03/05/2023
Sabah dan kemiskinan bukanlah suatu benda yang asing dan baru. Sabahan sendiri sudah lali mendengar sinonim-"Sabah itu miskin, miskin itu Sabah."
Bukan kita s**a, tetapi begitulah realiti. Berpuluh tahun lamanya, kita menjadi NEGERI TERMISKIN DI MALAYSIA, sehingga ke hari ini. Pahit untuk ditelan, namun hidup harus terus dijalani.
Penulisan ini bukanlah diniatkan untuk menuding jari kepada mana- mana pihak, cukup sekadar siapa makan cili, dialah terasa pedasnya.
Tetapi Kami CAKNA ingin semua sama- sama CAKNA akan masalah- masalah sosial yang terus menerus menjadi barah di negeri tercinta ini.
Pengalaman anak muda seperti kami belajar jauh meninggalkan kampung, cukup sakit telinga mendengar:
“Oh Sabah, banyak orang miskin”.
“Kamu tinggal di atas pokok ka?”.
“Di Sabah, kamu naik perahu ka?”.
Banyak lagi pertanyaan malahan penyataan seakan- akan mereka ambil tahu, risau, tetapi rasa terhina itu memang sentiasa ada. Salahkan mereka beranggapan sedemikian? Atau kita yang perlu refleksi?
Orang kita bilang, “di Sabah banyak bah orang kaya, rumahnya luas, keretannya besar. Bukan semua miskin!”. Hakikatnya, seramai 86,766 orang di Sabah dikategorikan sebagai golongan miskin dan 41, 490 orang Sabah adalah miskin tegar. Miskin tegar ini adalah yang pendapatannya di bawah RM 500 dan itulah 41, 490 orang yang dinyatakan tadi. Statistik begitu menyedihkan dan menakutkan. 25% orang kita miskin. Bermaksud setiap 1 daripada 4 orang di Sabah adalah miskin.
Ini yang berjaya direkod. Bagaimana p**a yang susah sampai tidak dapat dijejak?.
Miskin ini bukan sekadar tiada duit. Dimensi kemiskinan ini sudah semakin luas. Ini temasuklah golongan miskin tegar, hampir miskin, terpinggir ekonomi, miskin digital, miskin haid, miskin kesihatan dan pelbagai lagi.
Kita semua tahu bahawa bukan semua miskin itu jahat dan yang kaya itu p**a dermawan. Namun, kajian banyak membuktikan bahawa kemiskinan ini penyumbang kepada masalah sosial lain. Kemiskinan adalah ibu kepada jenayah lain. Mulalah terjadinya kes pergolakan rumah tangga, anak- anak jadi mangsa, malu dan tiada duit ke sekolah, cari kerja pun susah. Hatta sebab tekanan ekonomi ini jugalah, Sabah antara negeri tertinggi untuk kes bunuh diri.
Sekali lagi, penulisan ini tidak menyabitkan mana- mana pihak untuk dipertanggungjawabkan. Kita sendiri sebagai orang Sabah, apa yang sudah kita lakukan untuk negeri kita ini?
Sabah ini negeri kaya, tetapi orang kita miskin. Ini fakta bukan auta.
Sampai bila kita mahu berada di takuk yang sama? Kita sudah direkodkan TERMISKIN sejak tahun 1997.
Sabahan kami sekalian,
“Fighting poverty is not an act of charity, but it is justice to end violence and inequality”.
Melawan Kemiskinan bukanlah amal jariah semata, tetapi adalah untuk menghapuskan penindasan dan ketidaksamaratan.
Bersama kami CAKNA, untuk kita sebarkan dan CAKNAkan orang- orang kita mengenai isu- isu Sabah. Banyak lagi yang kami akan kongsikan di masa- masa akan datang.
Oh, iya. Kami juga pernah mengadakan sebuah forum mengenai “Betulkah Sabah ini Miskin?”.
https://fb.watch/kgXnUt6PV4/