03/10/2024
MUSUH UTAMA ORANG BERIMAN
Soalan :
Siapakah musuh-musuh utama orang beriman? Bagaimana menepis serangan musuh kita?
Jawapan :
Musuh orang yang beriman amatlah banyak sama ada musuh luaran atau musuh dalaman. Namun di sini ingin saya kongsikan empat musuh utama orang beriman iaitu:
1) DUNIA
Senjatanya ialah MAKHLUK, sedangkan penjaranya adalah UZLAH/KHALWAH.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ankabut (29:64)
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilai dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)."
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hud (11:15-16)
"Sesiapa yang menginginkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan membalas hasil usaha mereka di dunia dengan sempurna dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya. Mereka itulah orang yang tidak mendapat sesuatu pun pada hari akhirat kelak selain daripada azab Neraka dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia dan batallah apa yang mereka telah kerjakan”
Maka kita perlu berusaha tinggalkan segala keseronokan dan godaan dunia yang menipu semata-mata. Manfaatkan kehidupan yang masih berbaki di dunia ini sebagai bekalan di akhirat sana.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Ibnu Umar RA, "Rasulullah SAW memegang kedua-dua bahu saya sambil bersabda; "Hiduplah engkau di dunia seolah-olah orang asing atau pengembara." Ibnu Umar berkata: "Jika kamu berada di petang hari, jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan semasa) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu." (Hadith Riwayat Imam al-Bukhari)
Nabi SAW lalu baginda bersabda, "Aku tidak memiliki kecenderungan (kecintaan) terhadap dunia. Keberadaanku di dalam dunia seperti seorang musafir yang berteduh di bawah pohon, kemudian pergi dan meninggalkan pohon tersebut." HR Atl-Tirmizi).
Inilah realiti kehidupan kita di dunia, hanya persinggahan sementara menuju kehidupan yang kekal abadi di akhirat sana.
Tiga sifat yang perlu dimiliki oleh para aulia’ Allah, iaitu:
• Thiqah kepada Allah di dalam semua perkara.
• Merasa kaya bersama Allah daripada selainnya.
• Merujuk kepada Allah di dalam semua perkara.
Semuanya itu bergantung kepada sejauh mana kadar kasih hati kepada Allah, maka sekadar itulah kasih Allah kepadanya. Sejauh mana takut hati kamu kepada Allah maka sekadar itulah makhluk akan takut kepada kamu. Sejauh mana kamu menumpukan perhatian kepada Allah maka sekadar itu pulalah tumpuan hati makhluk kepadamu.”
2) SYAITAN. Senjatanya ialah KENYANG dan penjaranya adalah LAPAR.
Allah SWT berfirman dalam Surah Yasin (36:60)
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!”
Nabi SAW bersabda “Seorang mukmin itu makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir makan dengan tujuh perut”. HR Abi Hurairah
Rasulullah SAW bersabda
“Tidaklah anak Adam memenuhi bekas yang lebih buruk dari perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan belakangnya. Namun jika dia mesti (melebihkannya), hendaklah sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk bernafas” HR Muslim
Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan: “Penuhnya perut (dengan makanan) boleh menyebabkan kerosakan pada agama dan dunia.”
Imam al-Syafi’e berkata:
“Aku tidak pernah kenyang selama 16 tahun kecuali sekali, maka kumasukkan tanganku (ke dalam mulut) untuk memuntahkannya.”
“Kerana kenyang menjadikan badan menjadi berat, hati menjadi keras, mengurangkan kecerdasan, lebih banyak tidur dan melemahkan untuk melakukan ibadah.”
3) NAFSU. Senjatanya ialah TIDUR sedangkan penjaranya adalah dengan BERJAGA MALAM (dengan beribadat).
Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf (53)
“Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).”
Firman Allah SWT dalam Surah Surah Isra’ (79)
“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
Rasulullah SAW bersabda:
“Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalang penyakit daripada badan.” HR At-Tirmizi
Sabda Nabi SAW ‘hendaklah kamu berqiyam pada waktu malam’ iaitu solat tahajjud. Dan sabda Nabi SAW ‘ia adalah hidangan buat orang yang soleh’ bermaksud solat malam itu telah menjadi kebiasaan atau adat buat mereka. Adapun sabda Nabi SAW ‘ia menghapuskan dosa’ bermakna menghapuskan dosa serta menutupnya.”
4) HAWA. Senjatanya BERCAKAP, sedangkan penjaranya adalah DIAM.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab (70-71)
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.”
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam” HR Bukhari & Muslim
Orang berakal sepatutnya lebih banyak diam daripada bercakap. Hal ini kerana betapa banyak orang yang menyesal kerana percakapan, manakala sedikit yang menyesal kerana diam. Orang yang paling besar mendapat musibah adalah orang yang lidahnya sentiasa berbicara sedangkan fikirannya tidak mahu berjalan. Dan orang yang berakal seharusnya lebih banyak menggunakan kedua telinganya daripada mulutnya. Dia perlu menyedari bahawa dia diberi dua telinga sedangkan diberi hanya satu mulut supaya dia lebih banyak mendengar daripada berbicara.
Semoga Allah SWT memberikan kita taufik dan hidayah dalam menghadapi musuh-musuh yang sentiasa berusaha menjadikan kita lalai dan alpa daripada berzikir dan mengingati-Nya. Semoga iman yang dibekalkan didalam jiwa kita disuburi untuk mengharungi onak duri perjalanan kita kembali kepada Yang Maha Cinta. Amin.
,
- Rifqa Saffiya Ruha Dani -