13/04/2026
Alhamdulillah, di bawah kepimpinan baharu Pengarah ANGKASA-UMK Research Academy (AURA), telah berlangsung dengan jayanya Bengkel Pelan Hala Tuju dan Mesyuarat Majlis Eksekutif AURA selama dua hari berturut-turut pada 11–12 April 2026, bertempat di Bilik Mesyuarat Senat, Aras 3, Bangunan Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok.
Aktiviti dimulakan pada 11 April 2026 (Sabtu) melalui Bengkel Pelan Hala Tuju AURA 2026–2030, yang berperanan sebagai platform utama dalam menetapkan hala tuju dan pelaksanaan strategik AURA ke arah menjadi peneraju kecemerlangan penyelidikan serta transformasi koperasi global. Bengkel ini turut memberi penekanan kepada penyelarasan dan perancangan aktiviti AURA bagi mencapai sasaran KPI tahun 2026, selaras dengan aspirasi memperkukuh agenda penyelidikan dan inovasi.
Pelaksanaan diteruskan pada 12 April 2026 (Ahad) menerusi Mesyuarat Majlis Eksekutif AURA Bil. 1/2026 (Kali Ke-6). Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBhg. Dato Naib Canselor UMK bersama YBhg. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Presiden ANGKASA (secara atas talian). Mesyuarat ini menjadi medan penting untuk memperincikan hala tuju yang telah dirangka, membincangkan pelaksanaan aktiviti strategik serta memastikan penyelarasan yang lebih efektif antara semua pihak berkepentingan. Alhamdulillah, keseluruhan perbincangan telah mencapai persetujuan bersama, sekali gus memperkukuh komitmen dalam merealisasikan agenda AURA menjelang 2030.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh delegasi daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang diketuai oleh Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, serta pasukan AURA atas komitmen, sinergi dan perkongsian idea sepanjang pelaksanaan aktiviti ini. Semoga segala perancangan strategik yang telah dipersetujui dapat direalisasikan dengan jayanya demi manfaat pembangunan koperasi dan kecemerlangan penyelidikan negara.