26/08/2026
[24/08/2026]
EDUCATIONAL CULTURAL VISIT SHINSHIRO HIGH SCHOOL, JAPAN KE MAAHAD MUHAMMADI PEREMPUAN
KOTA BHARU, 24 Ogos 2026 – Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) berbesar hati menerima kunjungan Educational Cultural Visit daripada Shinshiro High School, Jepun. Program yang berlangsung di Dewan Asma ini menjadi platform istimewa untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi pendidikan, selain membuka ruang kepada para pelajar untuk saling mengenali budaya, tradisi dan keunikan Malaysia serta Jepun.
Rombongan Shinshiro High School disambut dengan paluan kompang dan persembahan silat oleh pelajar MMP yang mencerminkan keunikan seni dan budaya tempatan. Majlis diteruskan dengan sesi perkenalan dan ucapan oleh Miss Junko Ogawa, pegawai daripada Shinshiro International Exchange Student Association, diikuti ucapan oleh Ustaz Mohd Azmi bin Deraman, Penolong Pengarah Kokurikulum.
Sembilan orang pelajar Shinshiro High School turut memperkenalkan diri sebelum mempersembahkan tarian Soran Bushi, iaitu tarian tradisional Jepun. Persembahan yang bertenaga dan penuh semangat itu berjaya mencuri perhatian para hadirin serta memeriahkan suasana. Pelajar MMP p**a tampil mempersembahkan Kalam Jamaei dan nasyid sebagai pengisian kebudayaan, sekali gus memperkenalkan seni dan budaya Islam kepada para tetamu dari Jepun.
Kemudiannya, majlis diserikan dengan sesi pertukaran hadiah dan tandatangan buku lawatan oleh Miss Junko Ogawa. Para tetamu turut berpeluang mengunjungi pameran kraf tangan yang disediakan oleh Baitus Solehah, yang mengetengahkan hasil kreativiti dan kemahiran warga sekolah. Program diakhiri dengan sesi penggambaran sebagai kenangan sebelum para tetamu dijemput menjamu selera.
Kunjungan ini bukan sahaja menjadi medan pertukaran budaya, malah turut menyemai nilai persahabatan, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan pelajar kedua-dua institusi. Semoga jalinan yang terjalin melalui kunjungan ini terus berkembang dan menjadi kenangan bermakna yang menghubungkan Malaysia dan Jepun.
🪐Dapatkan link telegram Galeri MMP di bio MAAHAD MUHAMMADI PEREMPUAN