digelar “warganegara Louis Capet”. Takhta yang dulu dianggap suci kini dilihat sebagai simbol penindasan.

Louis XVI kemudian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengkhianati negara dan bersekongkol dengan musuh luar. Perbicaraan itu berlangsung dalam suasana penuh emosi dan tekanan politik. Walaupun ada yang mahu menjatuhkan hukuman buang negeri, majoriti wakil rakyat memilih hukuman mati. Keputusan ini mencerminkan keazaman golongan revolusioner untuk memutuskan sepenuhnya hubungan dengan sistem lama.

Pada pagi 21 Januari 1793, Raja Louis XVI dibawa ke Dataran Revolusi di Paris. Di hadapan orang ramai, baginda cuba menyampaikan kata-kata terakhir, tetapi tenggelam dalam sorakan dan bunyi gendang. Tidak lama kemudian, bilah gilotin dijatuhkan. Dengan itu, berakhirlah riwayat seorang raja dan juga satu zaman dalam sejarah Perancis.

Hukuman mati Louis XVI bukan sekadar penamat individu, tetapi titik perubahan besar dalam sejarah dunia. Ia menunjukkan bahawa kuasa tidak lagi mutlak di tangan raja, sebaliknya boleh dicabar oleh rakyat. Revolusi Perancis membuka jalan kepada idea kebebasan, kesamarataan dan hak rakyat yang terus mempengaruhi politik moden hingga hari ini. Dari peristiwa inilah lahir dunia baharu yang menolak kezaliman dan mengangkat suara rakyat sebagai asas pemerintahan.



Photos from Sejarah's post 13/12/2025

"Bangsa asing ini pernah menakluk dan memerintah China?"

Dalam sejarah China, terdapat bangsa asing selain bangsa Han Cina yang pernah mengasaskan dinasti di sebahagian kawasan China mahupun seluruh China Proper (kawasan asli yang dihuni oleh masyarakat Han Cina). Para pengasas dinasti tersebut akan berasimilasi sepenuhnya menerima budaya Han Cina yang lebih dominan atau sebaliknya.

Dinasti-dinasti tersebut ialah Dinasti Liao, Dinasti Jin, serta dinasti-dinasti terkenal iaitu Dinasti Yuan yang diasaskan oleh orang Mongol dan dinasti Qing, dinasti terakhir China yang diperintah oleh orang Manchu sebelum penubuhan Republik China pada tahun 1911.

Secara amnya, kedua-dua bangsa Mongol dan Manchu sering dianggap sebagai dua bangsa yang sama, namun hakikatnya ada ciri-ciri perbezaan yang menjadi garis pemisah antara mereka.

Dari sudut gaya hidup, orang Manchu kadangkala disalah anggap sebagai bangsa nomad seperti orang Mongol. Sebenarnya, orang Manchu mengamalkan pertanian dengan mengusahakan tanaman dan menternak haiwan. Mereka juga mengamalkan cara tebas dan bakar.

Dari sudut bahasa p**a, orang Manchu mempunyai bahasa tersendiri yang ternyata berbeza dengan bahasa Mongol, tetapi mereka menggunakan sistem tulisan Mongol. Setelah penaklukan ke atas dinasti Ming, mereka mula berasimilasi dan menggunakan bahasa Cina dalam pemerintahan dan kehidupan harian.

Oleh sebab terdapat banyal hal yang mengaitkan Manchu dan Mongol, pemimpin Manchu iaitu Nurhaci pernah menekankan perbezaan bangsa Manchu dengan Mongol. Beliau pernah berkata: "bahasa orang Cina dan Korea berbeza, tetapi pakaian dan cara hidup mereka sama. Begitu juga kami orang Manchu dan Mongol. Bahasa kita berbeza, tetapi pakaian dan cara hidup kita sama".

Nurhaci juga menegaskan bahawa hubungan dengan orang Mongol bukanlah berasaskan budaya yang sama, sebaliknya atas alasan pragmatik dan “kepentingan bersama”, apabila beliau berkata kepada orang Mongol: "Kamu orang Mongol menternak ternakan, makan daging, dan memakai kulit binatang. Rakyatku mengerjakan ladang dan hidup dengan bijirin. Kita berdua bukan satu negara dan mempunyai bahasa yang berbeza"

Dinasti Qing kemudian diasaskan oleh anak kepada Nurhaci, Hong Taici yang terus menakluk dan menundukkan Dinasti Ming. Seluruh China kemudian berada di bawah pemerintahan Qing sehinggalah ke era moden dan menjadi dinasti terakhir dalam sistem beraja Cina sehingga kebangkitan rakyat China menentang pemerintahan tersebut pada tahun 1911 dalam Revolusi Xinhai.

12/12/2025

Sejarah - 12 Disember

1915: Yuan Shikai mengisytiharkan penubuhan Empayar China dan menabalkan dirinya sebagai Maharaja.
_________________________________________________________________

Di China, pada tahun 1911, berlakunya satu revolusi rakyat untuk menjatuhkan pemerintahan beraja di China pada masa itu yang diperintah oleh Dinasti Qing, yang dikenali sebagai Revolusi Xinhai. Pemerintahan beraja Qing menyaksikan China menempuh tempoh yang sukar apabila berdepan pengaruh kuasa asing, cabaran pemodenan dan mengakibatkan mereka berdepan dengan fasa "abad penghinaan". Kebangkitan rakyat ini berakhir dengan kejayaan apabila mereka mencapai matlamat untuk mengakhiri sistem beraja China selama ribuan tahun dan membawa kepada penubuhan kerajaan baharu iaitu Republik China.

Susulan gelombang pemberontakan yang berlaku serentak di seluruh negara, kerajaan Qing mengambil keputusan untuk melantik Yuan Shikai sebagai perdana menteri dan mengadakan rundingan dengan puak revolusioner atau pemberontak.

Di Nanjing, kerajaan sementara China telah pun dibentuk dan menjadikan Sun Yat-sen sebagai pemimpin kerajaan. Sun kemudian berunding dengan Yuan Shikai untuk meletakkan jawatan sekiranya dan memberikan laluan kepada Yuan sebagai presiden kerajaan nasional baharu sekiranya memastikan Maharaja Qing dapat diturunkan takhta.

Dekri penurunan takhta Maharaja Xuanzong yang baru berusia enam tahun diisytiharkan dan Yuan Shikai diangkat sebagai presiden pada 10 Mac 1912.

Keadaan menjadi sebaliknya apabila Yuan cuba memulihkan semula sistem beraja Cina dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja China pada 12 Mac 1915. Tindakannya itu segera mendapat tentangan rakyat dan pihak tentera. Keadaan ini berlarutan sehinggalah beliau dipaksa untuk turun takhta dan membawa kepada pemulihan semula Republik China.

China terus menempuh fasa perpecahan tanpa adanya kerajaan pusat yang sah apabila kemunculan pemerintahan panglima perang (warlord) selama berdekad-dekad dan ia termasuklah usaha-usaha untuk memulihkan kembali pemerintahan Dinasti Qing.

Photos from Sejarah's post 12/12/2025

Pernah dengar perkataan “shibboleth”? 🤔
Senang cerita, shibboleth ni macam password tak rasmi yang sesuatu kump**an guna untuk cam “orang kita” vs “bukan orang kita”. Kadang-kadang beza dia cuma pada cara sebut je!

Shibboleth (daripada bahasa Ibrani) ialah sebuah kata, tanda, atau ciri khas (boleh jadi gaya bahasa, loghat, amalan, simbol) yang digunakan untuk membezakan satu kump**an manusia daripada kump**an lain. Ia sering berfungsi sebagai “ujian identiti” sama ada secara budaya, sosial, atau sejarah.

Dalam erti kata mudah, shibbobleth boleh membezakan etnik kita dengan etnik orang lain walaupun ia serumpun.

Salah satu contoh shibboleth yang agak gelap dalam sejarah berlaku di Jepun selepas Gempa Besar Kantō tahun 1923. Waktu itu, keadaan kacau-bilau, dan tersebar khabar angin palsu tentang orang Korea. Akibatnya, sekump**an polis khas mula “memburu” orang Korea di jalanan.

Untuk kenal pasti siapa orang Korea, mereka guna ujian sebutan shibboleth. Antara ayat yang mereka suruh orang sebut ialah “jūgoen gojissen” (maksudnya: 15 yen 50 sen). Kalau seseorang tersalah sebut dan bunyinya jadi macam: “chūkoen kochissen”,
dia terus dianggap “bukan orang Jepun” lalu ditahan atau diserang.

Satu lagi contoh terkenal berlaku masa Perang Dunia Kedua, ketika Jerman menduduki Belanda. Orang Belanda ada satu “password rahsia” untuk bezakan siapa betul-betul orang Belanda dan siapa tentera Jerman yang menyamar. Mereka guna nama sebuah bandar tepi pantai yang susah nak sebut, “Scheveningen”.

Kenapa nama ni power sangat? Sebab oang Belanda sebut “Sch” sebagai gabungan s + ch, bunyinya lebih kurang [sx] (macam “skh”-veningen).

Orang Jerman p**a baca “Sch” macam [ʃ] — bunyi “sh”, jadi sebutannya terdengar macam “Shay-veningen”. Jadi kalau seseorang tersalah sebut, Belanda boleh terus tahu:
“Ha, ini bukan orang kita!”

30/07/2019

Istana Versailles membawa simbol kuasa monarki mutlak di mana ia menunjukkan kepercayaan penuh kepada Raja Louis XIV. Istana ini pada mulanya ialah rumah persinggahan kerabat diraja. Semasa pemerintahan Louis XIV, ia diubah suai menjadi lebih besar dan mewah seperti sekarang.

Dahulu, raja menggunakan istana ini untuk menjalankan penghakiman, upacara rasmi dan menyambut tetamu dari negara luar. Antara bilik yang terkenal di dalam istana ini ialah 'Hall of Mirror'. Namun, istana ini sudah lama terbiar semasa Revolusi Perancis disebabkan pengaruh kerajaan terdahulu.

Pada tahun 1837, Raja Louis-Phillipe mengarahkan pemuliharaan istana ini dan menjadikannya sebuah muzium sejarah. Kini, ia menjadi tarikan pelancong seluruh dunia.

30/05/2019

Pedang Bermata Tujuh disimpan di dalam Kuil Isonokami di Nara, Jepun. Diperbuat daripada besi dan tersimpan beratus tahun sebelum didedahkan. Pada tahun 1953, pedang ini diisytiharkan sebagai harta warisan negara Jepun. Di setiap sisi kiri dan kanan terdapat tiga cabang mata pedang. Terdapat dua inskripsi dengan jumlah 61 karakter diukir pada permukaan pedang.

Oleh kerana terdapat perkataan di atas pedang kabur, cendekiawan Jepun dan Korea mempunyai pendapat berbeza mengenainya. Buku Nihon Shoki menyatakan Maharaja Jepun meminta Raja Baekje membuatkannya pedang kerana ia adalah negeri lindungan Jepun. Sebaliknya orang Korea berpendapat ia merupakan hadiah daripada Raja Baekje kerana Baekje merupakan negara paling berkuasa ketika itu. Jadi, tidak mudah untuk Jepun menawan Baekje.

Walau apa pun andaiannya, Raja Baekje telah mengarahkan seseorang untuk menghasilkan Pedang Bermata Tujuh. Terdapat beberapa catatan sejarah mengenai hubungan Jepun dan Korea pada zaman lampau tetapi masih tidak dapat menyelesaikan pertikaian yang timbul. Justeru, kajian ke atas pedang ini dapat menambah pengetahuan tentang sejarah lampau.

06/05/2019

Marie Antoinette dilahirkan di Vienna, Austria dan merupakan anak bongsu Permaisuri Marie Theresa. Semasa berumur 14 tahun, baginda berkahwin dengan Dauphin (Putera) Louis dari Perancis dan akhirnya ditabalkan menjadi Permaisuri Perancis. Baginda dikelilingi dengan kemewahan menyebabkan baginda boros dan tidak mempedulikan nasib rakyatnya semasa krisis ekonomi.

Apabila Revolusi Perancis tercetus, pemberontakan rakyat memaksa Dewan Undangan Perancis menggantung kuasa raja pada 10 Ogos 1792. Tiga hari kemudian, baginda ditahan dan dipenjarakan bersama suaminya. Selepas kematian Louis XVI, baginda dituduh menyeleweng harta negara dan bersubahat dengan Austria untuk menakluk Perancis. Akhirnya baginda menerima nasib yang sama seperti suaminya dipancung menggunakan gilotin pada tahun 1793.

20/04/2019

Louis XVI merupakan raja terakhir Kerabat Bourbon di Perancis. Baginda mengahwini Marie Antoinette pada tahun 1770 dan menaiki takhta pada tahun 1774 semasa berusia 19 tahun.

Semasa pemerintahan baginda, Perancis berdepan krisis kewangan yang teruk akibat beberapa siri peperangan. Untuk mengatasi krisis ini, baginda telah melakukan pembaharuan semula ekonomi dan mendapat tentangan hebat daripada golongan paderi dan bangsawan. Bagaimanapun, Louis tiada pilihan melainkan menubuhkan 'Estates General' yang diwakili orang biasa, pihak gereja dan golongan bangsawan.

Akan tetapi, raja bersama golongan bangsawan ataupun pihak gereja tidak mahu membayar pada badan tersebut. Justeru, rakyat biasa dipaksa membayar cukai berlebihan dan sebagainya daripada makanan hinggalah pakaian. Rakyat Perancis menjadi marah dan menyerang penjara yang dipanggil Bastille menyebabkan tercetusnya revolusi.

Akhirnya, raja disingkirkan dari Versailles ke Paris. Pada tahun 1791, Louis XVI ditangkap tentera revolusi di sempadan Austria. Dua tahun kemudian, beliau dituduh sebagai khianat dan dijatuhkan hukuman pancung menggunakan gilotin di Paris.

28/03/2019

Kerajaan China purba bukan hanya memiliki pahlawan perkasa, pegawai kerajaan yang licik dan cendekiawan hebat malah wanita jelita. Kejelitaan empat wanita dikatakan amat memukau hingga dikenali 'Empat Jelitawan China'. Mereka berstatus legenda bukan hanya paras rupa tetapi memberi impak besar pada sejarah dan budaya negara China. Jelitawan tersebut ialah Xi Shi, Wang Zhaojun, Diao Chan dan tentunya Yang Guifei.

Xi Shi adalah anak penjual teh Gunung Ningluo. Berasal dari sebuah kampung di daerah Zhuji, wilayah Zhejiang merangkumi negeri Yue pada zaman lampau. Apabila negeri Yue ditawan negeri Wu, Raja Yue, Guo Jian dipaksa berkhidmat dengan Putera Raja Wu. Guo Jian mengarahkan menteri Fan Li membawa Xi Shi pada putera tersebut sebagai hadiah dari negeri Yue. Tetapi hakikatnya Xi Shi mempunyai misi untuk memperdaya Putera Raja Wu dengan kejelitaannya supaya baginda sentiasa resah gelisah sehingga mengabaikan soal pemerintahan negeri Wu. Dikatakan pesona kejelitaannya membuatkan ikan terlupa untuk berenang dan mati lemas apabila terpandang akan wajah Xi Shi.

Wang Zhaojun dari Dinasti Han ialah seorang wanita jelita serta berbakat. Maharaja Han mengahwinkannya dengan ketua negeri Hun (dikenali Shan-Yu) untuk mengekalkan hubungan perdagangan dan perdamaian dengan orang barbar. Dalam perjalanan ke istana Shan-Yu, dia amat merindui akan kampung halaman lalu memujuk hati dengan bermain 'p**a' (alat muzik orang Cina). Gabungan alunan muzik dan kejelitaannya telah mengalihkan fokus burung di udara hingga terlupa untuk mengepakkan sayap.

Diao Chan terkenal dengan wataknya di dalam 'Hikayat Tiga Kerajaan' (Romance of the Three Kingdoms). Dia juga memiliki kemahiran dalam seni muzik dan menari selain rupa yang menawan. Suatu hari dia merenung bulan di langit. Tiba-tiba awan bergerak menutupi bulan kerana malu apabila ditenung Diao Chan. Dalam 'Hikayat Tiga Kerajaan', Diao Chan menggunakan kelebihannya untuk mencetus perselisihan antara D**g Zhuo dan Lu Bu hingga menyebabkan pertempuran hebat.

Dinasti Tang terkenal dengan kejelitaan Yang Guifei sehingga ada mengatakan bunga menutup kelopaknya kerana malu dan rasa hormat apabila Yang Guifei lalu di kawasan itu. Setelah mendengar dakwaan ini, Maharaja Tang mencari Yang Guifei dan menjadikannya permaisuri raja. Malangnya, keluarga Yang Guifei terlalu ghairah dengan kekuasaan dan kemewahan istana sehingga menimbulkan banyak masalah. Situasi ini memberi peluang pada musuh Maharaja untuk bertindak malah membangkitkan kemarahan tentera dan rakyat. Tidak lama kemudian, Dinasti Tang mengalami kejatuhan dan Yang Guifei dihukum mati.

17/03/2019

Budaya Mesoamerika mempunyai persamaan kerana mereka datang ke benua Amerika melalui Selat Bering kira-kira 20,000 tahun lalu. Kump**an migran pertama ini datang dari Asia dan Afrika. Kira-kira 2000 Sebelum Masihi sebahagian kolonis tiba di Mesoamerika mula bertani dan membantu kemunculan tamadun Olmec.

Tamadun ini mencapai kegemilangan sekitar tahun 1500 Sebelum Masihi. Ketika itu, mereka membina dewan upacara keagamaan di setiap kawasan penempatan besar, piramid kon besar dan monumen batu termasuklah patung kepala besar yang terkenal. Masyarakat tamadun ini bergantung pada perdagangan antara wilayah Olmec dan masyarakat Mesoamerika lain. Tamadun ini dianggap pelopor budaya ketamadunan selepasnya kerana mempunyai budaya Mesoamerika terawal dan paling maju ketika itu. Olmec juga antara tamadun paling awal menggunakan abjad dan kalendar yang kemudian digunakan serta dibangunkan oleh tamadun lain.

Namun, tamadun Olmec mula merosot dan lenyap sekitar tahun 400 Sebelum Masihi mungkin disebabkan perubahan alam sekitar.

Want your school to be the top-listed School/college in Kuala Lumpur?

Click here to claim your Sponsored Listing.

Location

Category

Address


Kuala Lumpur