19/05/2026
Dari kecil dah lancar baca Al-Quran, mesti mudah nak hafaz. Tak juga.
Ramai yang dah boleh baca Quran malah siap dah pernah khatam lebih dari sekali. Namun tak menjanjikan dia mudah untuk hafaz.
Kerana hafazan ini bagaikan satu mukjizat seperti Quran itu sendiri. Bukan mudah untuk Nabi menerima wahyu ini dahulu.
Ada ketika sampai Nabi dari berdiri hingga terduduk, ada ketika berurat kepala, ada ketika sampai Nabi sakit. Punya berat untuk dipikul.
Sebab itu Tuhan sendiri mencabar dalam surah al-Baqarah ayat ke 23, "jika kamu ragu, maka kamu bawalah satu surah yang seperti al-Quran,"
Maksudnya bukan bahan bacaan biasa, bukan ayat yang direka-reka, bukan kata-kata manusia, ianya ciptaan dan kata-kata dari Allah yang hidup. Dikumpulkan dan diturunkan kepada Nabi kita Muhammad SAW.
Jadi bila terasa susah untuk hafaz itu bukan tanda lemah. Itu tanda kita sedang berhadapan dengan sesuatu yang sangat agung.
Bukan semua yang dah pandai baca Quran akan mudah hafaz. Dan bukan semua yang susah hafaz itu lemah.
Kerana dalam hafazan yang menentukan bukan lancar bacaannya, tetapi sejauh mana jiwa itu paling istiqamah bersama Allah.
Begitulah.