20/10/2025
Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah ﷺ dengan tangan Baginda sendiri.
Masjid Quba.
Nama yang disebut dengan penuh cinta oleh setiap hati yang pernah menjejak bumi Madinah.
Inilah masjid pertama dalam sejarah Islam, yang dibina sebaik sahaja Rasulullah ﷺ tiba di Madinah selepas hijrah dari Makkah.
Baginda bersama para sahabat bergotong-royong membina masjid ini, dengan tangan Baginda sendiri, mengangkat batu, menyusun bata, dan mengikat ukhwah dalam setiap peluh yang menitis.
Beberapa hari Rasulullah ﷺ bermalam di kawasan Quba sebelum meneruskan perjalanan ke pusat kota Madinah.
Dalam tempoh itu, lahirlah sebuah masjid yang bukan hanya tempat solat, tapi lambang iman, persaudaraan, dan titik mula sebuah peradaban Islam.
Masjid Quba di zaman Rasulullah ﷺ Pada awalnya, binaannya sangat sederhana.
Ada pendapat mengatakan tiangnya dibuat daripada batang tamar. Dindingnya daripada batu dan tanah liat. Atapnya diperbuat daripada daun tamar yang diikat rapi.
Lantainya cuma tanah, dan bila hujan turun, bumi masjid akan lembap dan basah.. Tapi itulah tempat sujud yang mulia, kerana di situlah Rasulullah ﷺ dan para sahabat solat berjemaah.
Tiada marmar, tiada kubah besar, tapi penuh nur dan keberkatan.
Masjid Quba yang kita ziarahi hari ini sudah melalui beberapa kali pembinaan semula.
Struktur moden yang ada sekarang siap pada tahun 1986 di bawah pemerintahan Raja Fahd, hasil reka bentuk moden Arab-Islam yang megah tapi tetap tenang.
Masjid ini kini mempunyai empat menara tinggi, 6 kubah putih besar dan banyak kubah kecil, ruang solat yang luas dan berhawa dingin.
Kawasan wuduk dan tempat menunggu jemaah yang tersusun indah.
Namun walau secantik mana bentuknya hari ini, roh asalnya tetap SAMA.. Masjid pertama yang dibina dengan cinta oleh Rasulullah ﷺ.
Nabi ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang berwuduk di rumahnya, kemudian datang ke Masjid Quba dan solat dua rakaat di dalamnya, maka baginya pahala seperti menunaikan umrah.”
(Hadis Riwayat Ahmad, AnNasai, Ibnu Majah)
Hanya dua rakaat, tapi ganjarannya seumpama pahala umrah.
Itulah istimewanya Masjid Quba.. Setiap langkah ke sana membawa kita mendekati sunnah Rasulullah ﷺ.
📍 Masjid Quba, Madinah Al-Munawwarah