12/01/2026
LATIH ANAK LUNAK BERKATA-KATA
Ada satu pepatah Melayu yang berbunyi:
Kerana pulut, santan binasa
Kerana mulut, badan merasa
Mari kita lihat antara perbualan anak-anak dalam kes berikut.
Kes 1:
“Abang, nak pinjam basikal boleh tak?”
“Tak boleh, abang nak jumpa kawan.”
“Abang bodoh, abang bodoh! Nak pinjam pun tak boleh.”
Kes 2:
“Bodoh!” si anak memarahi kawannya.
“Dari mana dia belajar, saya pun tak tahu. Sekarang adiknya p**a mengikut.”
Si ibu mendapati rupa-rupanya anak lelakinya itu mengimport kata-kata yang tidak baik daripada sebuah taska, tempat anaknya dititipkan setiap hari. Bukan sahaja kata-kata yang tidak baik, malah aksi-aksi yang “kasar dan ganas” juga turut dibawa p**ang.
Sikap anak-anak yang tidak menjaga percakapan perlu ditangani. Kata-kata yang tidak baik boleh mengundang pergaduhan. Malu juga jika anak-anak bersikap sedemikian, orang akan kata, “Mak ayah tak ajarkah?”
Dalam hal ini siapakah yang patut dipersalahkan? Pengelola taska atau ibu bapa? Kita sedia maklum di pusat asuhan atau seumpama dengannya, anak-anak yang berkumpul adalah daripada pelbagai latar belakang yang berbeza-beza.
Ada yang latar belakang keluarga daripada kalangan mereka yang mementingkan adab atau akhlak. Namun, terdapat juga yang tidak mengambil kisah terhadap perilaku anak-anak kerana menganggap si anak masih kecil. Tidak perlu dimarahi atau dihukum. Betulkah cara ini?
Oleh sebab itu, bagi ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat asuhan atau nursery, bersedialah menghadapi kemungkinan konflik perilaku dalam kalangan anak-anak.
Jika anak-anak tidak dipantau pertuturannya, kelak mereka akan menimbulkan banyak masalah.
Misalnya, masalah hilang hormat terhadap orang lain dan dibimbangi akan terbentuk peribadi di mana anak-anak ini membesar menjadi individu-individu bermulut celupar, yang mudah menghambur kata-kata yang mengundang permusuhan dengan ramai orang.
Maka, awasilah anak-anak kita. Mereka patut tahu kata-kata yang tidak baik adalah suatu kejahatan dan amat dilarang oleh Allah SWT.
Melentur buluh biarlah dari rebung. Marilah kita melentur anak-anak sejak daripada mereka mula pandai berkata-kata. Bimbing bagaimana untuk berbahasa mulia.
Kelak apabila mereka berada di luar rumah, di sekolah atau di mana jua, mereka menjadi manusia yang sentiasa menjaga lidahnya.
SEMUA INI ADA DALAM BUKU INI > https://ezy.la/wahai-ibu-jadilah-madrasah-anakmu