05/09/2026
ANUGERAH TOKOH KEPIMPINAN INSPIRASI NUTP TAHUN 2026
- YBhg. Dato’ Haji Adzman bin Talib, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP)
Sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan Kali ke-24 (2 hingga 4 September 2026) di Kota Bharu, NUTP telah memberikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Inspirasi NUTP Tahun 2026 kepada YBhg. Dato’ Haji Adzman bin Talib, Pengerusi SPP.
Anugerah ini adalah sebagai penghargaan istimewa kepada seorang tokoh yang telah memperlihatkan kepimpinan berwibawa, ketokohan yang disegani serta sumbangan yang signifikan terhadap pembangunan pendidikan negara.
Paling penting bagi pihak NUTP ialah penerima anugerah ini merupakan bekas seorang pemimpin Kementerian Pendidikan yang sangat terbuka menerima pandangan dan sentiasa melakukan libat urus dan perbincangan dengan NUTP dalam setiap keputusan yang bakal dilaksanakan semasa perkhidmatan beliau di sana.
Penerima anugerah ini iaitu YBhg. Dato’ Hj. Adzman bin Talib merupakan seorang tokoh yang sangat dihormati dalam dunia pendidikan, dengan pengalaman luas dalam kepimpinan, pengurusan pendidikan, pembangunan kompetensi, pentaksiran serta pengoperasian sekolah.
Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau telah diberikan kepercayaan untuk menggalas pelbagai amanah penting di Kementerian Pendidikan Malaysia.
Antaranya, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha di Bahagian Penilaian dan Pembangunan Kompetensi, Kementerian Pendidikan Malaysia, dengan memainkan peranan dalam memperkukuh pembangunan serta kompetensi warga pendidikan.
Ketokohan dan pengalaman beliau kemudiannya terus terserlah apabila diberikan amanah menerajui Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Pengarah Peperiksaan.
Dalam kedudukan tersebut, beliau merupakan antara individu penting yang menyumbang kepada pengurusan dan pelaksanaan sistem pentaksiran serta peperiksaan pendidikan negara.
Kewibawaan kepimpinan beliau seterusnya membawa kepada amanah yang lebih besar apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Sektor Operasi Sekolah.
Jawatan ini meletakkan beliau pada kedudukan strategik dalam memastikan pengoperasian sekolah, pelaksanaan dasar serta pengurusan pendidikan dapat dilaksanakan secara berkesan di seluruh negara.
Pengalaman yang begitu luas, kebijaksanaan dalam memimpin serta komitmen yang tidak pernah mengenal lelah terhadap dunia pendidikan menjadikan beliau seorang pemimpin yang disegani oleh warga pendidikan.
Biarpun telah melalui perjalanan kerjaya yang panjang dalam Kementerian Pendidikan Malaysia, khidmat dan kepakaran beliau terus diperlukan.
Beliau kemudiannya diberikan kepercayaan untuk berkhidmat dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan kini menggalas amanah sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia.
Bagi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia – NUTP, ketokohan beliau bukan sahaja terletak pada jawatan yang pernah disandang, tetapi pada nilai kepimpinan, integriti, kebijaksanaan dan kesediaan untuk mendengar suara warga pendidikan.
Beliau merupakan seorang pemimpin yang memahami denyut nadi pendidikan dan sentiasa meletakkan kepentingan perkhidmatan pendidikan serta kebajikan warga pendidik sebagai suatu amanah yang perlu dipelihara.
Sesungguhnya, perjalanan panjang beliau dalam dunia pendidikan menjadi bukti bahawa kepimpinan bukan sekadar tentang kedudukan, tetapi tentang amanah, khidmat, keteladanan dan legasi yang ditinggalkan.
NUTP berpandangan, beliau merupakan antara pemimpin pendidikan terbaik yang pernah dilahirkan oleh Kementerian Pendidikan.