19/09/2026
TERIMA KASIH ATAS PENGHORMATAN TERAKHIR BUAT MENDIANG PROF. MADYA DR. JAYA SEELAN
Bagi pihak keluarga besar Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir ke KK Tiong Hua Funeral Parlour, serta kepada mereka yang mengirimkan doa, ucapan takziah dan sokongan kepada keluarga mendiang.
Kehadiran dan ingatan semua amat bermakna buat kami, khususnya dalam saat yang penuh kesedihan ini.
Upacara sembahyang dan kremasi mendiang telah selamat disempurnakan di Negeri Sembilan pada 19 September 2026, jam 3.00 petang.
Mendiang Prof. Madya Dr. Jaya Seelan bukan sekadar Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) IBTP. Beliau ialah seorang saintis yang berdedikasi, pendidik yang sabar, mentor yang prihatin dan sahabat yang amat dihormati serta disayangi.
Sebagai pakar cendawan dan kulat, beliau telah memberikan sumbangan besar kepada dunia sains melalui penemuan lebih daripada 10 spesies baharu serta 24 rekod baharu spesies kulat untuk Sabah dan Malaysia. Setiap penemuan tersebut menjadi sebahagian daripada khazanah ilmu dan dokumentasi biodiversiti negara yang akan terus dikenang.
Namun, legasi mendiang tidak hanya terhenti pada penemuan saintifik. Melalui program citizen science, pendidikan biodiversiti dan Renjer Muda Cendawan, beliau telah mendekatkan masyarakat, khususnya generasi muda, kepada dunia fungi dan kepentingan memelihara alam sekitar.
Beliau juga telah membimbing ramai pelajar dan penyelidik muda dengan penuh dedikasi. Ilmu, semangat dan nilai yang ditanam oleh beliau akan terus hidup melalui setiap insan yang pernah belajar, bekerja dan berjalan bersamanya.
Seorang saintis mungkin pergi, tetapi ilmu, kasih dan legasinya tidak pernah mati.
Terima kasih, Jaya, atas segala ilmu yang dikongsikan, khidmat yang dicurahkan, pengorbanan yang diberikan dan persahabatan yang amat bermakna. Kehadiranmu telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan kami, dan pemergianmu akan sentiasa dirasai.
Semoga keluarga mendiang diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi kehilangan yang amat besar ini.
Rest in peace, Jaya. Your legacy will forever remain a cherished part of ITBC.
Gambar-gambar telah mendapat kebenaran keluarga mendiang untuk dikongsikan kepada rakan-rakan mendiang melalui media IBTP