29/11/2024
Modul / Tema Hadis : Hadis 25.
Tajuk : Persaingan Dalam Kebaikan.
Kami mengangkat Hadis ke-25 Hadis 40 Imam Nawawi sebagai Tema Hari Kecemerlangan Akademik, HEM, SUMUR dan Kokurikulum Sabk Maahad Ehyak Diniah Islamiah tahun ini.
Daripada Saiyidina Abu Zar r.a, Rasulullah ﷺ bersabda:
أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَدَّقُونَ، إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً، وَأَمْرٍ بِمَعْرُوفٍ صَدَقَةً، وَنَهْيٍ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةً.
"Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu sesuatu yang dapat kamu bersedekah dengannya? Sesungguhnya setiap lafaz tasbih adalah sedekah, setiap lafaz takbir adalah sedekah, setiap lafaz tahmid adalah sedekah, setiap lafaz tahlil adalah sedekah, mengajak kepada kebaikan adalah sedekah, dan mencegah kemungkaran juga adalah sedekah."
(Hadis Riwayat Muslim)
Hadis 40 Imam Nawawi telah diperdengarkan oleh Anakanda Taqiyuddin Al-Baihaqi bin Zaidul Kadri (4K) melalui Slot Bingkisan Khazanah Warisan Nabi.
Hadis ini bukan sekadar kata-kata; ia adalah cahaya yang menyentuh kalbu, meniupkan kesedaran bahawa setiap amal kebaikan, walau sekecil zarah, adalah sedekah di sisi-Nya.
Lihatlah keindahan hikmah Allah. Tidak kira siapa kita – miskin atau kaya, tua atau muda, Allah menghamparkan jalan kebaikan buat setiap hamba-Nya. Setiap tasbih yang diucapkan adalah pemberian, setiap tahmid yang dilafazkan adalah persembahan, dan setiap takbir yang menggema adalah pelaburan akhirat.
Di sinilah, pada majlis yang gemilang ini, kita menjadi saksi bahawa kebaikan adalah benih yang disemai bersama. Guru-guru yang menabur ilmu, murid-murid yang menimba hikmah, ibu bapa yang sentiasa mendoakan – semuanya telah menyulam sinergi dalam melakar kejayaan yang diraikan hari ini.
Terima kasih dan syukur kepada Allah atas kecemerlangan yang telah dicapai oleh semua warga Sabk Maahad Ehyak Diniah Islamiah.
>>>Bingkisan Khazanah Warisan Nabi>Rakaman Hari Anugerah Kecemerlangan> Montaj Hari Anugerah Kecemerlangan