04/08/2026
31 Julai 2026, genap 30 tahun Muallimah Rosmawati binti Yusoff telah menabur bakti di Sekolah Rendah Al Furqan. Menandakan berakhirnya satu perjalanan kerjaya, tetapi menjadi lambang sebuah pengabdian yang penuh makna. Bertahun-tahun mencurahkan ilmu, membimbing dengan penuh kesabaran, mendidik dengan kasih sayang dan menjadi inspirasi kepada ramai anak didik serta rakan sejawat.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas segala jasa, pengorbanan, komitmen serta dedikasi yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan. Segala usaha dan bakti yang dicurahkan tidak akan mampu dibalas dengan kata-kata, namun akan terus terpahat dalam ingatan dan dikenang sepanjang hayat.
Semoga setiap ilmu yang disampaikan, setiap nasihat yang dititipkan dan setiap kebaikan yang dilakukan menjadi amal jariah yang berterusan serta mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik, umur yang diberkati, ketenangan jiwa dan kebahagiaan bersama keluarga dalam menempuh fasa baharu kehidupan.
Selamat bersara. Semoga hari-hari yang mendatang dipenuhi dengan kebahagiaan, rezeki yang melimpah, dan keberkatan dalam setiap langkah. Terima kasih atas segala jasa. Sesungguhnya seorang guru mungkin bersara daripada tugasnya, tetapi jasa dan pengaruhnya akan terus hidup dalam hati setiap insan yang pernah menerima didikannya.
MENJANA GENERASI RABBANI