12/04/2017
10
Pembolehubah dan kategorinya
Pembolehubah adalah ciri atau sifat yang dicerap atau diamati dari individu dalam pop**asi. Terdapat beberapa kategori pembolehubah, iaitu pembolehubah kajian (bebas dan bersandar); pembolehubah pengukur (kategori dan berterusan); pembolehubah sifat (aktif dan atribut); dan pembolehubah gangguan (luaran dan bertindan).
Pembolehubah bebas dan bersandar adalah ciri-ciri cerapan yang membentuk masalah kajian; yang perlu diukur. Misalnya, kajian yang mengukur hubungan antara jantina dengan gaya pembelajaran. Dalam kes ini, jantina merupakan pembolehubah bebas yang menggunakan bentuk pengukuran pembolehubah kategori. Dari segi sifatnya p**a, jantina tergolong ke dalam pembolehubah atribut. Jika di dalam kajian tersebut wujud interaksi lain dengan gaya pembelajaran selain daripada jantina maka “interaksi lain” tersebut dikenali sebagai pembolehubah luaran; yang akan mengganggu cerapan ke atas pembolehubah bersandar.
Pembolehubah Kajian
(Pembolehubah Bebas Dan Bersandar)
Pembolehubah bebas ialah pembolehubah yang kemunculannya lebih awal serta boleh memberi kesan terhadap pembolehubah bersandar. Kedua-dua pembolehubah ini digunapakai dalam kajian yang mengukur interaksi antara dua atau lebih pembolehubah. Walaubagaimanapun, tidak semua kajian di dalam pendidikan melibatkan pembolehubah bebas dan bersandar. Misalnya, kajian yang hanya membandingkan min pencapaian peperiksaan SPM di peringkat sekolah dengan min pencapaian peperiksaan SPM di peringkat daerah. Tetapi jika pengkaji ingin mengukur perbezaan min pencapaian peperiksaan SPM antara pelajar bandar dengan luar bandar maka faktor lokasi pelajar bertindak selaku pembolehubah bebas manakala faktor pencapaian peperiksaan SPM menjadi pembolehubah bersandar.
Pembolehubah Pengukur
(Pembolehubah Kategori Dan Berterusan)
Pelabelan jenis pembolehubah ini bertujuan untuk membolehkan pengukuran dibuat ke atas pembolehubah bebas dan bersandar. Pembolehubah kategori bertujuan untuk mengelaskan golongan atau kelompok tertentu. Misalnya, jantina, sikap, minat, taraf ekonomi, lokasi dan sebagainya. Jenis skala pengukuran yang digunakan ialah skala nominal dan ordinal.
Pembolehubah kategori terbahagi kepada dua jenis, iaitu kategori dwibahagian dan kategori berganda. Pembolehubah kategori dwibahagian ialah pembolehubah yang hanya mempunyai dua kategori sahaja, seperti jantina, lokasi, jenis sekolah dan sebagainya. Pembolehubah kategori berganda p**a ialah pembolehubah yang mempunyai lebih dari dua kategori, seperti bangsa, agama, penempatan, sikap, minat dan sebagainya.
Pembolehubah berterusan p**a adalah pembolehubah yang boleh diukur dengan nilai-nilai yang berterusan di antara dua nilai tertentu. Misalnya, pencapaian akademik, ketinggian, nilai pembolehubah berterusan boleh didapati dengan cara menyukat sesuatu pembolehubah. Jenis skala yang digunakan untuk pembolehubah ini ialah skala sela dan nisbah.
Pembolehubah Sifat
(Pembolehubah Aktif Dan Atribut)
Pembolehubah aktif ialah pembolehubah yang boleh dimanip**asi oleh penyelidik, seperti kaedah mengajar, gaya belajar, penggunaan perpustakaan, minat membaca dan sebagainya. Rekabentuk penyelidikan eksperimen digunapakai untuk mengukur olahan pembolehubah aktif ke atas pembolehubah bersandar. Misalnya kajian mengenai pembelajaran menerusi kaedah rakaman pita video. Kaedah rakaman pita video pembolehubah aktif yang diukur kesannya ke atas pembelajaran.
Pembolehubah atribut p**a ialah pembolehubah yang tidak dapat dimanip**asi sepenuhnya oleh penyelidik, misalnya, jantina, pendapatan, lokasi dan sebagainya. Kaedah penyelidikan eks pos fakto menggunakan jenis pembolehubah ini kerana rekabentuk penyelidikan eks pos fakto hanya untuk mengukur atau mengenal pasti pembolehubah-pembolehubah bebas; yang mempengaruhi pembolehubah bersandar; tanpa mempersoalkan atau memanip**asi kehadiran pembolehubah bebas tersebut.
Pembolehubah Gangguan
(Pembolehubah Luaran Dan Bertindan)
Terdapat p**a pembolehubah yang di luar kawalan penyelidik yang penting untuk diberi perhatian tetapi kehadirannya tidak diperlukan, yang kerap mempengaruhi pembolehubah bersandar dan pembolehubah bebas. Pembolehubah ini ialah pembolehubah luaran dan bertindan. Misalnya, kajian perbandingan tentang keberkesanan dua kaedah pengajaran. Katakan dua orang guru dipilih untuk mengajar dengan menggunakan kaedah “A” dan begitu juga untuk kaedah “B”; di empat buah kelas dari sekolah yang berbeza. Ketiadaan buku teks, cara belajar, kematangan subjek, minat terhadap matapelajaran dan sebagainya merupakan pembolehubah luaran yang boleh mempengaruhi pembolehubah bersandar. Pembolehubah luaran merupakan faktor-faktor berkaitan dengan pembolehubah bersandar tetapi tidak dimasukkan di dalam rekabentuk kajian.
Pembolehubah bertindan p**a adalah pembolehubah yang berbeza secara sistematik daripada pembolehubah bebas. Dalam contoh kajian yang sama di atas, perbezaan yang ada pada tiap guru yang dipilih untuk mengajar dengan menggunakan kaedah “A” dan kaedah “B” tersebut seperti gaya, personaliti, pengetahuan dan penampilan merupakan pembolehubah bertindan dengan kaedah pengajaran yang digunakan dan seterusnya akan mempengaruhi perhatian pelajar terhadap pengajaran guru (pembolehubah bebas).