18/09/2026
KOTA KINABALU, 17 September β Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program Minggu Suai Mesra bagi menyambut kehadiran pelajar baharu sesi akademik 2026/2027. Program pengenalan tersebut telah berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 2, Bilik Kuliah 15.
Majlis bermula seawal jam 7:00 pagi dan dirasmikan pada jam 8:00 pagi dengan ucapan dan pengenalan oleh Dekan FSMP, Prof. Madya Dr. Wolyna Binti Pindi. Sepanjang sesi pagi, para pelajar telah didedahkan dengan pelbagai maklumat penting merangkumi Taklimat Akademik, Taklimat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), serta penerangan mengenai kursus wajib universiti menerusi Taklimat PPIB.
Bagi menyuntik semangat para pelajar baharu, satu sesi perkongsian bersama alumni turut diadakan. Sesi ini menampilkan tokoh alumni yang berpengalaman iaitu Puan Talissa R Kiandee, Pegawai Teknologi Makanan dari Seksyen Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, serta Cik Nurul Fatihah Binti Muhammad Arafa, Quality Assurance and Halal Executive di C & F Enterprise Sdn. Bhd.
Selepas selesai waktu rehat tengah hari, program diteruskan dengan Taklimat Keselamatan Makmal daripada pihak JKKP FSMP yang disampaikan oleh Puan Jenifer Rolland L TimbalanKetua Pegawai Sains FSMP. Para pelajar kemudiannya dipecahkan mengikut program pengajian masing-masing untuk sesi taklimat bersama Ketua Program dan diakhiri dengan sesi perjumpaan mentor-mentee.
Program orientasi yang padat dengan pengisian bermanfaat ini melabuhkan tirainya pada jam 4:15 petang, dan kesemua pelajar kemudiannya bersurai untuk kembali ke kolej kediaman masing-masing