08/03/2026
"Blessing in disguise”
Hikmah di sebalik musibah...
Sudah 5 hari pakcik tersidai di Oman. Di sebalik kesulitan ada kesenangan. Dalam 5 hari ini juga pakcik mula kenal dengan ramai diaspora Malaysia di Kesultanan Oman. Di sebalik ketidak tentuan geopolitik, Pakcik dan 3 krew RareTV sempat menyusup keluar ke Muscat. Akhirnya, pakcik dikejutkan dengan sebuah negara Arab yang tidak seperti Arab biasa.
Dengar nama Arab kita selalu akan kaitkan dengan sikap-sikap unik mereka seperti garang, hidung tinggi, narsistik, ego dan pada sebahagian negara mereka tamak, scam dan pengotor. Di Oman, pakcik rasa lain sangat Arab di sini. Sangat tinggi sivik mereka. Anak-anak mereka tak segan silu menyapa dan bersembang. Orang-orang tuanya p**a walaupun bermuka garang kerana bermisai tebal, namun bila diberi salam sahaja, tak semena-mena jadi saudara.
Hospitaliti Oman, pada tahap berbeza.
“Sekiranya penduduk Oman yang engkau datangi, niscaya mereka tidak akan mencaci-makimu dan tidak p**a memukulmu.” - Sahih Muslim (2544)
Walaupun setelah 1400 tahun lebih, ciri itu masih ada. Antara ikon tamadun moden mereka ialah Sultan Qaboos yang pernah memerintah selama 50 tahun. Berpendirian untuk tidak mengikuti jejak jiran tetangganya dengan kemewahan minyak dan gas sehingga berlumba-lumba membina pencakar-pencakar langit. Namun Oman, mahu menyendiri dalam mengekalkan kedaulatan budaya mereka yang santun.
Pakcik ingat Oman ni gurun panas kering, rupanya ada pokok pisang juga. Ini juga salah satu hasil dari kehebatan Nabi Sulaiman yang menciptakan sistem irigasi falaj. Sehingga di celahan gunung ganang berbatu dan tandus, boleh ada lembah subur menghijau.
SAIFUL NANG
Muscat, OMAN