16/05/2026
Ziarah Ilmu Tuan Guru Haji Musa di Kampung Belukar, Batu 8
Kampung Batu 8 yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Belukar pernah menjadi tempat persinggahan ilmu seorang ulama terkenal Kelantan iaitu Tuan Guru Haji Musa selepas beliau p**ang dari Mekah.
Nama penuh beliau ialah Tuan Guru Haji Musa bin Haji Awang bin Lebai Yusof. Dilahirkan di Kampung Surau Kota, Wakaf Che Yeh pada tahun 1901.
Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Kenali dan Pondok Bunut Payong sebelum menyambung pengajian ke Mekah. Antara guru beliau ialah Tok Kenali, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki dan Sayyid Alawi al-Maliki.
Sekembalinya dari Mekah, beliau telah dijemput oleh Lebai Haji Husin untuk membuka pondok pengajian di Kampung Belukar, Batu 8. Ketika itu, pelajar dari sekitar kampung dan juga dari luar sanggup datang untuk belajar sehingga ada yang mendirikan pondok kecil berhampiran tempat pengajian.
Kemudian beliau berpindah.
Beliau meninggal dunia pada 1 Oktober 1961 ketika berusia 60 tahun dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau Kota, Wakaf Che Yeh.
Alhamdulillah, saya juga sempat berkenalan secara atas talian dengan cucu beliau iaitu Nor Azmi Mohamed Ghazi yang kini menetap di Kampung Biah, bersebelahan Kampung Batu 8. Beliau turut berkongsi gambar dan sedikit maklumat berkaitan Allahyarham Tuan Guru Haji Musa. Kami juga telah bertukar nombor telefon, namun atas kekangan masa masih belum sempat bertemu untuk menyelongkar lebih banyak lagi kisah dan sejarah menarik berkaitan Tuan Guru Haji Musa.
Gambar asal yang diberikan agak kabur memandangkan ia merupakan potret lama. Oleh itu, saya telah membuat sedikit penambahbaikan pada kualiti gambar tersebut menggunakan teknologi AI dengan menambah warna, bagi memperjelaskan imej tanpa mengubah ciri dan bentuk asalnya.
Ada juga maklumat yang menyebut bahawa Lorong Tuan Guru Haji Musa di kawasan Padang Enggang, Pasir Hor dipercayai dinamakan sempena beliau. Namun perkara ini belum mendapat pengesahan rasmi, ia hanya berdasarkan cerita lisan yang saya dengar. Difahamkan ramai saudara-mara beliau berada di kawasan tersebut selain di Kampung Surau Kota dan Kampung Biah.
Tulisan ini juga sebahagiannya merujuk kepada perkongsian di Facebook Tengku Yusuff.