23/08/2026
KKKT PERKUKUH JALINAN KOMUNITI, SANTUNI PELAJAR OKU MELALUI PROGRAM JALINAN KASIH
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos 2026 – Program Sijil Khas Jahitan Kreatif melalui Kursus MPU04072 Kokurikulum telah menganjurkan Program Jalinan Kasih: Sihat Bersama, Ceria Selamanya dengan kerjasama Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang, Pulau Kerengga, Terengganu, melibatkan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).
Program ini menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara Kolej Komuniti Kuala Terengganu (KKKT) dan komuniti menerusi aktiviti kecergasan, rekreasi serta interaksi sosial dalam suasana inklusif, ceria dan penuh kebersamaan.
Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam program ini turut memupuk nilai kepimpinan, kerjasama, empati dan kemahiran komunikasi, selaras dengan usaha melahirkan pelajar yang bukan sahaja berkemahiran, malah prihatin terhadap komuniti.
Program turut diserikan dengan sambutan Bulan Kebangsaan, yang menyemarakkan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap negara dalam kalangan peserta.