14/04/2022
PETANI LIPIS PERLU BANTUAN TRAKTOR PEMBAJAK
Strategi Jaminan Bekalan Makanan Negara tidak seharusnya tinggal di atas kertas dan sidang media tetapi perlu diikuti tindakan segera dan sampai kepada pihak pelaksana termasuk di kampung dan kawasan pedalaman.
Tindakan segera tersebut perlu bukan sekadar sebagai tindak balas jika berlaku suasana tidak aman akibat krisis politik dan ekonomi global malah persediaan menghadapi bencana alam sekitar yang semakin kerap berlaku di serata dunia.
Para petani di desa turut berperanan penting sebagai pengeluar makanan negara. Justeru mereka perlu digerakkan dengan bantuan teknologi moden supaya mereka dapat menghasilkan bekalan makanan pada skala lebih besar dan mampan.
Beberapa petani di Daerah Lipis yang terlibat dalam penanaman jagung dan nanas merungut kepada saya mengenai sukarnya mendapat khidmat traktor pembajak tanah. Menurut mereka Jabatan Pertanian Lipis hanya mempunyai sebuah traktor berkenaan untuk digunakan secara bergilir-gilir, bermaksud para petani perlu menunggu lama untuk mendapatkan khidmat traktor pembajak! Pada masa sama traktor pihak swasta juga sangat kurang atau tidak disewakan.
Saya menyeru semua agensi kerajaan dan swasta berkaitan pembangunan pertanian untuk memberikan perhatian kepada keperluan bukan sahaja menambahkan jumlah traktor untuk disewa para petani MALAH menyediakan mesin-mesin pertanian moden untuk membantu petani memajukan kebun atau ladang mereka. Penggunaan teknologi moden bukan sahaja membantu mengatasi kekurangan tenaga buruh malah jika diuruskan dengan sempurna dapat mengatasi tanah pertanian terbiar - TERBIAR SEKIAN LAMA! - yang berselerak di serata Daerah Lipis.
ROSLAN BIN ZAINAL
Yang Dipertua
PAS Kawasan Parlimen Lipis
20200414