26/12/2019
PENTINGNYA PENGURUSAN MASA
Pengurusan masa dimaksudkan sebagai usaha seseorang itu memanfaatkan masa dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Oleh itu, masa perlulah diurus secara cekap, tepat, dan berjadual.
Kita sering mendengar kalangan pelajar yang memberikan alasan bahawa mereka tidak cukup masa. Cuba kita pastikan adakah pelajar berkenaan sudah mengurus masanya dengan cekap? Sekiranya pelajar berkenaan tidak mengurus masanya dengan cekap, kata-kata tersebut hanyalah alasan semata-mata.
Sebagai pelajar, kita perlulah mempunyai jadual waktu harian. Memiliki jadual waktu memudahkan kita membuat perancangan terhadap pelbagai aktiviti harian yang perlu dilakukan, terutamanya terhadap aktiviti pelajaran. Kita perlu merancang masa yang sesuai dan cukup untuk mengulang kaji pelajaran. Kadangkala kita sering mengutamakan mata pelajaran yang kita minati dan meninggalkan pelajaran-pelajaran yang lain. Akibatnya, prestasi pencapaian mata pelajaran yang lain merosot. Masalah ini tidak akan timbul jika kita mempunyai jadual waktu mengulang kaji pelajaran. Setiap masa pelajaran adalah sama pentingnya dan perlu diulang kaji.
Kebiasaannya, pelajar-pelajar yang cemerlang merupakan pelajar yang menyediakan jadual waktu belajar masing-masing. Mereka lebih bersedia, terutama semasa menghadapi musim peperiksaan, tidak berasa gementar dan tidak mengalami tekanan perasaan. Faktor ini disebabkan mereka mempunyai masa yang cukup dan terancang dalam mengulang kaji pelajaran. Persiapan awal mereka, bak kata pepatah ‘Sediakan payung sebelum hujan’, banyak membantu individu pelajar ini mencipta kejayaan dalam pelajaran masing-masing.
Kesimpulannya, pelajar-pelajar yang cekap mengurus masa biasanya merupakan orang yang berjaya dalam hidupnya. Mereka sedar bahawa masa itu emas. Oleh itu, pengurusan masa amat penting khasnya terhadap kita sebagai seorang pelajar.