22/08/2026
69 PESERTA EKSPEDISI KAYAK MERDEKA UMT JAYAKAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-69 TAHUN
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) terus memperkukuh peranan dalam membangunkan generasi muda yang berdaya tahan, berjiwa kepimpinan serta mencintai khazanah marin negara menerusi Kayak Merdeka UMT 2026: The Merdeka Voyage – Conquering the Blue to Bidong, iaitu ekspedisi kayak sejauh 22 kilometer dari Pantai UMT ke Pantai Pasir Tenggara, Pulau Bidong.
Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 20 hingga 22 Ogos 2026 ini dianjurkan bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69 dan Ulang Tahun ke-25 UMT melibatkan seramai 69 orang peserta daripada institusi pendidikan tinggi tempatan termasuk pelajar antarabangsa, staf IPT, alumni UMT dan komuniti setempat.
Majlis Pelepasan Kayak Merdeka UMT 2026 pada 20 Ogos 2026, jam 8.00 pagi di Pantai INOS UMT telah disempurnakan oleh Encik Norzilam bin Mohamed, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri, Negeri Terengganu.
Menurut Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, peningkatan penyertaan dalam Kayak Merdeka UMT pada tahun ini mencerminkan sambutan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi, alumni dan komuniti.
Beliau berkata, pemilihan 69 peserta bukan sekadar angka penyertaan, malah membawa signifikan tersendiri bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69. Angka tersebut menjadi simbol semangat kebersamaan dalam meraikan kemerdekaan menerusi aktiviti yang sihat, mencabar dan bermakna, di samping menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan peserta.
Lebih daripada sekadar aktiviti rekreasi, Kayak Merdeka UMT 2026 menjadi wadah pembentukan ketahanan diri, disiplin, kerja berpasukan, keyakinan diri dan kepimpinan. Peserta turut berdepan cabaran fizikal dan mental yang menuntut perancangan, komunikasi, kerjasama serta keupayaan membuat keputusan secara bersama.
Ekspedisi ini juga memperkukuh interaksi antara warga IPT, alumni dan komuniti, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara serta menghargai khazanah marin negara.
69 peserta, satu semangat, satu tekad menghayati kemerdekaan dengan mengayuh bersama merentasi birunya Laut Terengganu menuju Pulau Bidong.