17/11/2025
LEX BACA | SOROTAN DINAMIKA DAN EVOLUSI PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA
Dahulu kala jika disebut orang kaya itu ialah orang-orang yang ada banyak tanahnya, besar rumahnya dan luas bendang atau dusunnya. Bagi masyarakat tempatan selepas pembentukan Tanah Melayu terutama di kampung-kampung, konsep menyimpan atau meminjam wang di bank - hatta yang konvensional - itu masih sesuatu yang relatif baharu, apatah lagi bila berbicara mengenai bank Islam.
Modernisasi dan globalisasi telah memperkenalkan sistem hari ini di mana wang fiat dan perbankan (di mana terdapat unsur-unsur tidak patuh syariah) merupakan elemen penting dalam sistem ekonomi. Namun demikian, para cendekiawan Islam pasca kemerdekaan tidak berdiam diri dan berpeluk tubuh membiarkan prinsip hukum syarak diketepikan. Mereka mencari peluang untuk memastikan wujud alternatif dalam ruang lingkup perbankan moden yang sejajar dengan syariah.
Maklum mengetahui bahawa industri perbankan merupakan industri yang dikawal selia dengan sangat ketat (highly regulated). Oleh itu, usaha untuk mewujudkan aliran perbankan patuh syariah ini memerlukan perbincangan banyak pihak yang bukan hanya sahaja melibatkan para cendikiawan Islam & orang-orang industri, malah turut perlu diluluskan di peringkat parlimen.
Bermula dengan saranan Kongres Ekonomi Bumiputera, Parlimen kemudiannya meluluskan Akta Bank Islam 1983. Melaluinya, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) ditubuhkan sebagai percubaan sulung – atau tajribah – dalam usaha menempatkan sistem perbankan Islam di Malaysia.
Dari semasa ke semasa, perkembangan pesat berlaku bagi memperkukuh kerangka perbankan Islam negara. Pelbagai garis panduan teknikal dan tadbir urus telah diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), di samping penubuhan beberapa persatuan serta institusi berkaitan perbankan Islam bagi menyokong pertumbuhan industri ini.
Pada peringkat awal sekitar tahun 1990-an, selain BIMB dan kemudian Bank Muamalat Malaysia Berhad, penyediaan perkhidmatan perbankan Islam oleh bank-bank lain hanya berlaku melalui Skim Perbankan Tanpa Faedah di bawah model ‘Islamic banking windows’, iaitu unit syariah dalam bank-bank konvensional yang dikawal selia melalui Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).
Seiring kematangan industri, Parlimen telah meluluskan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Akta ini menetapkan bahawa operasi perbankan Islam perlu dijalankan oleh sebuah entiti berlesen yang berasingan secara undang-undang daripada bank konvensional induknya. Oleh itu, wujudnya bank seperti Maybank Islamic Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad.
Di samping itu, IFSA turut mewajibkan setiap institusi kewangan Islam mempunyai Jawatankuasa Syariah (Shariah Committee) tersendiri bagi menasihati, mengesahkan, dan memastikan semua aktiviti serta operasinya mematuhi prinsip syariah.
Selain daripada itu, dalam membincangkan mengenai akad dan prinsip syariah yang digunakan untuk produk-produk di bank-bank Islam sejak 1983, lebih-lebih lagi untuk produk pembiayaan, banyak perkembangan telah berlaku.
Pada era awal sehingga sekitar tahun 2013, tidak pasti sama ada disebabkan kuatnya pengaruh Mazhab Syafi'i’ di Malaysia atau sebab ia mudah untuk diaplikasikan, terdapat bank mengambil jalan untuk mengguna pakai prinsip Bay’ al-Inah bagi produk mereka walaupun ia agak kontroversi dan tidak diterima oleh majoriti cendekiawan Islam di dunia. Selain itu, penggunaan prinsip Bay’ Bithaman Ajil (BBA) bagi produk-produk bank Islam turut dominan ketika itu.
Kritikan terhadap operasi bank Islam dari masa ke masa merupakan suatu perkara yang tidak dapat dihalang. Turut tidak terkecuali, cabaran yang dibuat terhadap keabsahan dan kesahihan produk-produk bank Islam di Mahkamah. Perbincangan berkenaan Bay’ al-Inah ataupun BBA ini bukan sahaja hanya di meja-meja mesyuarat mahupun di media sosial, malahan ia turut diuji di Mahkamah melalui pelbagai kes-kes undang-undang yang telah diputuskan.
Perkembangan undang-undang berkenaan Perbankan Islam turut dilihat bergerak dinamik. Mahkamah bergerak dalam membuat penilaian dan keputusan daripada menggunakan ‘common law approach’ sehinggalah merujuk keputusan dan pandangan Majlis Penasihat Syariah BNM.
Pasca kes Arab-Malaysian Finance v Taman Ihsan Jaya, atau mungkin kerana perkembangan industri itu sendiri, bank-bank Islam kini dilihat cenderung mengguna pakai prinsip Tawarruq atau ‘Commodity Murbahah’. Mungkin sebab ia lebih ‘standardized’ atau diterima secara global. Pun begitu, turut dicabar di Mahkamah dan kritikan masih wujud antara lain disebabkan sesetengah bank yang terlampau ‘over-reliance’ terhadap Tawarruq.
Mesej utama yang penulis ingin muatkan di sini adalah masih terdapat ruang yang begitu besar untuk memperelok dan memperkukuh perbankan Islam di Malaysia. Dalam tempoh 42 tahun kewujudan perbankan Islam di bumi bertuah ini, pelbagai perubahan telah berlaku, sehinggalah nama Malaysia menjadi teladan dan rujukan utama oleh masyarakat antarabangsa. Cemuhan dan kritikan melampau yang tidak membawa kepada apa-apa manfaat sehingga menyeru masyarakat kembali memilih jalan riba’ hanya merugikan masyarakat.
Kaedah menyebut, "مَا لَا يُدْرَكُ كُلُّهُ لَا يُتْرَكُ كُلُّهُ", Apa yang tidak dapat dicapai semuanya, janganlah ditinggalkan semuanya. Masih banyak usaha yang boleh dilakukan untuk menutup lompong-lompong yang dilihat hari ini dan pada masa yang sama masih banyak hasil perkembangan industri perbankan islam yang dapat dimanfaatkan.