11/09/2026
PROGRAM HIDANGAN KASIH SMAKJ
KLUANG, 11 September 2026 – Jawatankuasa Kebajikan Murid Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) telah melancarkan Program Hidangan Kasih bertempat di Kantin SMAKJ, hari ini.
Program yang turut mendapat sokongan dan sumbangan daripada SEPAKAT Ibu Bapa SMAKJ ini merupakan satu inisiatif kebajikan bagi membantu murid yang kurang berkemampuan. Melalui program ini, seramai 40 orang murid terpilih akan menerima hidangan pada setiap hari Jumaat secara berterusan.
Majlis pelancaran dimulakan dengan ucapan oleh Setiausaha PIBG, Ustaz Haji Kalamullah bin Ali Raza, diikuti amanat Pengetua SMAKJ, Ustaz Haji Muhammad Safri bin Hussin. Majlis kemudiannya diserikan dengan gimik pelancaran, bacaan doa serta Suapan Kasih oleh Ayahanda Pengetua kepada murid-murid yang terpilih.
Dalam amanatnya, Ustaz Haji Muhammad Safri bin Hussin menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama-sama anak-anak dalam sebuah program yang penuh keberkatan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan, PK HEM, Setiausaha PIBG, Ahli Jawatankuasa PIBG serta SEPAKAT SMAKJ atas usaha dan komitmen menjayakan program tersebut.
Menurut beliau, Hidangan Kasih bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi menjadi simbol kasih sayang dan tanggungjawab warga sekolah terhadap kebajikan anak-anak SMAKJ.
“Di SMAKJ, kita bukan sekadar sebuah sekolah, tetapi sebuah keluarga. Guru-guru adalah ibu bapa dan pelajar-pelajar adalah anak-anak,” ujar beliau dalam amanatnya.
Beliau turut menyifatkan Suapan Kasih sebagai lambang amanah dan tanggungjawab seorang ayahanda kepada 40 orang anak yang terpilih, di samping berharap setiap hidangan yang dinikmati menjadi asbab kekuatan untuk para pelajar terus belajar, beribadah dan menjadi insan cemerlang dunia dan akhirat.
Para pelajar turut diingatkan agar menjadikan Hidangan Kasih sebagai pembakar semangat untuk terus menunjukkan akhlak terbaik, menjaga nama baik SMAKJ, serta sentiasa menjaga solat, Al-Quran dan adab terhadap guru.
Program Hidangan Kasih akan diteruskan pada setiap hari Jumaat dan diharapkan dapat menjadi satu tradisi kebajikan yang berkekalan di SMAKJ.
Semoga setiap hidangan yang disumbangkan menjadi rezeki yang penuh keberkatan, memberi manfaat kepada para pelajar serta menjadi amal jariah buat semua penyumbang dan pihak yang terlibat.
❤️ Berkongsi rezeki, menyemai kasih, meraih redha Ilahi.
SMAKJ – Empowering Your Excellence