24/09/2026
Buat ustaz Hakim dari kami muridmu..
Ustaz…
Hari ini kami nak cakap sesuatu,
mungkin selama ini kami tak pernah luahkan,
tapi dalam hati kami, banyak yang kami nak sampaikan.
Ustaz, maafkan kami…
Kami tahu kami banyak buat kesilapan,
banyak kali kami tak dengar nasihat,
banyak kali kami buat ustaz marah dan kecewa dengan kami.
Kadang-kadang bila ustaz tegur,
kami buat muka, kami diam,
ada masa kami rasa ustaz terlalu tegas,
tapi sekarang baru kami sedar,
teguran itu sebenarnya sebab ustaz sayang dan mahu kami berubah.
Ustaz, terima kasih…
Sebab tak pernah jemu mengajar kami al-Quran,
membetulkan bacaan kami,
membimbing kami menghafaz,
walaupun kami selalu tersangkut, lupa dan perlu ulang berkali-kali.
Terima kasih juga ustaz,
sebab ajar kami tentang agama,
tentang solat, akhlak dan kehidupan,
bukan sekadar ilmu dalam buku,
tetapi ilmu yang ustaz cuba tanam dalam hati kami.
Dan ustaz bukan hanya guru al-Quran dan tahfiz kami,
ustaz juga guru memanah kami.
Daripada ustaz kami belajar membidik,
belajar fokus, belajar sabar,
dan belajar bahawa kalau nak capai sesuatu,
kita kena terus cuba walaupun banyak kali tersasar.
Ustaz…
Mungkin kami tak selalu tunjuk,
tapi sebenarnya kami hargai semua yang ustaz buat.
Setiap kali ustaz tegur,
setiap kali ustaz ajar,
setiap kali ustaz marah kerana kesalahan kami,
semuanya akan jadi kenangan yang kami bawa.
Kami juga minta maaf, ustaz…
Kalau selama ustaz bersama kami,
ada kata-kata kami yang menyakitkan hati,
ada perangai kami yang buat ustaz penat,
ada perbuatan kami yang buat ustaz kecewa.
Hari ini ustaz akan pergi,
dan kami tahu selepas ini suasana tak akan sama lagi.
Tak ada lagi suara ustaz yang selalu tegur kami,
tak ada lagi ustaz yang duduk mengajar kami,
tak ada lagi wajah ustaz yang selama ini sudah biasa kami lihat.
Ustaz, kalau selepas ini kami berjaya,
kalau suatu hari nanti kami menjadi orang yang baik,
kami harap ustaz tahu…
ada sedikit daripada kejayaan itu,
datangnya daripada ilmu yang ustaz pernah ajarkan kepada kami.
Terima kasih, ustaz…
Terima kasih kerana pernah menjadi guru kami,
guru agama kami, guru al-Quran kami,
guru tahfiz kami dan guru memanah kami.
Lebih daripada itu, terima kasih kerana pernah sabar mendidik kami.
Ustaz, maafkan kami atas semua salah dan silap kami.
Halalkan semua ilmu yang ustaz ajarkan.
Terima kasih untuk semuanya.
Kami sayang ustaz.
Kami akan rindu ustaz.
Semoga Allah sentiasa jaga ustaz di mana pun ustaz berada.
............................
Daripada kami Sekolah Rendah Islam Tahfiz An-Nur ingin mengucapkan terima kasih dan ucapan penghargaan buat Ustaz Hakim atas khidmat yang telah diberikan sepanjang berada di sekolah ini.
Terima kasih atas segala ilmu yang telah diberikan kepada anak-anak soleh di sekolah ini serta segala jasa, pengorbanan, tenaga serta subangan yang telah disumbangkan untuk sekolah ini.
Sesungguhnya banyak jasa yang telah ustaz berikan di sekolah ini yang sangat bermanfaat buat sekolah guru dan murid-murid khususnya dalam bab agama dan tahfiz.
Semoga segala urusan ustaz dipermudahkan diluar sana diberikan kecemerlangan dunia dan akhirat.
24 September 2026