03/07/2021
Bismillahir Rahman nir Rahim
Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
Sebagai pembuka kalam, marilah kita sama-sama menzahirkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi selepas Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang telah dikenakan bermula 9 Jun 2021 - 22 Jun 2021.
Sebagaimana yang kita semua maklum, tahun 2020 dan sehingga hari ini telah dijalani dengan pelbagai cabaran, tidak hanya terbatas kepada bidang pendidikan namun dalam semua aspek kehidupan.
Kita seolah-olah mengisytiharkan “perang” melawan musuh-musuh ghaib yang dengan pantas menakluk seluruh pelusuk dunia. Pandemik Covid-19 membataskan banyak aktiviti dan memberi kesan signifikan kepada pelbagai lapisan masyarakat serta turut menjejaskan kelancaran pelbagai sektor pekerjaan.
Dalam suasana yang mencabar ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan syabas buat semua pasukan barisan hadapan PSAS yang diketuai oleh Puan Noormala Binti Abdullah, yang dengan gigih dan berusaha sepanjang masa bagi memastikan kebajikan seluruh warga PSAS terjaga.
Hari ini juga PSAS telah berjaya menghantar pulang para pelajar yang masih tinggal di Kolej Kediaman ke pangkuan ibu bapa mereka setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa.
Terima kasih sekali lagi saya ucapkan buat seluruh pasukan barisan hadapan serta warga PSAS yang telah mengembleng tenaga secara langsung mahupun tidak langsung.
Anda semua adalah hero di hati kami.